Dr Puad, lebih baik desak PM Anwar bubar Parlimen




Dr Puad, lebih baik desak PM Anwar bubar Parlimen
September 15, 2026


KUALA LUMPUR: Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil menyifatkan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi lebih wajar mendesak Perdana Menteri ke-10 (PMX) membubarkan Parlimen ketika ini.

Beliau menyatakan demikian susulan tuduhan Puad yang mendakwa PAS tidak ikhlas dalam agenda Penyatuan Ummah hanya kerana tidak bersedia menyahut seruan Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan.

Seruan Mohamad Hasan tersebut adalah supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan di negeri-negeri ‘State Government’ 4 (SG4) khususnya di Terengganu.

Walau bagaimanapun, Khairul Faizi mempersoalkan keperluan mengadakan PRN sekiranya keadaan negeri berkenaan berada dalam keadaan stabil.

“Situasi berbeza di Johor dan Negeri Sembilan, PRN adalah langkah terbaik untuk stabilkan kerajaan,” ujar beliau dalam media sosial miliknya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor berpandangan Dr Puad lebih wajar mendesak PMX membubarkan Parlimen sebagai langkah paling kritikal ketika ini.

“Kenapa tidak beliau (Puad) desak PMX untuk bubarkan Parlimen? Ouh… mungkin sebab beliau lebih pro ke PH sekarang ini…,” tempelaknya.

PAS jadi sasaran

Khairul Faizi menyatakan, ketika berada dalam Umno, Puad secara konsisten menjadikan PAS sebagai ‘modal’ komen politik yang dilihat serasi dengannya.

“Jika keluar di media sosial, biasanya PAS adalah sasarannya,” jelas beliau menyatakan, secara tiba-tiba Puad mengisytiharkan keluar Umno menjelang PRN Johor disebabkan perkara yang menjadi pengetahuan umum ketika itu.

Menurut beliau, Puad ketika itu kelihatan lebih cenderung kepada Pakatan Harapan (PH), manakala Umno dan Barisan Nasional (BN) pula menjadi sasaran kritikan.

“Keputusan PRN Johor yang memihak kepada BN dan kemudiannya PRN Negeri Sembilan memihak kepada BN atau PN (Perikatan Nasional) nampaknya berjaya menyedarkan beliau (Puad) bahawa masa depan PH sudah semakin kabur,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/9/2026

Ulasan