MB PH lulus sebelum DUN bubar, siapa berani sebut ‘sakau’Gesa dedah punca kuasa peruntukan ADUN
August 28, 2026
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sembilan digesa mendedahkan punca kuasa yang digunakan bagi meluluskan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hanya dua hari sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.
Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, penjelasan itu perlu diberikan susulan permintaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Ismail Lasim supaya peruntukan ADUN yang disalurkan secara tidak sah dipulangkan selepas DUN dibubarkan.
Menurutnya, peruntukan berkenaan diluluskan menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 3 Jun 2026 sebelum disalurkan pada 4 Jun, manakala DUN dibubarkan berkuat kuasa pada 5 Jun.
“Kalau benar penyaluran itu tidak sah, punca kuasa apa yang digunakan oleh kerajaan negeri dan Menteri Besar terdahulu untuk meluluskan peruntukan tersebut hanya dua hari sebelum DUN dibubarkan?
“Takkan ketika Mesyuarat EXCO, tidak terlintas langsung bahawa DUN bakal dibubarkan dua hari kemudian?” persoalnya dalam ulasan di media sosial.
Beliau berkata, sekiranya terdapat punca kuasa bagi kelulusan berkenaan, kerajaan negeri perlu mendedahkannya kepada umum.
Sebaliknya kata beliau, jika tiada punca kuasa, timbul persoalan mengenai asas wang rakyat itu disalurkan sedangkan penerimanya bakal kehilangan status sebagai ADUN dalam tempoh dua hari.
Menurut beliau, antara peruntukan yang disalurkan ialah RM45,000 bagi kesejahteraan rakyat dan RM13,000 untuk Pusat Khidmat ADUN.
“DUN sudah bubar dan ADUN sudah menjadi rakyat biasa. Jadi, Pusat Khidmat ADUN yang mana satu hendak dibayar? Program kesejahteraan rakyat itu pula hendak dilaksanakan atas kapasiti apa?
“Atas nama kerajaan, ADUN yang sudah tidak lagi menjadi ADUN atau calon pilihan raya Pakatan Harapan (PH)?” soalnya.
Khairul Faizi juga berkata, jika peruntukan berkenaan dianggap sebagai bonus kepada ADUN kerajaan menjelang pilihan raya, perkara itu mungkin mempunyai alasan tersendiri.
Bagaimanapun tegasnya, wang tersebut ialah wang rakyat dan bukannya milik peribadi mana-mana pihak.
Beliau turut mempersoalkan sikap pihak yang sebelum ini lantang menggunakan istilah ‘sakau’ apabila isu peruntukan membabitkan pihak lain.
“Mungkin perkataan ‘sakau’ hanya digunakan apabila duit rakyat keluar kepada orang yang salah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Negeri Sembilan membuat laporan polis dan menjalankan siasatan secara terbuka sekiranya benar berlaku penyaluran wang rakyat tanpa punca kuasa yang sah.
Tegas Khairul Faizi, Kerajaan Negeri Sembilan tidak seharusnya sekadar meminta wang berkenaan dipulangkan.
Sebaliknya kemuka beliau, perlu mendedahkan pihak yang meluluskannya, punca kuasa yang digunakan, penerima serta tujuan peruntukan itu disalurkan.
Ismail kelmarin memaklumkan 17 ADUN PH dan dua penyelaras DUN daripada pentadbiran terdahulu diminta memulangkan peruntukan bagi tempoh tertentu selepas DUN dibubarkan.
Menurutnya, tujuh bekas EXCO perlu memulangkan RM150,000 setiap seorang bagi peruntukan Ogos dan September, manakala 10 ADUN biasa perlu memulangkan RM174,000 bagi tempoh Julai hingga September.
Dua penyelaras DUN bagi Labu dan Paroi pula diminta memulangkan RM150,000 setiap seorang bagi tempoh sama.
Ismail menjelaskan, bekas EXCO termasuk Menteri Besar ketika itu, Dato’ Seri Aminuddin Harun kekal berstatus ex-officio sehingga 31 Julai dan layak menggunakan peruntukan bagi bulan berkenaan.
Dalam perkembangan sama, wakil ADUN PH, J Arul Kumar dilaporkan meminta kerajaan negeri mempertimbangkan semula arahan pemulangan itu kerana sebahagian peruntukan berkenaan sudah disalurkan untuk kebajikan rakyat.
Menurutnya, dana itu antara lain telah disalurkan kepada individu, sekolah, persatuan, Kawasan Rukun Tetangga dan Jawatankuasa Keselamatan dan Pembangunan Kampung bagi aktiviti kemasyarakatan.
Khairul Faizi bagaimanapun menegaskan, persoalan utama yang perlu dijawab ialah punca kuasa di sebalik kelulusan dan penyaluran peruntukan berkenaan.
“Kalau benar tiada punca kuasa, ini bukan lagi soal politik. Ini soal amanah terhadap wang rakyat. Kalau betul berlaku salah guna kuasa, jangan pula apabila yang melakukannya ‘orang kita’, definisi sakau berubah menjadi tersilap prosedur.
“Rakyat bukan bodoh. Rakyat cuma sedang menunggu siapa sebenarnya yang akan berani menyebut ‘sakau’ kali ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/8/2026
Ulasan
Catat Ulasan