Muktamar Ke-72 dan Sambutan 75 Tahun PAS



Muktamar Ke-72 dan Sambutan 75 Tahun PAS
August 31, 2026

KUALA LUMPUR: Agenda Perpaduan dan Penyatuan Ummah dijangka terus menjadi antara mesej utama Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan PAS ke-72 yang berlangsung pada 3 hingga 5 September ini.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, agenda penyatuan itu merupakan pendirian konsisten yang dibawa PAS sejak beberapa tahun lalu dan tidak berubah walaupun berdepan perkembangan politik semasa.

Menurutnya, pendekatan itu turut membezakan PAS dengan parti lain yang ketika ini lebih banyak memberi tumpuan kepada pelbagai isu politik semasa.

“Kalau kita tengok trend beberapa tahun terakhir ini, Tuan Guru Presiden kita akan bercakap soal perpaduan dan saya yakin itu merupakan agenda yang akan dibawa dalam muktamar kali ini.

“PAS ini konsisten ke arah penyatuan. Penyatuan Ummah menjadi satu agenda yang konsisten yang akan dibawa, insya-Allah, oleh PAS,” katanya dalam Podcast HarakahDaily Dari Jalan Pahang.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan turut dapat dilihat ketika PAS berdepan perkembangan politik di Johor dan Negeri Sembilan.

“Walaupun orang lain bercakap soal isu semasa dan sebagainya, kita tetap konsisten dengan isu penyatuan,” katanya.

Khairul Faizi berkata, PAS turut mengambil perhatian terhadap perkembangan mutakhir membabitkan pimpinan PKR dan DAP yang masing-masing membuat permohonan maaf kepada rakyat.

Menurutnya, perkembangan itu perlu dilihat dalam konteks keadaan rakyat yang kecewa dan marah terhadap kerajaan, namun PAS tetap akan berpegang kepada agenda Penyatuan Ummah.

Beliau berkata, Muktamar Tahunan PAS ke-72 kali ini juga mempunyai keistimewaan tersendiri apabila turut diserikan dengan sambutan 75 tahun penubuhan PAS.

Menurutnya, sambutan Jubli Intan PAS akan dimasukkan dalam rangkaian program muktamar bersempena penubuhan parti itu pada 24 November 1951.

“Dalam muktamar ini akan ada majlis yang kita fokuskan untuk sambutan 75 tahun PAS,” katanya.

Katanya, antara pengisian yang dirancang ialah pameran khas kendalian Jabatan Arkib PAS Pusat dengan kerjasama jabatan arkib negeri serta Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS.

Pameran itu akan mengetengahkan pelbagai dokumen dan artifak sejarah parti, termasuk buku daftar ahli PAS yang pertama.

Selain itu, program melibatkan anak muda turut dirancang dengan penyertaan lebih 1,000 penunggang motosikal di Kelantan.

“Puncak malam itu adalah kepada program sambutan 75 tahun PAS,” kongsi beliau yang juga Pengarah Jabatan Arkib PAS Pusat dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor.

Khairul Faizi berkata, sambutan rasmi 75 tahun PAS juga dirancang untuk diadakan di Pulau Pinang memandangkan negeri itu mempunyai sejarah penting sebagai tempat kelahiran PAS.

Katanya, pelaksanaan program berkenaan akan mengambil kira keadaan politik dan keperluan semasa. – HARAKAHDAILY 31/8/2026

Ulasan