MEMPERKASA ORGANISASI, MERAKYATKAN PAS - UCAPTEMA PESURUHJAYA PAS JOHOR 2026


 

KONVENSYEN PAS JOHOR 2026

UCAPTAMA PESURUHJAYA PAS NEGERI JOHOR

“MEMPERKASA ORGANISASI, MERAKYATKAN PAS”


اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ.

اَلْحَمْدُ لِلهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ. وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ،وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ

رَبِّ اشْرَحْ لِيْ صَدْرِيْ، وَيَسِّرْ لِيْ أَمْرِيْ، وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِيْ، يَفْقَهُوْا قَوْلِيْ.


Sidang Konvensyen PAS Negeri Johor yang saya kasihi sekalian,

Perjuangan PAS tidak pernah bergerak tanpa hala tuju. Setiap cabaran dan kesukaran untuk memperoleh kemenangan dalam perjuangan daripada Allah SWT, khususnya dalam konteks PAS negeri Johor, bukanlah noktah perjuangan, bahkan inilah amanah perjuangan dan ujian buat kita semua. Setiap cabaran dan kekangan bukanlah alasan untuk kita berundur, sebaliknya peluang untuk kita sama-sama beristiqamah memperkukuhkan saf perjuangan.

Allah SWT ada mengingatkan kita:

وَقُلِ اعْمَلُواْ فَسَيَرَى اللّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَلِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

“Dan katakanlah: Beramallah kamu, maka Allah akan melihat amalan kamu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman."

(Surah al-Taubah: 105)

Ayat ini mengajar bahawa kejayaan sesebuah gerakan Islam tidak bergantung kepada slogan dan retorik, tetapi kepada perancangan yang teliti, pelaksanaan yang sistematik serta budaya muhasabah dan penambahbaikan yang berterusan. Semuanya hanya berlaku dengan izin Allah SWT.

Sidang Konvensyen yang dirahmati Allah SWT,

Ucaptama ini membawa tema "Memperkasa Organisasi, Merakyatkan PAS." Tema ini dipilih bukan sekadar sebagai slogan, bahkan sebagai satu tekad dan pelan tindakan yang perlu diterjemahkan oleh seluruh saf kepimpinan, dewan, lajnah, kawasan, cawangan dan ahli PAS di seluruh Negeri Johor.

Kita berada pada satu fasa yang amat penting dalam perjalanan perjuangan PAS. Landskap politik negara terus berubah, harapan rakyat semakin tinggi dan cabaran terhadap gerakan Islam menjadi semakin mencabar. Oleh itu, PAS Johor tidak boleh hanya bergantung kepada kejayaan lalu, bahkan perlu membina kekuatan baharu yang lebih tersusun, profesional dan dekat dengan rakyat.

Tema ini dibina atas dua teras utama yang saling melengkapi.

TERAS PERTAMA : “MEMPERKASA ORGANISASI”

Teras ini memberi penekanan kepada pengukuhan dalaman parti. Organisasi yang mantap merupakan asas kepada kejayaan perjuangan. Ianya boleh dipecahkan kepada 2 struktur pemerkasaan:

Pertama : Pemerkasaan organisasi faktor dalaman

Kedua : Pemerkasaan organisasi factor luaran

Pemerkasaan organisasi faktor dalaman

Pecahan struktur yang akan membantu pemerkasaan organisasi dari sudut dalaman:

1. Pengukuhan tarbiah dan kefahaman terhadap manhaj perjuangan

Tarbiyah dalam Islam merangkumi pendidikan dan latihan yang bermula pada peringkat individu, keluarga dan masyarakat. Perkembangan tarbiah yang berterusan telah membawa kepada penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Sebagai sebuah gerakan Islam, PAS telah menjadikan Islam sebagai asas dalam perjuangan. Hal ini dapat dilihat secara jelas melalui Perlembagaan PAS 1973 (Fasal 2 [1]) dan Perlembagaan PAS 1977 (Fasal 3) yang mengisytiharkan dasar PAS ialah Islam. Perlembagaan PAS (Pindaan 2001) turut menekankan Islam sebagai dasar PAS. Justeru, setiap gerak kerja PAS adalah berpandukan al-Quran, al-Sunah, ijmak ulama dan kias sebagai sumber hukum (Perlembagaan Parti Islam Se-Malaysia 2011). PAS telah menjadikan tarbiah sebagai komponen utama untuk melaksanakan Islam

Tarbiah adalah elemen pembeza yang paling ketara dalam gerakan politik di Malaysia terutamanya untuk membezakan antara PAS dengan parti-parti politik yang lain. Sebagai sebuah gerakan Islam, PAS bergerak melalui tiga tunjang utama iaitu tarbiyah, dakwah dan siasah. Lalu elemen tarbiyah inilah yang membina kekuatan yang menunjangi perjuangan PAS, di mana ahli-ahlinya begitu kental mempertahankan dasar, tujuan dan hala tuju perjuangan mereka kerana pentingnya tarbiyah ini, maka semua gerakan Islam meletakkan tarbiyah sebagai komponen utama mereka, di samping politik (siasah) dan dakwah.

Program tarbiyah haraki dan perkaderan telah mengubah tarbiyah PAS dari aspek program dan aktiviti, keahlian dan kepemimpinan serta peranan ulama dalam membangunkan parti. Dengan slogan “Allah matlamat kami, Rasul pimpinan kami, al-Quran panduan kami, jihad jalan kami dan syahid cita-cita kami,” PAS telah berjaya membina kekuatan syakhsiah ahli-ahlinya dalam perjuangan menegakkan agama Allah.

Secara umumnya, tarbiyah haraki adalah program tarbiyah berkala dalam membentuk peribadi muslim sebagai pejuang Islam melalui usrah, tamrin, mukhayyam, rehlah, nadwah, liqa fikri dan juga ijtimak yang melibatkan seluruh ahli PAS di cawangan, kawasan, negeri dan pusat. Peringkat tarbiyah harakiyah ini disusun dalam tiga tahap iaitu taarif (pengenalan), takwin (pembentukan) dan tanfiz (pelaksanaan).

Kegagalan ahli-ahli dan pimpinan PAS di semua peringkat dalam mengikuti program tarbiyah haraki ini akan menyebabkan berlakunya pergeseran fikrah dan konflik dalam amal. Sebahagian besar isu keciciran dari jalan dakwah adalah difaktorkan oleh kegagalan proses tarbiyah yang dilalui oleh mereka, sehingga mereka tidak dapat menghadapi serangan pemikiran moden dan penyelusupan musuh, tidak memahami stategi politik berasaskan siyasah syar’iyah, melepaskan pergantungan kepada Allah dan hilang keyakinan kepada Islam, yang akhirnya menyebabkan berlaku perubahan hadaf dalam perjuangan dan gagal untuk istiqamah bersama Islam.

Maka sebagai mereka yang telah berbaiah dengan Allah SWT, aspek tarbiah Islamiah yang syamilah perlu diambil perhatian yang serious, kegagalan tarbiah dalam semua peringkat, pimpinan mahupun ahli bakal menatijahkan kerosakan kepada jemaah serta konflik- konflik- yang sepatutnya tidak berlaku. Akhirnya dapatlah kita perhatian sebahagian besar mereka yang keluar dan lari dari jemaah adalah kerana kegagalan dalam proses tarbiyahnya hingga mengakibatkan dugaan, cabaran, fitnah, mahupun tohmahan yang dilalui tidak mampu membuatkannya thabat dengan Jemaah.

Oleh yang demikan tindakan yang perlu ialah:

i. Melaksanakan pemerkasaan tarbiyah melalui usrah, tamrin dan MyMutabaah.

ii. Pemantapan kepimpinan dengan memantapkan Perkaderan dan Latihan Kepimpinan PAS Johor.

iii. Latihan Pembangunan Insan bermodul pembinaan pemimpin pelapis PAS.

2. Pengukuhan pentadbiran dan pengurusan parti

Firman Allah SWT:

سَبَّحَ لِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۖ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ ١ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ ٢ كَبُرَ مَقْتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُوا۟ مَا لَا تَفْعَلُونَ ٣ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلَّذِينَ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِهِۦ صَفًّۭا كَأَنَّهُم بُنْيَـٰنٌۭ مَّرْصُوصٌۭ ٤

“Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

(AsSaff : 1~4)

Kekuatan sesebuah organisasi bukan hanya diukur melalui jumlah ahli atau kehebatan program yang dianjurkan, tetapi lebih penting ialah kecekapan pentadbiran, disiplin pengurusan dan budaya kerja yang tersusun. Organisasi yang mantap akan melahirkan gerak kerja yang sistematik, pantas, berkesan dan diyakini oleh masyarakat.

Cabaran politik semakin kompleks, tuntutan rakyat semakin tinggi dan persaingan semakin sengit. Justeru, PAS Johor mesti melakukan transformasi pentadbiran agar lebih cekap, profesional dan berintegriti.

Pemerkasaan organisasi hendaklah bermula daripada lima perkara utama.

i. Memantapkan sistem pentadbiran.

Setiap peringkat organisasi mesti mempunyai perancangan tahunan yang jelas, pembahagian tugas yang tersusun, rekod pentadbiran yang kemas serta pemantauan berkala terhadap setiap program dan keputusan mesyuarat. Budaya "merancang, melaksana, memantau dan menilai" hendaklah menjadi amalan di semua peringkat.

ii. Memperkasa pengurusan sumber manusia.

Setiap ahli mempunyai potensi yang perlu digilap. Kita mesti mengenal pasti bakat, melatih pelapis kepimpinan, membina pasukan yang kompeten serta meletakkan individu mengikut kepakaran masing-masing. Kekuatan organisasi bergantung kepada kekuatan pasukan, bukannya individu semata-mata.

iii. Memanfaatkan teknologi digital.

Pentadbiran organisasi perlu menggunakan sistem digital yang lebih maju bagi pengurusan data ahli, surat-menyurat, dokumentasi, kewangan, komunikasi dan pemantauan gerak kerja. Penggunaan teknologi akan meningkatkan kecekapan serta mempercepatkan proses membuat keputusan.

iv. Memperkukuhkan tadbir urus dan integriti.

Amanah adalah asas perjuangan. Setiap urusan kewangan, pentadbiran dan pengurusan organisasi hendaklah dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti serta mematuhi peraturan parti. Integriti yang tinggi akan membina keyakinan ahli dan masyarakat terhadap PAS.

v. Membudayakan kerja berpasukan.

Organisasi tidak boleh bergerak secara bersendirian. Semua lajnah, dewan, kawasan dan cawangan hendaklah bergerak secara bersepadu dengan semangat syura, saling mempercayai, saling membantu dan mengutamakan kepentingan jamaah mengatasi kepentingan individu.

Kita perlu meninggalkan budaya bekerja secara bermusim. Sebaliknya, kita membina organisasi yang sentiasa aktif, responsif dan bersedia sepanjang masa. Setiap mesyuarat mesti menghasilkan tindakan, setiap program mesti dinilai keberkesanannya dan setiap kelemahan mesti diperbaiki segera.

3. Penambahan dan pembangunan ahli dan pengukuhan cawangan

Keperluan dan kewajipan untuk PAS Johor memperkasakan penambahan ahli dan penubuhan cawangan-cawangan baru dengan sasaran nisbah bilangan pengundi dan Unit Daerah Mengundi yang ada di setiap Kawasan. Hari ini akan dilancarkan kempen “PAS Pilihanku 2.0” peringkat negeri Johor bagi menyuntik gerakerja penambahan ahli dengan lebih agresif dan berkesan.

4. Pemerkasaan jentera

Berdasarkan apa yang kita hadapi semasa PRN16 Negeri Johor baru-baru ini, ternyata ianya menjadi suatu penanda aras ke atas kebolehan dan keupayaan jentera parti. Segala kelemahan dan kekurangan yang dikenalpasti perlu diterjemahkan dalam bentuk perancangan dan tindakan untk memastikan ianya dapat ditangani, diperbaiki dan diperkasakan. Sebagai contoh perlunya diteruskan dan ditingkatkan intensiti Latihan kemahiran dan pengurusan jentera pilihan raya.

5. Pengurusan kewangan yang mampan

Kedudukan kewangan yang kukuh adalah suatu keperluan bagi memastikan perjalanan organisasi dapat diurus dengan berkesan. Kebergantungan sumber kewangan perlu dipelbagaikan untuk memastikan sumber yang lebih mampan. Sistem kutipan infaq yang menadi teras kekuatan sumber kewangan PAS perlu ditambahbaik disamping suatu pelaksanaan program sumber dana yang lebih strategik melalui inisiatif yang lebih kreatif.

6. Penggunaan media yang lebih berkesan.

Menguasai media merupakan satu lagi keperluan yang kritikal. Melengkapkan struktur pasukan media dan penerangan di seluruh negeri Johor dari sudut tenaga kerja, medium (perantara) dan peralatan yang bersesuaian dan teknologi terkini memang perlu diberikan perhatian dan tindakan. Peningkatan ilmu dan kemahiran perlu ditingkatkan melalui penganjuran latihan copywriting, reporting, videografi, grafik, penyuntingan dan pengurusan media sosial.

Ringkasnya, kita membina kekuatan PAS dari dalam agar mampu menghadapi apa jua cabaran yang mendatang.

Pemerkasaan organisasi faktor luaran

1. Memperkukuh gabungan dan kepimpinan Perikatan Nasional Johor, memperkasa PAS Johor

PAS Johor meyakini bahawa kekuatan politik tidak mampu lahir daripada sebuah parti secara solo semata-mata, tetapi daripada kesatuan saf, persefahaman dan kerjasama yang tersusun. Untuk itu, Perikatan Nasional Johor perlu diperkasakan sebagai sebuah gabungan yang stabil, diyakini rakyat serta mempunyai budaya tadbir urus yang profesional.

Menyusun semula struktur organisasi PN Johor sehingga lengkap di semua peringkat dan memperkemaskan pelaksanaan mesyuarat peringkat negeri dan kawasan-kawasan secara berkala, selain membina pelan tindakan bersama perlu dilaksanakan.

2. Memperkasa agenda penyatuan ummah, memperkukuh kesedaran politik Melayu-Islam

Penyatuan ummah merupakan antara agenda terbesar perjuangan PAS pada hari ini; dan semakin menampakkan hasilnya.

وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًۭا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah.”

(Surah Ali 'Imran: 103)

PAS Johor akan terus menggandakan usaha menyatukan seluruh kekuatan Melayu-Islam secara khusus merangkumi parti-parti politik, NGO, NGI, tokoh masyarakat, agamawan, profesional dan generasi muda; dalam masa sama tidak sesekali mengabaikan kewujudan masyarakat berbilang agama dan bangsa di Johor.

Pendekatan yang akan diperkasakan ialah:

i. Membina jaringan dan perbincangan bersama memperkukuh Agenda Penyatuan Ummah melalui Round Table Discussion (RTD);

ii. Penganjuran Konvensyen, Seminar dan Ijtimak membawa maksud kepentingan Agenda Penyatuan Ummah & Pendidikan Politik Islam;

iii. Pengelolaan Festival budaya dan sukan yang menyatukan masyarakat Melayu-Islam. Kita mahu penyatuan dibina atas kefahaman, saling menghormati serta maslahah umat, bukan sekadar sentimen dan kepentingan politik jangka pendek.

3. Memperluaskan agenda dakwah dan penerangan

PAS Johor bukan hanya bergerak ketika musim pilihan raya. Dakwah adalah teras dan gerakerja kita sepanjang masa. Justeru agenda penerangan PAS digerakkan bersekali dengan Lajnah Dakwah dengan makna dan tujuan dakwah. Hal ini akan diperkasakan melalui:

i. Penganjuran Hiwar Siyasi dan Kuliah Haraki

ii. Penerbitan artikel ilmiah dan santai

iii. Kesedaran dan kempen Islam Untuk Semua @ PAS For All; seterusnya menangkis racun Islamophobia

Dakwah yang benar bukan sekadar ceramah dan kuliah menyampaikan hujah, tetapi menghadirkan rahmat melalui akhlak, kebajikan dan khidmat kepada rakyat. “Lisan al-hal afsah min lisan al-maqal” . Media pula bukanlah sekadar alat mempertahankan parti tetapi medium mendidik dan mencerdikkan masyarakat.

TERAS KEDUA : MERAKYATKAN PAS

PAS perlu juga diperkasakan dengan hubungan luar melalui pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat. PAS hendaklah sentiasa hadir bersama rakyat, bukan hanya ketika musim pilihan raya tetapi sepanjang masa. Rakyat perlu merasai kehadiran PAS melalui:

i Program kebajikan

ii Aktiviti dan institusi pendidikan

iii Khidmat masyarakat

iv Pengurusan bencana

v Pembelaan terhadap isu-isu rakyat

vi Pusat Aduan Rakyat

vii Hubungan dengan masyarakat pelbagai kaum dan agama serta penyelesaian kepada permasalahan yang mereka hadapi.

PAS mesti dikenali bukan sahaja kerana dasar perjuangannya tetapi juga kerana khidmatnya yang berterusan kepada masyarakat.

Firman Allah SWT:


وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam perkara kebajikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perkara dosa dan permusuhan.”

(Surah al-Ma'idah: 2)

Ayat ini mengajar kita bahawa perjuangan Islam bukan sekadar menegakkan kuasa, tetapi membina sebuah masyarakat yang saling membantu, saling mengangkat martabat antara satu sama lain, dan bersama-sama menuju keredaan Allah SWT.

Sebab itulah tema "Merakyatkan PAS" bukan sekadar slogan politik. la adalah manifestasi bahawa PAS mesti sentiasa berada di tengah-tengah denyut nadi kehidupan rakyat, mendengar suara mereka, memahami kesusahan mereka, serta tampil membawa penyelesaian yang berpaksikan Islam, ilmu dan kebijaksanaan.

PAS Johor mesti terus memperkukuhkan identitinya sebagai sebuah parti khidmat yang sentiasa hadir bersama rakyat tanpa mengira masa, tempat atau musim pilihan raya. Perjuangan PAS bukan sekadar tertumpu kepada medan politik dan pilihan raya tetapi turut diterjemahkan melalui khidmat kebajikan, pendidikan, kemanusiaan, pengurusan bencana, kesihatan, pembangunan masyarakat serta pembelaan terhadap golongan yang memerlukan. Tindakan yang diperlukan ialah:

i. 100% PAS Kawasan mempunyai Pusat Aduan Rakyat yang beroperasi menjelang tahun 2027.

ii. Laporan aduan bulanan dibentangkan kepada Badan Perhubungan PAS Johor bagi mengenal pasti isu utama rakyat mengikut kawasan.

PAS Johor perlu sentiasa peka dan responsif terhadap setiap isu yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat. Sebagai sebuah parti yang membawa aspirasi Islam dan berteraskan kepentingan rakyat, PAS tidak boleh sekadar mengulas sesuatu isu, sebaliknya mesti tampil dengan cadangan penyelesaian yang praktikal, berfakta dan berpandangan jauh.

Antara isu yang perlu diberikan perhatian ialah kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan mampu milik, pembangunan ekonomi negeri, bekalan air, pengurusan banjir, alam sekitar, pendidikan, keselamatan, pembangunan luar bandar serta pelaksanaan projek-projek strategik yang memberi kesan kepada masa depan Johor. Dalam masa yang sama, PAS Johor juga perlu meneliti dasar-dasar kerajaan negeri secara objektif dengan memainkan peranan sebagai semak dan imbang yang membina demi memastikan setiap keputusan benar-benar mengutamakan kepentingan rakyat.

Pendekatan PAS hendaklah berasaskan prinsip "mengkritik dengan fakta, menawarkan penyelesaian dan mengutamakan kebajikan rakyat." Melalui pendekatan ini, PAS Johor akan dilihat sebagai sebuah parti yang matang, bertanggungjawab dan sentiasa bersedia menjadi alternatif kepimpinan negeri yang berwibawa.

PERANAN PAS JOHOR DALAM LANDSKAP POLITIK NEGERI

PAS Johor akan terus memainkan peranannya sebagai sebuah gerakan Islam yang istiqamah memperjuangkan syariat Islam, keadilan, integriti dan kebajikan rakyat. Peranan ini tidak bergantung kepada kedudukan sama ada sebagai kerajaan atau pembangkang, sebaliknya berasaskan tanggungjawab untuk membawa penyelesaian dan memastikan kepentingan rakyat sentiasa dipelihara.

Dalam landskap politik Johor yang semakin dinamik, PAS Johor perlu tampil sebagai sebuah parti yang matang, berwibawa dan berpandangan jauh. PAS bukan sekadar menjadi pengkritik terhadap dasar dan tindakan kerajaan tetapi turut mengemukakan cadangan, idea dan penyelesaian yang praktikal terhadap setiap isu yang dihadapi oleh rakyat dan negeri Johor.

PAS Johor akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang yang bertanggungjawab dengan menilai setiap dasar kerajaan secara objektif, berasaskan fakta serta kepentingan rakyat. Segala teguran hendaklah disampaikan secara berhemah, manakala setiap cadangan hendaklah berpaksikan prinsip tadbir urus yang baik, keadilan sosial dan pembangunan yang mampan.

Dalam masa yang sama, PAS Johor akan memperkukuhkan peranannya sebagai jambatan antara rakyat dengan kerajaan melalui penyampaian suara rakyat, pembelaan terhadap golongan yang memerlukan serta usaha mendapatkan penyelesaian terhadap pelbagai isu yang membelenggu masyarakat. Kehadiran PAS di tengah-tengah masyarakat perlu diterjemahkan melalui khidmat yang berterusan, bukan hanya ketika berhadapan dengan pilihan raya.

PAS Johor juga komited untuk mendukung agenda pembangunan negeri yang membawa manfaat kepada rakyat. Setiap dasar atau projek yang memberi kebaikan kepada Johor akan disokong, manakala sebarang kelemahan atau keputusan yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat akan ditegur secara berhemah dan bertanggungjawab. Pendekatan ini mencerminkan kematangan politik yang mengutamakan kepentingan negeri melebihi kepentingan politik kepartian.

Dalam menghadapi pelbagai cabaran seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi, perumahan, bekalan air, pengurusan banjir, pendidikan, keselamatan, kelestarian alam sekitar dan pembangunan wilayah strategik Johor, PAS Johor akan terus mengemukakan dasar dan cadangan yang bersifat inklusif, lestari serta berorientasikan penyelesaian.

Hari ini, rakyat tidak lagi mahu melihat parti yang hanya pandai mengkritik. Rakyat mahu melihat parti yang mampu menawarkan penyelesaian. Rakyat mahu melihat kepimpinan yang matang, berintegriti, berani memberikan teguran yang membina, dan pada masa yang sama bersedia berganding bahu demi kepentingan negeri. Atas dasar itulah PAS Johor memilih untuk menjadi pengimbang yang bertanggungjawab, penasihat dasar yang membina dan rakan strategik kepada Kerajaan Negeri Johor.

Kita menyokong segala dasar yang membawa manfaat kepada rakyat. Kita menegur setiap kelemahan dengan hikmah dan fakta. Kita juga menawarkan cadangan yang lebih baik demi masa depan Johor. Inilah siyasah yang diajar oleh Islam.

Firman Allah SWT:

وَقُلِ اعْمَلُوْا فَسَيَرَى اللّٰهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُوْلُهٗ وَالْمُؤْمِنُوْنَۗ

'‘Dan katakanlah: Beramallah kamu, maka Allah akan melihat amalan kamu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman.”

(Surah at-Taubah: 105)

Sebagai sebuah parti yang matang, kita perlu berlaku adil dalam menilai pentadbiran negeri. Kita mengiktiraf bahawa Johor sedang menikmati pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan. Negeri ini muncul antara penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negara, menerima pelaburan bernilai berbilion ringgit, menjadi peneraju pembangunan pusat data, dan melalui Zon Ekonomi Khas Johor - Singapura (JS-SEZ), Johor dijangka menjadi antara hab ekonomi paling penting di rantau ini. Kita mengalu-alukan segala usaha yang membawa kemajuan. Namun, perlu dipastikan kemajuan ini benar-benar dirasai oleh seluruh rakyat Johor. Anak-anak Johor msti menjadi keutamaan sebagai tenaga kerja utama dalam sektor berpendapatan tinggi. Perusahaan kecil dan sederhana Bumiputera di Felda, kampung tradisional, nelayan dan masyarakat luar bandar, seharusnya mampu menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan ekonomi baharu. Johor mencadangkan agar kerajaan negeri mempercepatkan pelaksanaan pelan induk JS-SEZ secara telus, memperkukuh latihan kemahiran untuk anak Johor, menyediakan peluang kepada PKS tempatan, serta mewujudkan papan pemuka prestasi yang boleh diakses rakyat supaya setiap projek besar dapat dipantau secara terbuka.

Kerajaan negeri juga telah memperkenalkan pelbagai inisiatif membantu rakyat seperti Bantuan Kasih Johor, Jualan Kasih Johor dan pelbagai bentuk bantuan sosial. Kita menghargai usaha ini. Namun bantuan yang baik perlu menjadi bantuan yang tepat, bukan sekadar banyak. PAS Johor mencadangkan agar seluruh sistem kebajikan negeri disepadukan menggunakan pangkalan data yang menyeluruh supaya setiap bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang layak. Islam mengajar kita berlaku adil. Bukan sekadar memberi tetapi memberi kepada orang yang benar-benar memerlukan.

Johor mempunyai satu kelebihan yang tidak dimiliki oleh banyak negeri lain. Johor mempunyai sekolah agama yang menjadi kebanggaan rakyat. Johor mempunyai institusi masjid yang hidup. Johor mempunyai tradisi Islam yang kukuh. Nikmat ini wajib dipelihara.

Perpaduan yang kita perjuangkan bukan hanya perpaduan politik tetapi perpaduan untuk membawa seluruh masyarakat kembali kepada ketaatan kepada Allah SWT. PAS Johor bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri memperkukuhkan sekolah agama, memperkasakan masjid, memartabatkan institusi keluarga serta membentuk generasi muda yang berilmu, berakhlak dan berintegriti. Kemajuan tanpa akhlak akan melahirkan masyarakat yang rapuh. Kemajuan dengan iman akan melahirkan tamadun yang diberkati.

PAS Johor ingin membawa satu gagasan baharu yang saya percaya mampu menjadikan Johor peneraju negara. Kebajikan Digital Berteraskan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence). PAS Johor mencadangkan agar kerajaan negeri membangunkan Johor Social Intelligence Platform, iaitu sistem Al yang menggabungkan data e-Kasih, PADU, Bantuan Kasih Johor, Majlis Agama Islam Johor, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi berkaitan bagi memastikan bantuan sampai secara tepat, cepat dan telus. Al juga boleh dimanfaatkan bagi mengesan kawasan banjir, merancang pengagihan bantuan, mengurus temujanji hospital, memantau kesesakan klinik, malah membantu masjid mengenal pasti keluarga yang memerlukan bantuan dan memperkukuhkan aktiviti dakwah.

Sabda Rasulullah SAW:

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

"Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia.”

Maka teknologi yang membawa manfaat kepada manusia adalah sebahagian daripada tuntutan ihsan dalam pentadbiran. Dalam keghairahan menarik pelaburan pusat data, janganlah kita lupa bahawa terdapat satu lagi amanah yang wajib dipelihara. Amanah itu ialah air.

Firman Allah SWT:

ۖ وَجَعَلْنَا مِنَ ٱلْمَآءِ كُلَّ شَىْءٍ حَىٍّ

"Dan Kami jadikan daripada air itu setiap sesuatu yang hidup.”

(Surah al-Anbiya": 30)

Air bukan sekadar sumber ekonomi. Air ialah hak rakyat. Air ialah amanah Allah. PAS Johor mengiktiraf langkah kerajaan negeri yang mula mengawal penggunaan air oleh industri pusat data. Namun kami berpandangan langkah ini perlu diperkukuhkan melalui dasar yang lebih tegas. Kami mencadangkan supaya penggunaan air alternatif diwajibkan bagi semua pusat data baharu, audit penggunaan air dilaksanakan setiap tahun, bekalan air domestik diberi keutamaan ketika musim kemarau, pembinaan loji rawatan air dipercepatkan dan satu jawatankuasa khas melibatkan pakar universiti tempatan diwujudkan bagi menilai impak jangka panjang terhadap sumber air negeri. Inilah wajah PAS. Kita tidak menolak pembangunan.Tetapi kita memastikan pembangunan tidak mengorbankan kepentingan rakyat.

PAS Johor tidak mahu dikenali sebagai parti yang hanya bercakap mengenai masalah. PAS Johor mahu dikenali sebagai parti yang membawa penyelesaian. PAS Johor mahu menjadi rakan strategik kepada kerajaan negeri. PAS Johor mahu memastikan setiap dasar yang dilaksanakan membawa kemajuan ekonomi, kesejahteraan sosial, kelestarian alam sekitar dan keberkatan daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ

“Sekiranya penduduk sesuatu negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami akannmelimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan dari bumi."

(Surah al-A'raf: 96)

Jelas nyata, PAS Johor wala’ dan taat dengan kepimpinan Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS yang membawa strategi memastikan bumi Johor dipertahankan dan dikekalkan kuasa majoriti Islam-Melayu sebagai pemegang tampuk Kerajaan Negeri Johor, yang bernaung di bawah pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor.

PERSEDIAAN MENUJU PRU16

Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) merupakan medan penting yang akan menentukan hala tuju politik negara dan masa depan perjuangan PAS di Johor. Justeru, PAS Johor perlu membuat persiapan secara menyeluruh, sistematik dan berterusan. Persediaan ini tidak boleh bermula apabila Parlimen dibubarkan, sebaliknya hendaklah dilaksanakan sebaik sahaja berakhirnya PRN16. PAS Johor mesti segera mengenal pasti kerusi Parlimen yang berpotensi untuk ditandingi dan dimenangi.

Persediaan menuju PRU16 perlu berpaksikan kepada pengukuhan organisasi, kesiapsiagaan jentera, penguasaan data, pembangunan kepimpinan, kekuatan kewangan dan penerimaan rakyat. Kesemua aspek ini perlu bergerak secara serentak agar PAS Johor mempunyai keupayaan untuk menghadapi pilihan raya dengan lebih yakin dan tersusun. Dari sudut organisasi, setiap kawasan dan cawangan hendaklah mempunyai pelan tindakan yang jelas, disokong oleh struktur kepimpinan yang mantap, pembahagian tugas yang tersusun serta sistem pemantauan yang berkesan. Semua jentera pilihan raya perlu dibentuk lebih awal, termasuk jentera operasi, Unit Daerah Mengundi (UDM), petugas Pusat Mengundi, ejen tempat mengundi dan ejen pengiraan undi agar latihan serta penyelarasan dapat dilaksanakan secara berterusan.

PAS Johor juga perlu memperkukuhkan pengurusan data dan maklumat pengundi. Pengemaskinian profil pengundi, analisis kawasan, pemetaan kekuatan dan kelemahan, serta penggunaan teknologi digital hendaklah dipertingkatkan bagi memastikan setiap keputusan dan strategi dibuat berdasarkan data yang tepat dan terkini.

SEPULUH ARAHAN KEPADA AHLI PAS JOHOR

Kesimpulan dari perkara-perkara yang disebutkan, membawa kepada 10 arahan yang berikut:

1. Memperkukuh Wala' dan Disiplin Jamaah

2. Menambah Keahlian Secara Agresif

3. Memperkasakan PAS Cawangan

4. Merakyatkan PAS

5. Mendepani Isu Semasa Johor

6. Memperkukuh Jentera Pilihan Raya

7. Memantapkan Ekonomi dan Kewangan Parti

8. Memperkasa Media dan Komunikasi

9. Melahirkan Pelapis Kepimpinan

10. Memperkukuh Budaya Prestasi dan Akauntabiliti

PENUTUP

Dua teras yang menjadi tema konvesyen PAS Johor kali ini tidak boleh dipisahkan. Organisasi yang kuat tetapi jauh daripada rakyat akan kehilangan pengaruh. Sebaliknya, keghairahan mendekati rakyat tanpa organisasi yang tersusun akan menyebabkan gerak kerja menjadi lemah dan tidak berkesan. Justeru kejayaan PAS Johor bergantung kepada keupayaan kita mengimbangi kedua-dua aspek ini secara serentak.

Atas kesedaran inilah, ucaptama ini menggariskan beberapa dasar, strategi dan tindakan yang perlu dilaksanakan oleh seluruh PAS Johor bagi memperkukuh organisasi, memperluaskan khidmat kepada rakyat serta mempersiapkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 dengan lebih yakin dan tersusun.

Kita mahu PAS Johor menjadi sebuah gerakan yang kukuh organisasinya, mantap tarbiyahnya, luas dakwahnya, profesional pentadbirannya, kuat penyatuannya, berwibawa kepimpinannya dan dekat di hati seluruh rakyat. Saya doakan PAS Johor mampu memimpin dan meyumbang gelombang kebangkitan baharu ini, insya Allah!

Marilah kita melangkah ke hadapan dengan semangat Fastabiqul Khairat, memperkukuh muwajahah silmiyyah, memantapkan tarbiah, memperluaskan dakwah, memperkasakan penyatuan ummah serta mempersiapkan PAS Johor sebagai gerakan Islam dan Parti Politik yang semakin diyakini rakyat.

Semoga setiap strategi ini diterjemahkan menjadi tindakan yang tersusun di peringkat negeri, kawasan, cawangan dan dewan-dewan, sehingga akhirnya lahirlah sebuah PAS Johor yang bukan sahaja berjaya memenangi hati rakyat, bahkan dipilih oleh Allah SWT untuk memimpin Johor dengan membawa penyelesaian Islam yang adil, memberikan ke”BERKAT”an, dengan penuh ke”PRIHATIN”an serta memberikan ke”SEJAHTERA”an kepada seluruh masyarakat.

“Bekerjalah seolah-olah kemenangan itu hampir tiba dan berdoalah seolah-olah segala-galanya bergantung kepada pertolongan Allah. Kerana kemenangan yang hakiki bukan hanya memenangi keperluan dunia, tetapi memenangi keredaan Ilahi.”

وَبِاللهِ التَّوْفِيْقُ والهِدَايَةُ وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

اَللَّهُ أَكْبَرُ , اَللَّهُ أَكْبَرُ , اَللَّهُ أَكْبَرُ

Ulasan