PAS 75 TAHUN: MUHASABAH PERJUANGAN, MELAKAR MASA HADAPAN

MENJELANG MUKTAMAR PAS KALI KE-72
PAS 75 TAHUN: MUHASABAH PERJUANGAN, MELAKAR MASA HADAPAN

Muktamar Tahunan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bakal kembali semula ke Kelantan dan Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa bakal menerima perwakilan dari seluruh negara. Ia sudah tentulah sesuatu yang sangat menarik kerana kali terakhir Kelantan menjadi tuan rumah persidangan muktamar tahunan ini adalah pada tahun 2020 yang mana ianya dihadiri hanya oleh sekitar 400 perwakilan sahaja dibenarkan hadir pada muktamar yang diadakan selama sehari sahaja, selari dengan norma baharu kerana pandemik Covid-19 masih menular. Tiada apa-apa acara, tiada gerai jualan malah tiada pengunjung dan pemerhati yang dibenarkan hadir.

Muktamar tersebut juga melakar sejarah buat parti Islam itu apabila diadakan genap setahun usia Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai pada 14 September 2019 dan PAS berada dalam kerajaan Persekutuan selepas kali terakhir berada dalam kerajaan Persekutuan pada tahun 1977.

Setiap kali tibanya Muktamar Tahunan PAS, sudah tentu perhatian ahli dan penyokong akan tertumpu kepada beberapa perkara utama. Apakah intipati ucapan dasar Presiden? Usul-usul apakah yang akan dibahaskan? Apakah ketetapan yang bakal menjadi panduan kepada gerak kerja PAS selepas ini? Semua itu memang penting. Namun, jika kita melihat muktamar hanya dari sudut pemilihan dan perbahasan usul sahaja maka kita sebenarnya melihat muktamar dalam skop yang agak sempit.

Dalam tradisi PAS, muktamar mempunyai makna yang jauh lebih besar. Ia adalah medan syura tertinggi parti; tempat kita berkumpul bukan sekadar untuk membuat keputusan tetapi juga untuk bermuhasabah, menilai perjalanan perjuangan dan menyusun langkah bagi menghadapi cabaran yang mendatang. Di sinilah pengalaman dikongsi, kelemahan diperbaiki, kekuatan diperkukuhkan dan halatuju baharu dirangka.

Sebab itulah setiap kali muktamar berlangsung, ia bukan sekadar memberi kesan kepada organisasi PAS semata-mata. Sebagai sebuah parti yang telah menjadi sebahagian daripada sejarah politik Malaysia sejak tahun 1951, setiap keputusan yang dibuat di muktamar turut diperhatikan oleh pelbagai pihak kerana ia memberi gambaran tentang arah tuju politik negara pada masa hadapan.

Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 yang akan berlangsung di Kota Bharu, Kelantan pada 4 dan 5 September 2026 mempunyai makna yang lebih istimewa berbanding tahun-tahun sebelumnya. Tahun ini PAS menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-75. Tiga perempat abad bukanlah satu tempoh yang singkat. Tidak banyak parti politik di Malaysia yang mampu melalui perjalanan selama itu sambil terus kekal relevan dan menjadi antara pemain utama dalam politik negara.

Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (PUTIK) bakal menjadi lokasi berlangsungnya Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-72. Ketika ini, beberapa kerja naik taraf dan penambahbaikan sedang giat dilaksanakan bagi memastikan segala kemudahan berada pada tahap terbaik untuk menyambut kehadiran para perwakilan, pemerhati dan tetamu dari seluruh negara.

Lebih istimewa lagi, tahun 2026 turut mencatat satu lagi detik bersejarah apabila PUTIK meraikan Jubli Peraknya, genap 25 tahun sejak mula beroperasi pada tahun 2001. Sepanjang tempoh itu, PUTIK bukan sahaja menjadi pusat tarbiyyah, bahkan menjadi saksi kepada pelbagai program penting PAS di peringkat nasional dan negeri. Justeru, penganjuran Muktamar PAS Kali Ke-72 di PUTIK pada tahun sambutan Jubli Peraknya memberikan nilai simbolik yang tersendiri, seolah-olah menghubungkan sejarah perjuangan, tradisi tarbiyyah dan kesinambungan kepimpinan dalam satu peristiwa yang penuh makna.

Dalam tempoh 75 tahun itu, PAS telah melalui pelbagai zaman. Bermula pada era penjajahan British, melalui detik kemerdekaan, pembentukan Malaysia, pelbagai pilihan raya umum, perubahan kerajaan negeri dan Persekutuan, sehinggalah memasuki era media sosial, politik digital dan kecerdasan buatan (AI). Setiap zaman membawa cabaran yang berbeza dan setiap cabaran menuntut pendekatan yang sesuai dengan realiti semasa.

PAS juga tidak terlepas daripada pelbagai ujian. Ada ketika menang, ada ketika kalah. Ada ketika menjadi kerajaan, ada ketika menjadi pembangkang. Pernah berhadapan dengan perpecahan, tekanan politik dan persepsi negatif. Namun di sebalik semua itu, PAS terus berdiri sebagai sebuah jamaah Islam yang mempertahankan dasar perjuangannya berteraskan al-Quran, al-Sunnah, Ijmak Ulamak dan Qiyas.

Inilah sebenarnya nilai yang perlu direnungi sempena ulang tahun ke-75 PAS. Sambutan ini bukan sekadar untuk mengenang sejarah atau meraikan usia tetapi untuk bertanya kepada diri sendiri: apakah rahsia yang membolehkan PAS terus bertahan selama tiga perempat abad? Apakah kekuatan yang perlu dipertahankan? Apakah pembaharuan yang perlu dilakukan supaya perjuangan ini terus relevan pada masa hadapan?

Atas sebab itulah, Muktamar Ke-72 perlu dilihat sebagai satu medan muhasabah yang sangat penting. Ketika kita berkumpul di Kota Bharu nanti, kita bukan sahaja membawa laporan tahunan atau usul untuk dibahaskan tetapi kita juga membawa bersama amanah perjuangan yang diwariskan oleh generasi terdahulu.

Catatan ini bukan bertujuan mengulang sejarah semata-mata. Sebaliknya, ia ingin mengajak kita semua melihat sejarah sebagai guru terbaik untuk membina masa depan. Ada sebab mengapa PAS masih berdiri selepas 75 tahun. Ada pengajaran yang boleh dipelajari daripada perjalanan panjang ini dan sudah tentu ada cabaran baharu yang memerlukan kita berfikir dengan lebih jauh.

Beberapa coretan akan disiarkan selepas ini. Antara yang bakal disiarkan adalah kita akan melihat mengapa ulang tahun ke-75 ini sangat bermakna dan mengapa Muktamar Ke-72 mempunyai kedudukan yang cukup istimewa dalam sejarah PAS. Coretan seterusnya pula akan membincangkan apakah faktor yang menjadi rahsia ketahanan PAS sehingga mampu bertahan selama tiga perempat abad walaupun melalui pelbagai ujian dan cabaran. Ia akan disambung dengan coretan bagi kita melihat cabaran-cabaran baharu yang sedang menanti PAS kerana dunia hari ini sudah berubah dan cara berpolitik juga berubah. Pengundi semakin muda, media semakin pantas, teknologi semakin canggih dan landskap politik semakin kompleks.

Saya percaya sejarah bukan sekadar untuk dikenang. Sejarah adalah cermin yang menunjukkan dari mana kita datang, di mana kita berada dan ke mana kita ingin pergi. Sebuah jamaah yang besar bukan hanya diukur melalui jumlah ahlinya atau kemenangan dalam pilihan raya tetapi juga melalui keupayaannya belajar daripada pengalaman, melakukan pembaharuan dan terus istiqamah mempertahankan prinsip perjuangannya.

Mudah-mudahan siri ini dapat menjadi sedikit sumbangan kepada budaya berfikir menjelang Muktamar PAS Kali Ke-72. Moga-moga ia menjadi ruang untuk kita sama-sama bermuhasabah, menghargai jasa generasi terdahulu dan pada masa yang sama merancang masa depan perjuangan dengan lebih yakin dan tersusun.

Selamat bermuktamar kepada seluruh perwakilan. Semoga Muktamar PAS Kali Ke-72 menjadi titik tolak kepada lembaran baharu perjuangan PAS, bukan sahaja untuk lima tahun akan datang tetapi sebagai persediaan menuju usia seabad pada tahun 2051, insya-Allah.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Penolong Setiausaha Agung PAS
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur
5 Ogos 2026

Ulasan