Tempoh 28 hari persiapan paling mencabar




Tempoh 28 hari persiapan paling mencabar
Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-72
August 31, 2026

KUALA LUMPUR: Tempoh hanya 28 hari untuk membuat persiapan menjadikan Muktamar Tahunan PAS kali ke-72 antara yang paling mencabar sepanjang 12 tahun terlibat dalam pengurusan muktamar parti itu.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, tempoh berkenaan merupakan persiapan paling singkat pernah dilaluinya berbanding kira-kira dua bulan ketika Muktamar PAS 2023 di Shah Alam.

“Persiapan muktamar kali ini adalah yang paling singkat yang pernah saya dan mungkin PAS Pusat lalui, iaitu hanya 28 hari, tidak sampai sebulan,” katanya dalam Podcast Harakahdaily Dari Jalan Pahang.

Menurut beliau, persiapan muktamar sebelum ini tertangguh susulan PAS melalui beberapa siri pilihan raya termasuk di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.

“Pihaknya sebelum ini menjangkakan muktamar mungkin ditangguhkan sehingga penghujung tahun, namun PAS Pusat akhirnya memutuskan untuk meneruskannya pada 3 hingga 5 September.

“Persiapan kali ini memang agak mencabar, malah paling mencabar yang kami hadapi,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor.

Bagaimanapun, beliau berkata, persiapan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa telah berjalan lancar mengikut jadual ditetapkan.

Menurutnya, pengalaman PAS Kelantan yang sudah lebih 36 tahun mentadbir negeri itu turut membantu melancarkan persiapan kerana ramai tenaga kerja mempunyai pengalaman menguruskan program berskala besar.

Khairul Faizi berkata, antara perkara paling utama dalam persiapan muktamar ialah pemilihan lokasi yang sesuai.

“Lokasi perlu mengambil kira keperluan PAS Pusat, Dewan Ulamak, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), selain program lain yang berkaitan dengan muktamar.

“Lokasi menjadi keperluan yang sangat penting bagi panitia untuk memastikan perjalanan muktamar dapat berlangsung dengan lancar dan baik,” katanya.

Menurut beliau, pertambahan jumlah perwakilan sehingga hampir 1,600 orang turut menyebabkan sesetengah lokasi yang pernah digunakan sebelum ini tidak lagi mampu menampung jumlah berkenaan.

“Peningkatan jumlah perwakilan berlaku selepas pindaan perlembagaan yang memberi ruang kepada kawasan yang mempunyai jumlah ahli tertentu menghantar lebih ramai perwakilan,” ujarnya.

Selain itu, kewujudan DHPP serta pertambahan penyertaan turut meningkatkan keperluan terhadap ruang yang lebih besar.

Beliau berkata, cabaran penganjuran bukan sahaja melibatkan lokasi, malah penginapan turut menjadi antara perkara penting yang perlu diberi perhatian.

“Biasanya apabila kita mengadakan muktamar, kita akan memastikan penginapan bukan sahaja mencukupi, malah tidak terlalu jauh daripada lokasi,” katanya.

Menurutnya, senarai penginapan yang disediakan bagi muktamar di Kelantan kali ini penuh dalam tempoh tidak sampai sehari.

Beliau turut berkongsi pengalaman ketika muktamar di Kerdau apabila kekurangan hotel dan inap desa menyebabkan beliau sendiri membawa khemah untuk bermalam berhampiran dewan utama.

Bagaimanapun katanya, urusetia setakat ini tidak menerima aduan serius daripada perwakilan berhubung penginapan atau kemudahan yang disediakan.

“Setakat ini tidak ada isu, alhamdulillah,” katanya mengimbau setiap penganjuran muktamar mempunyai cabaran tersendiri kerana lokasi yang digunakan berbeza dari tahun ke tahun.

Pengalaman menguruskan muktamar selama 12 tahun membantu urusetia memahami proses teknikal penganjuran, namun setiap lokasi tetap memerlukan perancangan dan pendekatan berbeza, katanya. – HARAKAHDAILY 31/8/2026

Ulasan