Ustaz Khir angkat agenda pendidikan Islam di DUN Tiram




Ustaz Khir angkat agenda pendidikan Islam di DUN Tiram
June 30, 2026



CALON PERIKATAN NASIONAL daripada PAS bagi N.40 DUN Tiram, Ustaz Khirul Muntanazar Ismail menegaskan komitmennya untuk membawa agenda pembentukan masyarakat berteraskan Islam, selain memperkukuh peranan sebagai pengimbang dalam pentadbiran negeri.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Khir memulakan penglibatannya dalam PAS sejak zaman pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir sebelum aktif dalam cawangan pada tahun 2002 dan seterusnya Dewan Ulamak PAS Pusat.

“Portfolio waktu tu Almarhum Tuan Guru (Dato’) Harun Taib tawarkan ajak untuk duduk dekat Dewan Ulamak pegang Lajnah Perkaderan Ulama Pelapis. Sehinggalah ke sekarang ini kalau di peringkat Pusat saya sebagai Naib Ketua Dewan Ulamak Pusat.

“Di peringkat negeri sekarang ni saya Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor. Kemudian Yang Di-Pertua PAS Kawasan dan juga merupakan Ketua Cawangan PAS Taman Kota Masai Satu, itu (tempat) saya tinggal.

“Daripada perkembangan itu, ramai sahabat-sahabat yang boleh berikan komitmen untuk kita bentuk satu saf yang baik di sana untuk satu harakah yang dapat memperkenalkan Islam melalui PAS hari ini,” ulasnya kepada HarakahDaily di Laman Muafakat, di sini baru-baru ini.

Fokus

Mengulas pendekatan di DUN Tiram yang berada dalam kawasan industri, beliau menjelaskan bahawa, fokus utama adalah pembinaan akhlak, keluarga dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum.

“Setakat ni, benda yang kita dah nilailah dari pelbagai sudut secara rambangnya dan benda yang kita bawa dalam masyarakat hari ini, adalah untuk hidup ke arah Islam yang sebenar.

“Pembentukan akhlak, pembinaan keluarga yang terteraskan kepada syariat, di samping kita nak mewujudkan satu perpaduan sebab Tiram ni dia kawasan industri. Jadi di sana tu berbilang bangsa, kaum dan seumpamanya dengannya.

“Dan alhamdulillah setakat ni kita tengok masyarakat yang berada di sana semua boleh memberikan satu komitmen dengan kita. Ertinya taklah memusuhi. Kalau dulu baru-baru memang agak alergiklah dengan nama PAS kan.

“Sebab tu kita cuba pada peringkat permulaan tu nak masuk dengan masyarakat setempat, kita ubah contoh nama markas tu kepada ‘Balai Islam’. Jadi dengan asbab namanya ‘Balai Islam’ mereka seronok tak terasa apapun padahal bendera (PAS) pacak banyak, tapi dia kata ‘Balai Islam’.

“Sempena nama ‘Balai Islam’, alhamdulillah setiap seminggu sekali saya ada kuliah dekat situ. Alhamdulillah masyarakat setempat dia tak rasa kekoklah nak datang sampailah sekarang ni kuliah tu berterusan di ‘Balai Islam’,” cerita beliau.

Golongan belia

Beliau turut menekankan, usaha mendekati golongan belia melalui program sukan, aktiviti komuniti serta pendekatan hiburan alternatif yang mematuhi syariat.

“Penyakit utama kalau di sana tu isu yang berlaku tentang masalah perlumbaan malam. Ini sering kali masyarakat bangkitkan. Jadi kita pun tak tahu macam mana nak pihak keselamatan buat kerja, tapi itulah yang masih berlaku.

“Jadi di antara usaha kita nak menjadikan masyarakat terutama di kalangan remaja nilah supaya dia lebih prihatin tentang sumbangan dia. Apa benda yang sepatutnya pada waktu itu dia boleh beri kepada masyarakat kepada Islam,” ulas beliau.

Sehubungan dengan itu, beliau menyatakan bahawa, anak muda di kawasan ditandingi beliau yang terlibat dengan aktiviti tersebut perlu diselamatkanlah sebab mereka adalah anak-anak orang Islam.

“Maknanya kita akan ada beberapa program belia yang akan disusun oleh Dewan Pemuda. Maknanya nak mendekati mereka ni. Sekarang ni dari sudut sukan pun boleh kita ketengahkan sebab ini semua agenda-agenda yang mereka seronok.

“Malahan hiburan pun tak salah. Kalau ada yang berminat datang ke arah itu kita buat satu hiburan alternatiflah yang memang benda tu pun sepatutnya kita dedahkan kepada mereka. Jangan sampai mereka menganggap hiburan ni tak boleh langsung.

“Sedangkan hiburan ni satu benda yang dibenarkan. Jadi syariat tak ada isu tentang perkara tersebut. Cuma perlu mengikut kepada landasan,” nasihat beliau.

Peluang pekerjaan dan media sosial

Mengulas mengenai peluang pekerjaan untuk anak muda, beliau menjelaskan bahawa kawasan Tiram merupakan pusat industri dan mempunyai satu kawasan yang dikenali sebagai eko perniagaan dan menjadi tumpuan.

“Kebanyakannya begitu (orang ramai) ke Tiram. Peluang kerja sudah ada. Malahan orang luar pun datang ke situ apa lagi orang dalam nak keluar,” ulasnya lagi.

Dalam masa sama beliau menjelaskan, penggunaan media sosial kini menjadi keperluan utama masyarakat termasuk peniaga kecil sebagai medium promosi.

Dari sudut visi, beliau menyasarkan pembinaan komuniti seperti konsep ‘baldatun tayyibatun warabbun ghafur’ melalui pemerkasaan fungsi masjid, program ilmu serta aktiviti komuniti seperti usrah dan kuliah.

“Walaupun dalam DUN bukan negeri. Tapi suatu kewajipan untuk kita bina, (iaitu) satu biah masyarakat Islam yang sebenar dalam komuniti yang kecil terutama dalam keluarga-keluarga mereka.

“Contoh yang saya impikan kalau boleh masjid-masjid difungsikan dengan program-program ilmu agama. Sebab program macam-macam inilah sebenarnya yang mampu untuk mendedahkan masyarakat supaya mereka faham.

“Dan kalau boleh di mana-mana balai-balai komuniti sepertimana yang dah berlaku pun sekarang ni, saya terlibat dekat satu balai komuniti dia panggil untuk buat macam usrahlah, dia panggil usrah. Kita kata kuliah saja.

“Tapi dia kata nak usrah, ikutlah tak kisah nama apa pun, tak ada masalah. Yang penting platform untuk nak menyedarkan masyarakat perkara tersebut ke arah mewujudkan ‘baldatun tayyibatun warabbun ghafur’ tercapai. Dan inilah impian kita,” ulas beliau.

Pusat penyelesaian

Termasuklah menurut beliau, sekiranya dibenarkan untuk mewujudkan pusat penyelesaian permasalahan rakyat.

“Bukan masalah tentang isu aduan semasa tak, tentang agama tu sendiri kan. Jadi semua masyarakat bila merasa agama pun dia tak rasa takut untuk duduk dekat situ.

“Jadi saya nampak sebab Islam ni sebagai jalan penyelesaian. Bukan orang Islam saja yang pilih Islam sebagai jalan penyelesaian tetapi semua agama dia akan merujuk.

“Dan perkara ini pun dalam Quran jelas menyatakan tentang perkara tersebut yang Quran itu petunjuk kepada manusia. Dia tak kata petunjuk kepada orang Islam (saja, tetapi kepada) manusia.

“Asal saja namanya manusia dia boleh ikut Quran. Cuma nak pegang Quran mestilah mereka yang berteraskan kepada Islam. itulah. Wallahua’lam. Tu antara yang kita cuba usahakan. Di samping orang kata masalah perekonomian.

“Tapi dah sana memang tempat industri tempat orang meniaga dia dah jadi satu benda yang orang kata sedang rancaklah berjalan, cuma nak diaktifkan lagi,” jelas beliau.

Platform penyatuan ummah

Dalam masa sama, beliau berkata PERIKATAN NASIONAL perlu dilihat sebagai platform Penyatuan Ummah serta peranan sebagai badan pengimbang dalam Dewan Undangan Negeri Johor.

“Teruslah bersama dengan PERIKATAN NASIONAL walaupun PERIKATAN NASIONAL ni kalau kata di Johor masih jauh, namun tidak ada satu benda yang mustahil.

“Kerana PERIKATAN NASIONAL bukan satu parti yang biasa-biasa dah sekarang. Satu parti yang sangat disegani satu modul penyatuan ummah yang telah digagaskan oleh Tuan Guru Presiden kita, yang perkara tu perlu disambut oleh semua.

“Dan ini orang sebut ‘Ini Kalilah’ begitu. Peluang yang tersebut itu ada dah hari ini kita bukan mengambil di atas kelemahan, tak! Kita bukan ambil daripada kelemahan-kelemahan yang ada di kalangan parti-parti yang ada hari ni, tak!

“Nak kata bergeser semua bergeser, bergaduh ke, berbalah. Yalah sama juga. Tetapi kita lihat dari sudut pergeseran-pergeseran yang berlaku hari ini, kita adalah yang disebutkan PERIKATAN NASIONAL nampak berada (dalam keadaan) yang terbaik hari ini.

“Dan itu realiti boleh nampak, boleh tengok sendiri. Dan ini yang kita cuba untuk terapkan di Johor khususnya. Mudah-mudahan perkara tu satu realiti dan kita mampu.

“Insya-Allah mudah-mudahan kita dapat kembangkan lagi terutamanya syariat khususnya di Johor ni, Johor ni bangsa Johor untuk kita martabatkan satu masa nanti,” terang beliau.

Mengulas mengenai keberadaan satu-satunya wakil PAS di Johor iaitu, bekas ADUN Maharani, Abdul Aziz Talib atau lebih dikenali dengan Cikgu Aziz sebelum ini di DUN Johor, beliau berkata, itulah pilihan Allah.

“Itulah pilihan Allah nak kata macam mana satu pun, alhamdulillah suara kita ada. Dan inilah sebenarnya impian kita kali ini mengharapkan agar tambahan untuk mengimbangi kedudukan kerajaan yang ada.

“Kita mengharapkan ada rezeki untuk nak bentuk kerajaan, tapi setidak-tidaknya kita menjadi badan pengimbang untuk memastikan perjalanan Kerajaan Johor hari ini mengikut kepada apa yang akan kita bentangkan kepada masyarakat.

“Pengimbang inilah yang kita cubalah maknanya nak membanyak meramaikan lagi Ahli-ahli DUN di peringkat Sidang DUN tu sendirilah,” jawab beliau.

Beliau turut menambah, isu asas seperti bekalan air, banjir kilat serta pembangunan kawasan industri di Tiram perlu diberi perhatian segera dengan pendekatan keutamaan yang tersusun.

“Betullah memang air, air memang jadi keutamaan dan benda ni kita akan selesaikan dengan keadaan yang segeralah untuk atasi supaya benda tu tidak berlanjutan.

“Manakala banjir ni pula memang isulah, Kota Masai pun banjir. Tapi banjir banyaknya banjir kilatlah. Tapi kita tak nafikan memang ada kawasan-kawasan yang orang sebut air naik.

“Air naik ni nak ceritanya kena ada satu (tindakan) strategiklah macam mana nak pastikan tempat-tempat yang seumpama itu dapat diselesaikan. Pasti ada jalan penyelesaian. Sebab tu kita kena perlu mencari jalan yang utama daripada yang lebih utama.

“Tetapi dari sudut peringkat perjalanan gerak kerja dia mesti ada ‘awlawiyyat’ dia terutama tentang masalah kemanusiaanlah kerana itu yang perlu lebih diutamakan daripada perkara-perkara yang lain,” ulas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 30/6/2026

Ulasan