MENJELANG MUKTAMAR PAS KALI KE-72 - AS-SABIQUN DAN DHPP: DUA DEWAN SEBAGAI KEKUATAN BAHARU PAS






MENJELANG MUKTAMAR PAS KALI KE-72

AS-SABIQUN DAN DHPP: DUA DEWAN SEBAGAI KEKUATAN BAHARU PAS

Oleh: Khairul Faizi Ahmad Kamil



Apabila PAS memasuki usia 75 tahun pada tahun ini, kita sering bercakap tentang sejarah perjuangan, tokoh-tokoh terdahulu dan perjalanan panjang sebuah gerakan yang bermula pada tahun 1951. Namun, ada satu persoalan yang tidak kurang penting untuk difikirkan: bagaimanakah PAS memastikan kekuatan yang dibina selama 75 tahun ini terus berkembang untuk 25 tahun akan datang?



Persoalan ini menjadi lebih menarik apabila PAS memperkukuh dua wadah dalam struktur organisasinya, iaitu Dewan As-Sabiqun PAS (DASP) dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP). Kedua-duanya mempunyai latar dan fungsi yang berbeza tetapi membawa mesej yang sama iaitu untuk memastikan kesinambungan perjuangan, pada masa yang sama memperluaskan ruang penglibatan masyarakat dalam gerak kerja PAS.



Menjelang Muktamar PAS Kali Ke-72, kedua-dua wadah ini wajar diberikan perhatian kerana ia menggambarkan bagaimana PAS yang telah berusia 75 tahun melihat keperluan untuk memelihara warisan perjuangan sambil membuka ruang kepada kekuatan Baharu kerana kedua-dua Dewan ini baru sahaja diluluskan oleh ROS pada tahun lalu.



Yang lama tidak ditinggalkan



Pada 14 Oktober 2017, PAS mencatat satu lagi sejarah apabila berlangsung Mesyuarat Sidang As-Sabiqun PAS Pusat yang menandakan transformasi daripada Kelab Veteran PAS kepada sebuah wadah yang lebih tersusun, iaitu As-Sabiqun.



Sebelum itu, Kelab Veteran PAS menghimpunkan ahli-ahli lama serta tokoh parti yang telah melepasi usia 60 tahun. Penjenamaan kepada Sidang As-Sabiqun memberikan ruang yang lebih tersusun agar pengalaman generasi terdahulu terus dapat dimanfaatkan untuk perjuangan parti.



Mesyuarat pertama As-Sabiqun dipengerusikan oleh almarhum Tuan Haji Subki Latif atau Pak Subky, seorang tokoh veteran PAS yang mempunyai pengalaman luas dalam perjuangan. Mesyuarat tersebut turut dihadiri wakil-wakil As-Sabiqun dari seluruh negeri dan wilayah bagi membincangkan peranan serta hala tuju wadah tersebut. Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, turut menyampaikan taujihat dengan menekankan kepentingan kesinambungan perjuangan Islam daripada generasi terdahulu kepada generasi baharu.



Setelah As-Sabiqun PAS bergerak di atas platform ‘Sidang’ akhirnya pindaan Perlembangaan PAS telah berjaya diluluskan pada tahun 2024 di dalam Mutkamar Tahunan tersebut. Perlembagaan PAS Pindaan 2025 turut memperuntukkan Dewan As-Sabiqun PAS Pusat, dengan ahli PAS berumur 60 tahun ke atas layak memohon untuk menyertainya.



Ada pengalaman yang boleh dipelajari melalui buku tetapi ada pengalaman yang hanya lahir selepas puluhan tahun berada di lapangan.



Generasi baharu mungkin lebih menguasai teknologi, media sosial dan pendekatan komunikasi moden. Namun generasi terdahulu pula memiliki pengalaman yang lahir daripada perjalanan panjang perjuangan. Sebab itu kedua-duanya perlu bertemu dan bergerak Bersama-sama.



As-Sabiqun boleh menjadi jambatan yang menghubungkan pengalaman generasi terdahulu dengan keperluan organisasi masa kini. Mereka bukan sekadar untuk dikenang ketika sambutan ulang tahun atau dijemput ke majlis rasmi, tetapi perlu terus dimanfaatkan sebagai sumber pandangan, nasihat dan rujukan.



Dari dalam keluar kepada masyarakat



Jika As-Sabiqun membawa mesej tentang kesinambungan sejarah, DHPP pula membawa mesej tentang peluasan jaringan PAS kepada masyarakat yang lebih luas.



Usaha PAS mendekati masyarakat bukan Islam sebenarnya bukan perkara baharu. Perbincangan mengenai kedudukan bukan Islam dalam PAS telah bermula sejak dekad-dekad awal penubuhan parti. Pada 1961, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Prof Zulkifli Muhammad, pernah mencadangkan agar bukan Islam diterima sebagai ahli bersekutu, walaupun cadangan tersebut kemudiannya ditangguhkan atas faktor politik ketika itu.



Pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-27 tahun 1981, PAS memutuskan untuk mendekati masyarakat bukan Islam sebagai sebahagian daripada strategi dakwah dan politik. Antaranya ialah penubuhan Chinese Consultative Council pada 1985 sebagai wadah hubungan PAS dengan masyarakat Cina.



Perkembangan politik selepas 1998 turut membuka ruang baharu. Bermula dengan penubuhan Jabatan Antara Budaya pada 1999, usaha mendekati masyarakat bukan Islam terus berkembang sebelum membawa kepada penubuhan Kelab Penyokong PAS (KPP).



KPP dilancarkan secara rasmi pada 11 Mac 2004. Ia kemudiannya berkembang melibatkan masyarakat Cina, India, Iban dan Siam. Pada 2007, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat turut melancarkan logo KPP dengan tema “PAS for All”.



Usaha ini akhirnya membawa kepada proses menjadikan KPP sebagai sebuah entiti Dewan dalam PAS. Pada 10 Januari 2010, Aturan dan Peraturan DHPP diluluskan dan pada 23 Mei 2010, Presiden PAS melancarkan secara rasmi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sebagai wadah pendukung PAS daripada kalangan masyarakat bukan Islam. Kemudiannya, nama tersebut dijenamakan semula sebagai Dewan Himpunan Pendukung PAS.



Namun begitu, DHPP belum lagi dinaiktaraf sebagai Dewan seperti Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat tetapi pergerakan DHPP adalah sama seperti lajnah/jabatan. Sehinggalah, pindaan Pelembagaan PAS yang diadakan pada tahun 2024 telah menaiktaraf kedudukan DHPP dengan keanggotaannya adalah merupakan Ahli Bersekutu PAS, salah satu transformasi PAS untuk menerima keanggotaan parti daripada Masyarakat bukan Islam di Malaysia.



Perlembagaan PAS Pindaan 2025 pula memperuntukkan Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat, dengan ahli Bersekutu PAS secara automatik menjadi ahli DHPP serta mempunyai struktur di peringkat pusat dan negeri.



DHPP bukan sekadar untuk pilihan raya



Kita perlu melihat DHPP dalam ruang yang lebih besar daripada sekadar kekuatan ketika pilihan raya. Politik bukan hanya tentang angka undi. Politik juga tentang membina kepercayaan.



Kepercayaan tidak boleh dibina beberapa minggu sebelum pilihan raya. Ia perlu dibina melalui hubungan yang berterusan, kerja kebajikan, khidmat masyarakat, dialog dan pengalaman bersama.



Dalam era media sosial, persepsi boleh terbentuk hanya melalui satu video pendek atau satu hantaran. Banyak perkara yang kompleks akhirnya diringkaskan menjadi satu ayat atau satu slogan. Sebab itu hubungan secara langsung dengan masyarakat semakin penting.



DHPP boleh menjadi jambatan yang membantu masyarakat memahami PAS dengan lebih dekat. Pada masa yang sama, ia juga boleh menjadi saluran untuk PAS memahami denyut nadi masyarakat bukan Islam.



Dua wadah, dua arah



Jika dilihat secara mudah, As-Sabiqun dan DHPP membawa dua arah yang menarik; As-Sabiqun melihat ke belakang untuk membawa pengalaman ke hadapan manakala DHPP melihat ke luar untuk membawa lebih ramai masyarakat mendekati PAS. DASP membantu PAS menjaga kesinambungan sejarah, manakala DHPP kedua membantu memperluaskan jaringan masyarakat. Kedua-duanya saling melengkapi.



PAS yang berusia 75 tahun tidak boleh memutuskan hubungan dengan sejarahnya. Dalam masa yang sama, PAS juga tidak boleh menutup pintu kepada perubahan masyarakat. Kita memerlukan akar yang kuat dan pada masa yang sama memerlukan dahan yang berkembang.



Muktamar Ke-72 dan PAS menuju 100 tahun



Muktamar PAS Kali Ke-72 yang berlangsung dalam tahun ulang tahun ke-75 PAS sepatutnya menjadi ruang untuk kita berfikir lebih jauh. Bukan hanya tentang apa yang telah berlaku sepanjang tahun lalu, tetapi apa yang ingin kita capai dalam tempoh 10, 20 atau 25 tahun akan datang.



DASP dan DHPP tidak seharusnya sekadar dilihat sebagai struktur organisasi. Apa yang lebih penting ialah bagaimana kedua-duanya dihidupkan dengan program, peranan dan sumbangan yang benar-benar bermakna.



Kita mahu mereka yang telah lama berjuang terus dihargai dan pengalaman mereka terus dimanfaatkan. Pada masa yang sama, kita mahu lebih ramai masyarakat mengenali PAS, memahami perjuangannya dan mempunyai ruang untuk bersama dalam gerak kerja yang sesuai.



Tahun 2026 ialah tahun PAS menyambut usia 75 tahun. Dua puluh lima tahun lagi, insya-Allah, PAS akan menyambut ulang tahun ke-100. Persoalannya, apakah bentuk PAS yang akan kita wariskan kepada generasi yang menyambut usia seabad itu?



Adakah mereka hanya akan melihat PAS sebagai sebuah parti yang mempunyai sejarah panjang, atau mereka akan melihat PAS sebagai sebuah gerakan yang berjaya membawa pengalaman sejarah tersebut untuk membina masa depan?



Jawapannya bergantung kepada apa yang kita lakukan hari ini.



Maka, cabaran Muktamar Ke-72 bukan sekadar memilih siapa yang akan memimpin PAS hari ini. Lebih besar daripada itu, kita perlu memikirkan PAS yang bagaimana mahu kita wariskan kepada generasi yang akan datang.



Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Penolong Setiausaha Agung PAS

15 Ogos 2026

Ulasan