30 HARI MENUJU MUKTAMAR PAS KALI KE-72: CABARAN YANG MENGUJI KESEPADUAN TANZIM
Oleh: Khairul Faizi Ahmad Kamil
Apabila Mesyuarat Panitia Muktamar PAS Kali Ke-72 yang pertama diadakan pada 4 Ogos 2026, perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah masa. Tinggal hanya 30 hari sebelum majlis perasmian muktamar berlangsung pada 4 September 2026 di Kota Bharu, Kelantan.
Bagi mereka yang tidak pernah terlibat secara langsung dalam penganjuran muktamar, mungkin tempoh sebulan kelihatan masih panjang. Namun bagi petugas yang pernah menguruskan sebuah program sebesar Muktamar PAS, tempoh itu sebenarnya amat singkat.
Seingat saya, inilah antara persiapan muktamar yang bermula dalam tempoh paling singkat sepanjang penglibatan saya. Lazimnya, persiapan dimulakan beberapa bulan lebih awal. Setiap panitia diberikan ruang untuk merancang, menyusun dan menyelaras tugasan masing-masing agar semua urusan berjalan dengan lancar apabila ribuan perwakilan mula memenuhi lokasi muktamar.
Muktamar bukan sekadar sebuah program biasa. Ia menghimpunkan perwakilan dari seluruh negara, pimpinan pusat dan negeri, pemerhati, petugas media, tetamu jemputan serta pelbagai agensi yang berkaitan. Di sebalik perjalanan muktamar yang kelihatan tersusun selama dua atau tiga hari, sebenarnya terdapat ratusan perkara yang perlu diselesaikan lebih awal.
Daripada urusan lokasi, penginapan, pengangkutan, pendaftaran, keselamatan, penyediaan dewan, protokol, jamuan, media, pameran, sistem teknologi maklumat hinggalah kepada pelbagai keperluan teknikal yang sering tidak disedari oleh para peserta, semuanya memerlukan koordinasi yang teliti.
Saya masih mengingati Muktamar PAS di IDCC Shah Alam dua tahun lalu. Ketika itu, tempoh persiapan sekitar dua bulan sudah dirasakan begitu padat. Setiap panitia bekerja dalam keadaan mengejar masa dan hampir setiap minggu dipenuhi mesyuarat penyelarasan.
Namun kali ini keadaannya lebih mencabar.
Persiapan secara rasmi hanya benar-benar bermula kira-kira sebulan sebelum muktamar berlangsung. Sudah tentu ramai tertanya-tanya, mengapa keadaan ini berlaku?
Jawapannya banyak berkait rapat dengan perkembangan politik semasa.
Beberapa bulan yang terakhir ini, perhatian dan tenaga organisasi tertumpu kepada Pilihan Raya Negeri Johor yang disusuli pula dengan Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan. Kedua-dua pilihan raya ini memerlukan komitmen besar daripada pimpinan dan petugas di semua peringkat.
Ramai yang terlibat secara langsung di lapangan sebagai calon, pengarah pilihan raya, petugas bilik gerakan, jentera kempen dan sukarelawan. Dalam keadaan itu, adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan apabila sebahagian besar tumpuan organisasi diberikan kepada medan pilihan raya terlebih dahulu.
Walaupun begitu, ini tidak bermaksud persiapan muktamar diabaikan. Sebaliknya, beberapa persiapan awal tetap diteruskan mengikut kemampuan, sementara penyelarasan secara menyeluruh hanya dapat dilakukan selepas berakhirnya kedua-dua PRN tersebut.
Di sinilah kelebihan besar yang dimiliki oleh Muktamar PAS Kali Ke-72.
Tahun ini, PAS Kelantan diberikan amanah sebagai tuan rumah. Pengalaman PAS Kelantan menganjurkan muktamar bukan lagi sesuatu yang asing. Negeri ini telah beberapa kali menjadi lokasi muktamar sebelum ini dan memiliki kekuatan dari sudut pengalaman, tenaga kerja serta kemudahan yang diperlukan.
Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (PUTIK) bakal menjadi lokasi berlangsungnya Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-72. Ketika ini, beberapa kerja naik taraf dan penambahbaikan sedang giat dilaksanakan bagi memastikan segala kemudahan berada pada tahap terbaik untuk menyambut kehadiran para perwakilan, pemerhati dan tetamu dari seluruh negara.
Lebih istimewa lagi, tahun 2026 turut mencatat satu lagi detik bersejarah apabila PUTIK meraikan Jubli Peraknya, genap 25 tahun sejak mula beroperasi pada tahun 2001. Sepanjang tempoh itu, PUTIK bukan sahaja menjadi pusat tarbiyyah, bahkan menjadi saksi kepada pelbagai program penting PAS di peringkat nasional dan negeri. Justeru, penganjuran Muktamar PAS Kali Ke-72 di PUTIK pada tahun sambutan Jubli Peraknya memberikan nilai simbolik yang tersendiri, seolah-olah menghubungkan sejarah perjuangan, tradisi tarbiyyah dan kesinambungan kepimpinan dalam satu peristiwa yang penuh makna.
Kelantan juga mempunyai prasarana yang sesuai untuk menerima kehadiran ribuan tetamu dari seluruh negara. Pilihan lokasi yang pelbagai, rangkaian petugas yang berpengalaman serta sokongan daripada pelbagai pihak di peringkat negeri menjadikan banyak persiapan asas sebenarnya telah dimulakan lebih awal.
Apabila panitia pusat mula bermesyuarat pada 4 Ogos, banyak perkara telah tersedia untuk diselaraskan dan diperkemaskan. Ini sedikit sebanyak mengurangkan tekanan yang biasanya dihadapi apabila persiapan bermula dalam tempoh yang singkat.
Namun begitu, cabarannya tetap besar. Tempoh 30 hari memerlukan setiap panitia bergerak dengan lebih pantas, membuat keputusan dengan lebih cekap dan memastikan komunikasi antara semua pihak berjalan tanpa sebarang keciciran. Dalam keadaan seperti ini, kejayaan tidak lagi bergantung kepada kemampuan individu semata-mata tetapi kepada kekuatan bekerja secara berjemaah.
Itulah sebenarnya kekuatan yang sentiasa menjadi budaya dalam PAS.
Apabila setiap orang memahami amanah masing-masing, apabila setiap panitia saling membantu tanpa melihat sempadan tugasan dan apabila semua bergerak dengan niat untuk menyempurnakan amanah, banyak perkara yang pada mulanya kelihatan sukar akhirnya dapat diselesaikan dengan baik.
Barangkali inilah antara hikmah yang boleh diambil daripada persiapan Muktamar PAS Kali Ke-72. Cabaran masa yang singkat menguji bukan sahaja kecekapan pengurusan tetapi juga kesatuan hati, disiplin organisasi dan kesediaan seluruh petugas untuk saling melengkapi.
Akhirnya, kejayaan sesebuah muktamar tidak diukur hanya pada kelancaran majlis atau keindahan pentasnya. Lebih penting daripada itu ialah semangat ukhuwah, budaya syura dan kesungguhan seluruh warga jamaah dalam melaksanakan amanah yang dipikul.
Tinggal hanya beberapa minggu lagi sebelum ribuan perwakilan berhimpun di Kota Bharu. Mudah-mudahan segala persiapan dipermudahkan oleh Allah SWT dan Muktamar PAS Kali Ke-72 akan menjadi satu lagi detik bersejarah, bukan sahaja kerana berlangsungnya muktamar tahunan, tetapi juga kerana ia diraikan dalam suasana ulang tahun ke-75 perjuangan PAS yang penuh dengan pengajaran, ketabahan dan istiqamah.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur
5 Ogos 2026

.jpeg)
Ulasan
Catat Ulasan