Lebih 30,000 dijangka hadir ke Muktamar PAS



Lebih 30,000 dijangka hadir ke Muktamar PAS di Pengkalan Chepa, Kelantan pada 2-5 Sept 2026
August 31, 2026

KOTA BHARU: Lebih 30,000 perwakilan, pemerhati, ahli, penyokong serta pengunjung dijangka hadir ke Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 yang akan berlangsung di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, di sini.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, jumlah tersebut dijangka lebih besar memandangkan muktamar tahun ini diadakan bersempena Sambutan Jubli Intan PAS.

Menurut beliau, jumlah perwakilan sahaja, termasuk daripada Dewan-dewan PAS di peringkat Pusat, dianggarkan sekitar 5,000 orang.

“Justeru, saya ingin menjemput tuan-tuan dan puan-puan, khususnya ahli PAS, para penyokong PAS, rakan-rakan Perikatan Nasional serta seluruh rakyat Malaysia untuk hadir beramai-ramai” pelawanya.

Muktamar akan berlangsung bermula 3 September bagi persidangan Dewan-dewan PAS, manakala Muktamar Tahunan PAS Pusat pula berlangsung pada 4 dan 5 September.

Katanya, orang ramai bagaimanapun berpeluang mengunjungi PUTIK lebih awal, iaitu mulai 2 September, berikutan pelbagai persembahan, pameran dan aktiviti yang disediakan untuk pengunjung.

Katanya, muktamar kali ini lebih istimewa kerana turut diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-75 penubuhan PAS yang dikenali sebagai Jubli Intan PAS.

“Pelbagai acara menarik telah disusun dan akan dipersembahkan kepada para hadirin dan pengunjung yang hadir ke PUTIK.

“Muktamar akan bermula pada pagi 4 September dan insya-Allah ucapan dasar akan disampaikan oleh Tuan Guru Presiden PAS sebelum program diteruskan sehingga 5 September,” katanya.

Faizi turut memberi jaminan bahawa pihak penganjur akan menyediakan ruang dan kemudahan terbaik bagi menampung kehadiran para perwakilan, pemerhati serta pengunjung.

“Jangan bimbang mengenai kemudahan dan ruang untuk para pengunjung kerana insya-Allah kita akan menyediakan ruang dan kemudahan yang terbaik untuk semua.

“Ayuh kita hadir beramai-ramai ke PUTIK pada 2 hingga 5 September. Insya-Allah, kita jumpa di sana,” serunya.

Sempena sambutan tersebut, pameran khas berkaitan sejarah perkembangan PAS dan pembangunan PUTIK turut diadakan di pavilion yang disediakan bersebelahan Dewan PUTIK.

Pavilion berhawa dingin itu menempatkan reruai Arkib PAS Pusat, Pustaka Permata Ummah, Arkib PAS Kelantan, Arkib PAS Terengganu dan Arkib PAS Kedah.

Turut menyertai pameran ialah Dewan Ulamak PAS, Dewan Pemuda PAS, Dewan Muslimat PAS, Dewan Himpunan Pendukung PAS, Arkib PAS Perak, Arkib PAS Pahang, PAS Relief, Khidmat Malaysia, Lajnah Kebajikan PAS dan _Harakah_.

Pengerusi Arkib PAS Kelantan, Zulkifli Mamat berkata, ruang Arkib PAS Kelantan akan menyediakan pameran bahan bersejarah berkaitan PAS, pembangunan PUTIK, maklumat kerajaan negeri dan pelbagai lagi.

“Perwakilan, pemerhati dan pengunjung boleh mendapatkan info berkaitan perkembangan sejarah awal PAS di Kelantan dan kerajaan negeri di bawah PAS sehingga melewati 55 tahun, bermula 1959 hingga 1978 dan 1990 sehingga sekarang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kelantan, Dato’ Abdul Rahman Yunus turut mengalu-alukan kedatangan para perwakilan dan pemerhati dari seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak ke Kelantan.

Beliau berkata, penganjuran pelbagai program muktamar kali ini juga bertepatan dengan cuti persekolahan, sekali gus memberi peluang kepada para perwakilan, pemerhati dan keluarga menikmati suasana percutian di Kelantan.

“Saya mengalu-alukan semua para perwakilan dan pemerhati dari seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk hadir ke Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 yang akan berlangsung dari 2 hingga 5 September akan datang.

“Kebetulan pada waktu tersebut merupakan cuti persekolahan, maka saya ingin menjemput semua, sama ada para perwakilan, pemerhati mahupun ahli keluarga, untuk datang beramai-ramai ke negeri Kelantan,” katanya.

Menurut beliau, selain menghadiri muktamar, para tetamu juga boleh mengambil kesempatan mengunjungi pelbagai tempat menarik yang terdapat di Kelantan.

“Selain menghadiri muktamar, para perwakilan, pemerhati dan keluarga juga boleh mengambil kesempatan untuk menikmati suasana percutian serta mengunjungi pelbagai tempat menarik yang terdapat di Kelantan.

“Insya-Allah, kehadiran tuan-tuan dan puan-puan akan memeriahkan lagi Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 dan sambutan istimewa Jubli Intan PAS,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak hadir ke Kelantan dan bersama-sama memeriahkan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 serta Sambutan Jubli Intan PAS. – HARAKAHDAILY 31/8/2026

Ulasan