
Kekuatan ialah mampu pikul amanah bila diberi kuasa
August 31, 2026
KUALA LUMPUR: Kemenangan politik PAS tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan jumlah kerusi dimenangi, sebaliknya kemampuan berterusan dalam menggerakkan kesediaan memikul amanah pemerintahan apabila diberikan kuasa.
Penolong Setiausaha Agung PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, seluruh ahli perlu memahami bahawa kemenangan sebenar adalah apabila parti mampu melaksanakan tanggungjawab pemerintahan dengan baik.
“Kalau saya perlu pilih satu perkara, saya mahu seluruh ahli PAS memahami bahawa kemenangan bukan hanya tentang jumlah kerusi yang kita menang.
“Kemenangan sebenar ialah apabila kita berjaya membina sebuah gerakan yang mampu memikul amanah apabila diberikan kuasa,” katanya ketika ditemu bual HarakahDaily.
Menurutnya, PAS bukan lagi parti yang hanya bercakap mengenai perjuangan dari luar kerajaan kerana telah mempunyai pengalaman mentadbir beberapa negeri, selain pernah berada dalam kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Jadi, tanggungjawab kita semakin besar,” kata Khairul Faizi yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor dalam temubual eksklusif menjelang Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-72.
Beliau berkata, setiap ahli merupakan wajah PAS dan tindakan mereka dalam kehidupan seharian turut menjadi ukuran masyarakat terhadap parti.
“Cara kita bercakap, cara kita melayan jiran, cara kita membantu masyarakat dan cara kita menggunakan media sosial, semuanya menjadi ukuran masyarakat terhadap PAS,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap muktamar itu menjadi ruang untuk seluruh ahli bukan sekadar mempertahankan pencapaian, malah berani memperbaiki kelemahan dan mempersiapkan diri untuk memikul amanah lebih besar.
Beliau turut menegaskan bahawa perbezaan pandangan dalam organisasi tidak seharusnya dianggap sebagai masalah kerana khilaf yang diurus dengan baik boleh menjadi kekuatan.
Katanya, PAS mempunyai struktur parti, kepimpinan, mesyuarat, muktamar serta mekanisme tertentu untuk membincangkan setiap perkara dan menyelesaikan perbezaan pandangan.
“Apa yang perlu dielakkan ialah membawa perbezaan pandangan daripada bilik perbincangan ke ruang yang boleh memecahkan ahli.
Kita boleh berbahas dengan keras tentang isu, tetapi jangan sampai hubungan sesama ahli rosak,” tegasnya.
Beliau berkata, perbezaan pandangan perlu diurus melalui saluran yang betul, manakala keputusan yang dibuat selepas perbincangan perlu dilaksanakan secara bersama.
Dalam masa sama, katanya, ahli PAS perlu kembali bekerja selepas muktamar dengan memberikan tumpuan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menurutnya, persiapan itu bukan semata-mata untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya, bahkan bagi memastikan parti benar benar bersedia memikul amanah pemerintahan sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.
“Kita sudah melalui perjalanan yang panjang. PAS bukan lagi parti yang hanya bercakap tentang perjuangan dari luar kerajaan. Kita telah mempunyai pengalaman mentadbir di beberapa negeri dan mempunyai pengalaman berada dalam kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Justeru, menjelang Muktamar Ke-72, saya berharap kita datang bukan sekadar dengan semangat untuk mempertahankan apa yang telah kita capai, tetapi dengan tekad untuk memperbaiki apa yang masih kurang dan mempersiapkan diri untuk amanah yang lebih besar.
“Muktamar selesai, tetapi kerja kita sebenarnya baru bermula,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/8/2026
Ulasan
Catat Ulasan