Muktamar jadi medan PAS muktamad 'kes fasakh' BERSATU
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim - Ogos 25, 2026 @ 8:15am
DALAM tempoh sebulan dua ini, pentas politik negara mencatatkan beberapa peristiwa besar dan penting, dilihat bakal mencorakkan naratif baharu kerjasama antara gabungan parti dalam kerajaan dan pembangkang.
Terdapat aktiviti politik sangat padat sejak 1 Ogos lalu sehingga 12 September ini. Ia bermula dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, diikuti Kongres Nasional PKR bertindih tarikh dengan Persidangan Tahunan DAP pada 16 Ogos.
Pada 3 hingga 5 September ini akan berlangsung pula Muktamar PAS ke-72 di Pengkalan Chepa, Kelantan diikuti pula Perhimpunan Agung UMNO antara 9 hingga 12 September.
Pasca PRN Johor dan Negeri Sembilan dan Kongres PKR dan Persidangan Tahunan DAP sehingga menjelang Muktamar PAS, landskap politik negara sudah berubah dengan ketara.
PAS tidak lagi berada dalam hubungan politik yang sama dengan BERSATU di bawah payung Perikatan Nasional (PN). Barisan Nasional (BN) pula sedang menikmati momentum baharu selepas PRN Johor, manakala PH berdepan cabaran mengekalkan daya tarikan politiknya.
Persefahaman BN-PN pada PRN Johor dan Negeri Sembilan membuktikan penyatuan ummah walau atas nama apa pun sama ada Rumah Bangsa atau Musyawarah Nasional bukan sesuatu yang mustahil.
Bermakna, muktamar PAS kali ini tidak boleh lari daripada membincangkan agenda unggul kelangsungan bangsa Melayu-Islam ini pada era politik yang sangat bersimpang-siur jalannya.
Segala perubahan plot politik pasca dua PRN menjadikan muktamar kali ini lebih daripada sekadar agenda tahunan parti.
Ia hadir pada ketika setiap blok politik sedang menyusun semula strategi, membaca sentimen pengundi dan mengintai kedudukan terbaik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) di sebalik menunggu bilakah PRN Melaka akan berlangsung.
Ia bakal menentukan perancangan, strategi dan taktikal PAS dan PN sambil melihat apa kesudahan kerjasama BN dan PH dalam wadah Kerajaan Perpaduan, tanpa BERSATU di sisi mereka.
Kali terakhir Muktamar PAS diadakan di Kelantan adalah pada September 2020 ketika negara dilanda COVID-19 dan penganjuran muktamar ketika itu dilakukan dalam keadaan serba sederhana bagi menjaga prosedur operasi standard (SOP).
Namun kali ini, ia akan pasti lebih meriah dan bermakna kepada PAS kerana ia bukan hanya membabitkan acara tahunan itu, sebaliknya penganjuran kali ini disertakan dengan sambutan jubli intan PAS ke-75 tahun.
Muktamar ke-72 kali ini akan dihadiri 1,500 perwakilan merangkumi ahli jawatankuasa (AJK) itu mulai 2 September dengan Muktamar Dewan Pemuda berlangsung dua hari, selain Muktamar Dewan Ulama PAS serta Muktamar Dewan Muslimat PAS pada 3 September.
Muktamar Induk pula bermula pada 4 September dengan dimulakan ucapan Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum dibahaskan perwakilan.
Jika muktamar tahun lalu berlangsung di Kedah, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir sebagai tetamu jemputan, namun kali ini tetamu jemputan berbeza, iaitu daripada pimpinan UMNO.
PAS jemput pemimpin UMNO ke muktamar
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima jemputan itu dengan menyatakan mereka akan menghantar wakil bagi menghadiri muktamar berkenaan.
Setakat, ini Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengesahkan akan menghadiri Muktamar Pemuda PAS, manakala Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki antara pimpinan UMNO disebut-sebut hadir pada muktamar pusat.
Selain tanda tanya berhubung kehadiran pimpinan BN dan UMNO, sudah tentu perhimpunan muktamar kali ini menjadi medan penting PAS sebelum berdepan PRU16. Ia menyentuh persoalan pendirian PN sama ada akan terus bekerjasama dengan BN untuk menghadapi PRN Melaka dan PRU16.
Soal agihan kerusi di empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu juga dijangka akan dibangkitkan sekiranya perbahasan menjurus ke arah kerjasama atau persefahaman di antara PN dan BN.
Paling penting, muktamar itu pasti membincangkan 'kes fasakh' PAS dengan BERSATU di rumah PN. Ada desas-desus menyatakan perwakilan mungkin mendesak pucuk pimpinan parti membuat keputusan pasti dalam hubungan dengan BERSATU.
Tambahan pula, Parti Wawasan Negara (WAWASAN) kini sudah menjadi sebahagian ahli keluarga PN. Ini semua bakal diperhalusi perwakilan PAS pada muktamar kali ini.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan muktamar nanti mempunyai agenda yang lebih besar, istimewa dan luar biasa keputusannya.
Cuma Ahli Parlimen Kota Bharu itu menyifatkan muktamar kali ini sangat bermakna kerana mempunyai dua program besar, termasuk sambutan ulang tahun ke-75 PAS.
Beliau menyifatkan, usia 75 tahun PAS bukan calang-calang dan sehingga kini parti itu diterima rakyat pelbagai kaum, termasuk 36 tahun diberi mandat memerintah Kelantan.
Apa yang pasti, agenda penyatuan ummah, kerjasama baharu menghadapi PRU16, kedudukan BERSATU, rundingan berliku sempena PRN Melaka bakal menjadi isu menarik dibahaskan perwakilan PAS pada muktamar kali ini.
Penulis adalah Wartawan BH

Ulasan
Catat Ulasan