RESOLUSI KONVENSYEN PAS JOHOR 2026



RESOLUSI KONVENSYEN PAS JOHOR 2026
“MEMPERKASA ORGANISASI, MERAKYATKAN PAS”

Konvensyen PAS Negeri Johor 2026 setelah meneliti, membahaskan dan mengambil maklum Ucaptama Pesuruhjaya PAS Negeri Johor bertemakan “Memperkasa Organisasi, Merakyatkan PAS” serta mengambil kira semua pandangan perwakilan dalam perbahasan, dengan penuh kesedaran terhadap tanggungjawab perjuangan Islam, perkembangan politik semasa serta amanah kepada rakyat Johor, maka Konvensyen mengambil ketetapan berikut:

TEMA PERTAMA - ORGANISASI
RESOLUSI : MEMPERKASA PENTADBIRAN DAN PENGURUSAN ORGANISASI DENGAN MEMPERKUKUH TADBIR URUS, INTEGRITI DAN AKAUNTABILITI. MEMPERKASA PAS CAWANGAN DAN MENAMBAH KEAHLIAN

PAS Johor, Dewan, Lajnah, Kawasan dan Cawangan hendaklah memperkukuh budaya kerja yang tersusun melalui perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian, berteraskan amanah, integriti, disiplin, ketelusan dan akauntabiliti di semua peringkat.

Kempen “PAS Pilihanku 2.0” mestilah digerakkan dengan segera sebagai gerakan penambahan ahli yang lebih agresif, tersusun dan berterusan. PAS Johor hendaklah menetapkan sasaran penambahan ahli dan pengukuhan cawangan berdasarkan nisbah pengundi serta Unit Daerah Mengundi (UDM), dengan keutamaan kepada kawasan yang masih mempunyai kekurangan struktur organisasi.

TEMA KEDUA - TARBIYAH
RESOLUSI : MEMANTAPKAN TARBIYAH DAN MANHAJ PERJUANGAN SERTA MEMBANGUNKAN KEPIMPINAN DAN PELAPIS PAS JOHOR

PAS Johor hendaklah memperkukuh tarbiyah haraki secara berterusan, khususnya kepada ahli baharu, melalui program yang tersusun bagi membentuk ahli yang memahami dasar perjuangan, thabat, berdisiplin dan istiqamah.

PAS Johor mesti memperhebatkan sistem perkaderan dan latihan kepimpinan dengan mengenal pasti bakat serta potensi ahli di semua peringkat. Satu sistem pembangunan kepimpinan yang berstruktur hendaklah diperkasakan bagi melahirkan pelapis dalam bidang politik, pentadbiran, dakwah, profesional, media, ekonomi, kebajikan dan kepakaran strategik.

TEMA KETIGA – PILIHANRAYA
RESOLUSI : MEMPERKUKUH JENTERA PILIHAN RAYA, MEMPERSEDIAKAN PAS JOHOR MENUJU PRU16 DAN KE ARAH KEKUATAN POLITIK NEGERI SERTA MEMBINA SISTEM DATA DAN ANALISIS POLITIK BERASASKAN DATA

Konvensyen menyeru PAS Johor supaya mempersiapkan PRU16 secara menyeluruh. PAS Johor hendaklah memperkukuh jentera pilihan raya berdasarkan penilaian PRN16 melalui latihan berterusan, di samping memantapkan kewangan parti melalui kutipan infaq dan sumber dana yang kreatif, mampan serta berintegriti.

PAS Johor hendaklah memperkukuhkan pengurusan data pengundi dan maklumat kawasan melalui pengemaskinian profil pengundi, pemetaan kekuatan dan kelemahan kawasan serta analisis sokongan secara sistematik dengan menggunakan teknologi terkini. Setiap PAS Kawasan hendaklah mempunyai data dan analisis yang boleh membantu perancangan politik, gerak kerja masyarakat serta strategi pilihan raya.

TEMA KEEMPAT – RAKYAT DAN KEBAJIKAN
RESOLUSI : MENJADIKAN PAS SEBAGAI PARTI KHIDMAT RAKYAT, MEMASTIKAN PUSAT ADUAN RAKYAT DI SETIAP KAWASAN DAN MEMPERLUASKAN DAKWAH DAN PENERANGAN ISLAM

Konvensyen menetapkan PAS Johor memperkukuh pendekatan “Merakyatkan PAS” melalui khidmat kebajikan, pendidikan, kemasyarakatan dan pembelaan rakyat, serta memastikan 100% PAS Kawasan mempunyai Pusat Aduan Rakyat yang beroperasi menjelang 2027.

Konvensyen menggesa PAS Johor memperluaskan dakwah sepanjang masa dan tidak hanya tertumpu kepada musim pilihan raya. Program penerangan hendaklah dipertingkatkan bagi mendekatkan Islam kepada masyarakat dan menangani salah faham serta Islamofobia.

TEMA KELIMA– HALA TUJU PAS JOHOR
RESOLUSI – HALA TUJU PAS JOHOR PERLU DIPERKASA

PAS Johor perlu memperkemaskan kembali hala tuju PAS Johor supaya bersesuaian dengan situasi semasa bagi memastikan PAS Johor akan menjadi parti politik yang mantap, berintegriti, dekat dengan rakyat serta bersedia memimpin negeri melalui pemerkasaan tarbiah dan organisasi, penambahan ahli dan cawangan, pengukuhan jentera serta kewangan, perluasan dakwah dan khidmat masyarakat, penyatuan ummah dan kerjasama politik, serta persediaan menyeluruh menghadapi PRU16. PAS Johor hendaklah membina keyakinan rakyat melalui politik yang matang, berfakta dan berorientasikan penyelesaian demi mewujudkan Johor yang Berkat, Prihatin dan Sejahtera.

TEMA KEENAM– EKONOMI
RESOLUSI - MEMANTAPKAN KEWANGAN DAN EKONOMI PARTI

PAS Johor hendaklah memperkukuhkan kedudukan kewangan organisasi melalui penambahbaikan sistem kutipan infaq serta pembangunan sumber dana yang lebih kreatif, strategik dan mampan. Setiap peringkat organisasi hendaklah membudayakan pengurusan kewangan yang berhemah, berintegriti dan berorientasikan kelangsungan perjuangan. PAS Johor digesa supaya mewujudkan koperasi dan jaringan Kawasan sebagai kekuatan ekonomi bersama di Johor.


Ulasan