MENJELANG MUKTAMAR PAS KALI KE-72 ; MUKTAMAR TAHUNAN PAS KEMBALI KE PUTIK
Oleh: Khairul Faizi Ahmad Kamil
Selepas hampir enam tahun berlalu, Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) bakal kembali menjadi lokasi tempat perhimpunan pemimpin dan pendukung PAS yang akan hadir dari seluruh negara kerana Muktamar Tahunan PAS kali ke-72 akan diadakan di PUTIK, Pengkalan Chepa pada 4 dan 5 September ini.
Kali terakhir, PUTIK menjadi lokasi Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-66 pada 13 September 2020, ketika pandemik Covid-19 sedang memuncak. Kerana ada SOP yang perlu dipatuhi maka hanya AJK PAS Pusat, YDP PAS Kawasan-kawasan dan perwakilan daripada negeri Kelantan sahaja yang dibenarkan hadir. Tiada majlis perasmian, tiada gerai jualan malah tiada pemerhati yang dibenarkan untuk menyertai acara tahunan ini.
Lebih istimewa, bangunan PUTIK menjangkau usia 25 tahun pada tahun ini, usia Jubli Perak. Bangunan PUTIK dibina pada tahun 2001, perletakan batu asas disempurnakan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Fasa pertama siap pada September 2001, melibatkan kos kira-kira RM6.8 juta.
Dengan komitmen yang tinggi, pembinaannya hanya mengambil masa 160 hari. Dewan besar PUTIK boleh menampung sehingga 4,000 orang, dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden termasuk sistem audio dan multimedia. Selepas siap pembinaannya, PUTIK menjadi lokasi sambutan ulang tahun ke-50 PAS, di mana perasmiannya disempurnakan Presiden PAS, Dato’ Fadzil Mohd Noor.
Dewan Besar PUTIK kini dalam proses akhir untuk berwajah baru yang lebih segar selaras dengan peredaran zaman. Selain itu turut dilengkapi rumah tetamu berhampiran dengan surau. Bangunan pusat pentadbiran PUTIK juga dialih ke lokasi baharu. Malah kerja-kerja menambahbaik persekitaran Dewan PUTIK masih dilaksanakan.
Kota Bharu kembali menjadi kota muktamar
Kemeriahan Muktamar Ke-72 bukan hanya tertumpu di PUTIK. Beberapa dewan dan lokasi di sekitar Kota Bharu dan Bachok turut menjadi medan persidangan dewan-dewan utama PAS.
Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat dijangka diadakan di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre, berhampiran Stadium Sultan Muhammad IV pada 3 September 2026. Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat pula akan diadakan di Dewan Kompleks Pendidikan Islam Bachok. Manakala Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat dijadualkan untuk diadakan di Hotel Grand River View.
Selain itu turut diadakan Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat diadakan di Dewan Perniagaan Cina, Jalan Kebun Sultan. Konvensyen Dewan Assabiqun PAS Pusat pula akan diadakan Dewan Yayasan Islam Kelantan di Bandar Baru Tunjong.
Muktamar Ke-72 hadir pada detik yang cukup istimewa
Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 mempunyai nilai sejarah yang sangat besar. Tahun ini bukan sekadar tahun berlangsungnya muktamar tetapi juga tahun PAS menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-75.
Angka 75 mungkin kelihatan biasa jika dilihat pada kalendar. Namun bagi sebuah gerakan Islam dan parti politik, usia tiga perempat abad membawa makna yang sangat besar.
Tidak banyak parti politik di Malaysia yang mampu bertahan selama tempoh tersebut. Lebih sedikit lagi yang mampu terus berkembang, mengekalkan organisasi hingga ke peringkat akar umbi, memimpin kerajaan negeri, menyertai pentadbiran kerajaan Persekutuan dan terus menjadi antara parti utama dalam politik negara. PAS telah melalui semua itu.
Sepanjang 75 tahun, PAS bukan sahaja membina organisasi, malah membentuk ribuan pemimpin, melahirkan institusi pendidikan, menggerakkan dakwah, melaksanakan kebajikan, membina jaringan masyarakat serta menyumbang kepada perkembangan politik Islam di Malaysia.
Atas sebab itu, ulang tahun ke-75 bukan sekadar sambutan ulang tahun. Ia adalah waktu terbaik untuk kita berhenti seketika, menoleh ke belakang dan bertanya kepada diri sendiri: apakah yang telah kita warisi daripada generasi terdahulu, dan apakah pula yang ingin kita tinggalkan kepada generasi akan datang?
Sejarah bukan untuk dikenang, tetapi untuk dipelajari
Ada ungkapan yang sering disebut bahawa bangsa yang melupakan sejarah akan mengulangi kesilapan yang sama. Begitu juga dengan sebuah jamaah Islam seperti PAS.
Sejarah bukan sekadar himpunan tarikh, nama tokoh atau catatan peristiwa. Sejarah ialah pengalaman yang mengajar kita bagaimana sesuatu keputusan dibuat, mengapa sesuatu dasar diperkenalkan dan bagaimana cabaran dapat diatasi. PAS telah melalui pelbagai fasa perjuangan.
Daripada era awal penubuhannya pada tahun 1951, PAS berkembang sebagai sebuah gerakan Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara dan kedaulatan Islam. Selepas negara mencapai kemerdekaan, PAS memasuki era persaingan demokrasi melalui pilihan raya, membina kekuatan di peringkat akar umbi serta mengembangkan pengaruh di pelbagai negeri.
Perjalanan itu bukanlah mudah. PAS pernah berada dalam kerajaan, pernah juga berada di luar kerajaan. Pernah menikmati kemenangan besar, pernah juga berhadapan dengan kekalahan yang menyakitkan. Pernah melalui perpecahan dalaman, tekanan politik, cabaran media dan pelbagai persepsi yang menguji ketahanan organisasi.
Namun satu perkara yang tidak berubah ialah asas perjuangannya. Walaupun strategi berubah mengikut keperluan semasa, prinsip yang menjadi tunjang perjuangan tetap dipertahankan. Inilah yang menjadikan sejarah PAS sangat penting untuk difahami oleh setiap ahli.
Politik Malaysia sentiasa berubah
Jika dibandingkan dengan keadaan 75 tahun dahulu, politik Malaysia hari ini berubah hampir sepenuhnya.
Dahulu, politik banyak bergantung kepada ceramah, akhbar dan pertemuan bersemuka. Hari ini, satu hantaran di media sosial mampu mempengaruhi jutaan orang dalam tempoh beberapa minit.
Dahulu, pengundi memperoleh maklumat daripada media arus perdana. Hari ini, maklumat datang dari pelbagai platform digital yang bergerak tanpa sempadan.
Dahulu, persaingan lebih tertumpu kepada parti-parti tradisional. Kini landskap politik menjadi lebih kompleks dengan kemunculan pelbagai gabungan politik, perubahan corak pengundian, peningkatan jumlah pengundi muda serta perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) yang mula mempengaruhi cara masyarakat berfikir dan membuat keputusan. Semua perubahan ini menuntut kebijaksanaan yang lebih tinggi.
Sebuah parti yang gagal memahami perubahan akan mudah ketinggalan. Namun sebuah parti yang terlalu ghairah mengejar perubahan sehingga mengabaikan prinsip juga akan kehilangan identitinya.
Di sinilah perlunya keseimbangan. PAS perlu terus bersedia melakukan pembaharuan dalam pendekatan, komunikasi, pengurusan organisasi dan strategi politik, namun pada masa yang sama tetap berpegang teguh kepada dasar perjuangannya.
Mengapa Muktamar Ke-72 begitu penting?
Dalam suasana inilah Muktamar Ke-72 menjadi sangat signifikan. Ia bukan sekadar muktamar tahunan, tetapi muktamar yang berlangsung ketika PAS berada pada usia kematangan.
Usia 75 tahun ialah usia yang cukup sesuai untuk melakukan muhasabah yang jujur. Apakah kekuatan yang telah membawa PAS bertahan sehingga hari ini? Apakah kelemahan yang masih perlu diperbaiki? Apakah cabaran terbesar dalam tempoh sepuluh atau dua puluh tahun akan datang?
Paling penting, apakah bentuk PAS yang ingin diwariskan kepada generasi yang akan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-100 pada tahun 2051? Persoalan-persoalan inilah yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada roh Muktamar Ke-72.
Muktamar tidak seharusnya hanya melihat kepada laporan tahunan atau prestasi semasa, tetapi juga perlu menjadi pentas membina visi jangka panjang. Sebuah organisasi yang telah berusia 75 tahun perlu berani berfikir untuk 25 tahun akan datang.
Muhasabah sebelum melakar masa depan
Sebagai ahli PAS, memahami sejarah bukan bermaksud hidup dalam nostalgia. Sebaliknya, sejarah memberikan keyakinan bahawa perjuangan ini dibina di atas pengorbanan yang sangat besar. Setiap kemenangan hari ini lahir daripada kesabaran generasi terdahulu. Setiap kekuatan organisasi hari ini terbina hasil usaha ribuan petugas yang mungkin tidak pernah dikenali namanya.
Justeru, sebelum kita berbicara tentang strategi baharu, teknologi baharu atau pendekatan baharu, kita perlu terlebih dahulu memahami akar perjuangan yang telah membentuk PAS selama tiga perempat abad.
Apabila akar itu kukuh, maka ranting boleh berkembang, daun boleh menghijau dan buah boleh terus dinikmati oleh generasi seterusnya.
Penutup
Ulang tahun ke-75 bukan sekadar angka yang diraikan. Ia adalah kesempatan untuk bermuhasabah tentang perjalanan panjang yang telah ditempuhi, menghargai jasa para pengasas dan pejuang terdahulu serta memperbaharui tekad untuk meneruskan amanah perjuangan.
Sesungguhnya, muktamar bukan hanya tentang siapa yang memimpin, tetapi tentang ke mana perjuangan ini ingin dibawa. Sejarah bukan sekadar untuk dikenang, tetapi dijadikan panduan dalam membuat keputusan hari ini dan merancang masa depan.
Moga-moga Muktamar PAS Kali Ke-72 di Kota Bharu menjadi medan memperkukuhkan ukhuwwah, memperkasa fikrah dan menyusun langkah yang lebih mantap agar PAS terus istiqamah memimpin perjuangan Islam, bukan sahaja untuk lima tahun akan datang, tetapi sehingga menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-100 pada tahun 2051, insya-Allah.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Penolong Setiausaha Agung PAS
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur
12 Ogos 2026

Ulasan
Catat Ulasan