
Muktamar: Rakyat mahu lihat parti mampu mentadbir
August 31, 2026
KUALA LUMPUR: Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-72 bakal menjadi medan penting untuk memperkukuh kesatuan saf dan tanzim, memperkemas gerak kerja organisasi serta mempersiapkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, muktamar kali ini berlangsung dalam suasana politik yang memerlukan PAS berada dalam keadaan lebih tersusun, bersedia dan dekat dengan rakyat memandangkan PRU16 boleh berlaku pada bila-bila masa.
Menurutnya, muktamar bukan sekadar medan menilai perjalanan organisasi sepanjang setahun lalu, sebaliknya menjadi ruang memperbaharui iltizam, menyusun kekuatan dan kembali bekerja untuk rakyat.
“Bagi saya, tiga perkara menjadi perhatian utama. Pertama, memperkukuh kesatuan saf dan organisasi PAS. Kedua, memperkemas gerak kerja organisasi dan jentera di semua peringkat.
“Ketiga, mempersiapkan parti untuk menghadapi cabaran politik dan PRU akan datang,” katanya ketika ditemu bual HarakahDaily menjelang muktamar di Pengkalan Chepa itu, kali ini.
Beliau berkata, kekuatan politik yang dimiliki PAS perlu diterjemahkan kepada kemampuan menawarkan penyelesaian terhadap permasalahan rakyat.
“Rakyat mahu melihat parti politik bukan sekadar pandai berpolitik, malah memahami masalah mereka, menawarkan dasar dan menunjukkan kemampuan untuk mentadbir,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata, persediaan menghadapi PRU tidak seharusnya bermula hanya apabila Parlimen dibubarkan, sebaliknya perlu dilakukan lebih awal.
“Muktamar menjadi medan untuk kita menilai kekuatan organisasi, jentera pilihan raya, kesiapsiagaan kawasan dan negeri, penguasaan isu rakyat serta kemampuan kita membina calon dan kepimpinan pelapis.
“Perkembangan politik semasa juga memerlukan PAS mempunyai fleksibiliti dalam membina persefahaman dan kerjasama politik yang dapat memperkukuh agenda penyatuan ummah,” katanya.
Menurut beliau, PAS telah memutuskan untuk meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya yang baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PRU16.
“Jadi, kita tidak mahu hanya bersedia untuk menang pilihan raya tetapi bersedia untuk memikul amanah pemerintahan. Ini adalah dua perkara yang berbeza,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kesatuan tanzim menjadi antara perkara terpenting dalam sebuah gerakan besar seperti PAS yang mempunyai lebih sejuta ahli daripada pelbagai latar belakang, pengalaman dan pandangan.
Menurutnya, perbezaan pandangan tidak dapat dielakkan, namun perkara itu tidak boleh sehingga menghilangkan kesatuan matlamat dan disiplin organisasi.
“Tanzim bermaksud kita memahami peranan masing-masing, menghormati keputusan yang telah dibuat melalui saluran yang ditetapkan dan melaksanakan keputusan tersebut secara bersama.
“Kita mungkin berbeza pandangan ketika perbincangan tetapi selepas keputusan dibuat, kita mesti kembali kepada satu saf. Keputusan itu yang perlu kita pikul bersama, bukannya percanggahan dalam membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata, kekuatan PAS selama ini bukan kerana semua ahlinya mempunyai pandangan yang sama dalam setiap perkara, tetapi kerana ahli dan pimpinan mampu bergerak sebagai satu pasukan apabila keputusan dibuat melalui mekanisme parti.
Beliau turut menegaskan bahawa PAS perlu membezakan antara ‘berbeza pandangan’ dengan ‘berbeza perjuangan’, selain memastikan wala’ kepada kepimpinan yang sah serta disiplin tanzim terus dipelihara.
Muktamar kali ini turut berlangsung ketika PAS memasuki usia 75 tahun penubuhannya.
Justeru, beliau berharap Muktamar PAS Kali Ke-72 menjadi titik penting untuk parti memperkukuh organisasi dan mempersiapkan diri bagi menghadapi amanah lebih besar pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 31/8/2026
Ulasan
Catat Ulasan