FOREST CITY: HARAPAN MASIH ADA TETAPI REALITI PERLU DIBUKTIKAN DENGAN PENCAPAIAN



FOREST CITY: HARAPAN MASIH ADA TETAPI REALITI PERLU DIBUKTIKAN DENGAN PENCAPAIAN

Oleh: Khairul Faizi Ahmad Kamil, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor
Tarikh : 30 September 2026

Dua bulan lalu saya menulis mengenai Forest City dengan tajuk “Forest City: Realiti di antara Harapan Pembangunan dan Cabaran Keselamatan Baharu”. Ketika itu, persoalan utama yang saya kemukakan ialah sama ada Forest City benar-benar sedang menuju kepada satu fasa kebangkitan baharu, atau kita sebenarnya sedang melihat satu lagi episod harapan terhadap sebuah projek mega yang masih bergelut untuk mencari identiti dan fungsi sebenar.

Kini, laporan terbaharu Channel News Asia (CNA) pada 27 September 2026 memberikan satu lagi gambaran yang wajar diberi perhatian. Menariknya, laporan tersebut tidak memberikan jawapan mudah bahawa Forest City sedang gagal atau sedang berjaya. Sebaliknya, ia memperlihatkan satu realiti yang lebih kompleks:

Forest City masih mempunyai potensi untuk bangkit tetapi masalah yang perlu diselesaikan bukan lagi sekadar masalah hartanah. Ia sudah menjadi persoalan mengenai keselamatan, tadbir urus, aktiviti ekonomi, penghunian dan keyakinan pasaran.

Daripada “ghost town” kepada bandar yang mahu dihidupkan

Forest City sejak sekian lama dibayangi label ghost town. Label ini bukan sekadar masalah persepsi. Apabila sebuah kawasan mempunyai banyak unit kediaman dan premis komersial tetapi jumlah penduduk serta aktiviti ekonominya tidak sepadan, ia menghasilkan satu kitaran yang sukar diputuskan. Faktornya, kurang penduduk menyebabkan kurang perniagaan. Apabila kurang perniagaan menyebabkan kurang aktiviti. Apabila kurang aktiviti menyebabkan kawasan kelihatan sunyi. Sudah tentulah kawasan yang sunyi pula menyebabkan pembeli dan pelabur menjadi lebih berhati-hati dalam menentukan tindakan yang mereka akan laksanakan.

Akhirnya, persepsi tentang ghost town terus mengukuhkan dirinya sendiri. Inilah antara cabaran paling besar Forest City. Namun, perlu diakui bahawa terdapat usaha untuk mengubah naratif tersebut.

Forest City kini cuba diposisikan bukan semata-mata sebagai pembangunan kediaman tetapi sebagai sebahagian daripada ekosistem ekonomi baharu Johor melalui Special Financial Zone (SFZ) dan kaitannya dengan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ).

Menurut CNA, SFZ dijangka melepasi sasaran pelaburan RM2 bilion pada tahun ini dan telah menerima lebih 250 pertanyaan daripada bakal pelabur termasuk institusi kewangan, family offices dan firma perkhidmatan perniagaan. Ini adalah perkembangan yang tidak boleh diketepikan. Tetapi pertanyaan pelabur belum sama dengan pelaburan yang telah direalisasikan.

Pelaburan yang diluluskan pula belum semestinya bermakna pekerjaan telah diwujudkan dan pekerjaan yang diwujudkan pula belum semestinya menjadikan Forest City sebuah bandar yang benar-benar hidup. Di sinilah ukuran sebenar perlu dibuat.

Masalah Forest City bukan lagi sekadar menjual rumah

Laporan CNA terbaru memberikan satu perkara yang sangat penting untuk difikirkan. Antara Jun 2025 hingga Jun 2026, median harga transaksi Forest City dilaporkan sekitar RM547 sekaki persegi, turun 12 peratus berbanding tempoh 12 bulan sebelumnya. Lebih menarik, hanya 13 transaksi direkodkan dalam tempoh tersebut walaupun pembangunan itu mempunyai sekurang-kurangnya 28,000 unit kediaman.

Namun, CNA sendiri memberi peringatan bahawa data transaksi mempunyai kelewatan dan tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk mengaitkan ketiadaan transaksi selepas itu secara langsung dengan kontroversi yang berlaku pada Julai. Perkara ini penting kerana kita tidak boleh mengatakan bahawa isu scam atau Network School menyebabkan pasaran Forest City jatuh.

Masalah pasaran hartanah Forest City telah wujud lebih lama. Apa yang berlaku sekarang ialah masalah lama bertemu dengan cabaran baharu dan cabaran baharu itu ialah keyakinan.

Isu scam: persoalan yang lebih besar daripada jenayah

Pada Julai lalu, polis Johor menahan 335 individu dalam operasi terhadap dua sindiket penipuan dalam talian di Forest City. Polis memaklumkan bahawa serbuan melibatkan 27 unit apartmen dan lima banglo, dengan ratusan komputer dan lebih 1,500 telefon bimbit dirampas. Sindiket tersebut didakwa terlibat dalam penipuan pelaburan mata wang kripto dan love scam yang menyasarkan mangsa di luar negara.

CNA kemudiannya melaporkan bahawa aktiviti yang mencurigakan masih menjadi persoalan di beberapa bahagian Forest City. Ini menimbulkan satu persoalan yang lebih besar, mengapa ruang kosong dalam sebuah pembangunan mega boleh menjadi begitu menarik kepada aktiviti yang tidak sah?

Jawapannya mungkin tidak terletak kepada satu faktor sahaja. Jumlah unit yang banyak, sebahagian ruang yang kurang digunakan, mobiliti penduduk, lokasi berhampiran Singapura dan kewujudan premis komersial yang belum sepenuhnya berkembang semuanya merupakan faktor yang perlu diberi perhatian.

Dalam erti kata lain, ruang yang kosong bukan sekadar masalah ekonomi; ia juga boleh menjadi masalah pengurusan dan keselamatan.

Network School: jangan campurkan semua isu menjadi satu

Isu Network School pula perlu dilihat secara berasingan. Pihak berkuasa Johor mengarahkan operasi Network School dihentikan selepas isu berkaitan lesen dan penggunaan premis dikenal pasti. Perkara ini penting kerana dalam usaha menjadikan Forest City sebagai hab teknologi dan ekonomi baharu, pelaburan antarabangsa tetap perlu bergerak dalam kerangka undang-undang Malaysia. Kita boleh mengalu-alukan pelaburan asing. Kita boleh menggalakkan komuniti teknologi antarabangsa. Kita boleh membuka ruang kepada usahawan, pelabur dan profesional global. Tetapi prinsipnya mudah; sesiapa sahaja yang menjalankan aktiviti di Malaysia perlu mematuhi undang-undang Malaysia.

Dalam masa yang sama, isu-isu keselamatan atau dakwaan berkaitan mana-mana organisasi juga perlu ditangani berdasarkan bukti, siasatan dan proses undang-undang yang sah, bukannya andaian atau spekulasi.

Pendekatan yang seimbang penting supaya usaha menjaga keselamatan tidak pula menghasilkan persepsi bahawa Malaysia tidak terbuka kepada pelaburan antarabangsa. Ironinya, penguatkuasaan mungkin menjadi sebahagian daripada pemulihan. Ada satu paradoks yang menarik dalam perkembangan terbaru Forest City. Penguatkuasaan mungkin memberikan imej negatif dalam jangka pendek. Namun dalam jangka panjang, penguatkuasaan yang konsisten boleh menjadi aset kepada Forest City.

CNA memetik pandangan bahawa institusi kewangan, family offices dan penyewa korporat memerlukan persekitaran yang dikawal selia dengan baik. Pemeriksaan permit dan dokumentasi yang lebih ketat boleh memberi isyarat bahawa pihak berkuasa serius mengenai tadbir urus. Maka kita perlu melihat isu ini daripada perspektif yang lebih luas.

Forest City tidak memerlukan lebih banyak aktiviti semata-mata. Forest City memerlukan lebih banyak aktiviti yang sah, produktif dan berdaya tahan, itulah perbezaannya.

Apa yang sebenarnya diperlukan?

Jika benar-benar mahu menghapuskan label ghost town, saya melihat sekurang-kurangnya enam perkara perlu bergerak serentak.

Pertamanya adalah peluang pekerjaan. Orang tidak akan berpindah ke sesuatu bandar semata-mata kerana bangunan itu cantik. Mereka datang kerana ada pekerjaan, peluang perniagaan dan kehidupan yang boleh dibina.

Perkara kedua adalah penduduk tetap. Forest City perlu mempunyai komuniti sebenar, bukan sekadar pemilik unit yang datang sekali-sekala. Sebuah bandar hidup apabila terdapat keluarga, pekerja, pelajar, usahawan dan komuniti yang menggunakan ruang tersebut setiap hari.

Ketiganya adalah urus niaga perniagaan. Kedai, restoran, perkhidmatan profesional, pendidikan, kesihatan, rekreasi dan perkhidmatan harian perlu berkembang mengikut pertambahan penduduk.

Perkara yang keempat adalah keselamatan. Keselamatan bukan aksesori kepada Pembangunan tetapi ia adalah asas kepada keyakinan. Penduduk perlu berasa selamat. Pemilik premis perlu yakin. Pelabur perlu percaya. Pihak berkuasa pula perlu mempunyai sistem pemantauan yang berkesan.

Kelimanya adalah tadbir urus. Forest City memerlukan penyelarasan yang kukuh antara pemaju, pengurusan kawasan, MBIP, polis, imigresen, kastam, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan. Masalah sebuah bandar tidak boleh diselesaikan oleh satu agensi sahaja.

Perkara yang terakhir iaitu yang keenam adalah hubungan dengan ekosistem Johor–Singapura. Forest City tidak seharusnya cuba hidup sendirian. Kekuatan sebenarnya ialah kedudukannya dalam ekosistem Johor–Singapura. Jika JS-SEZ berjaya menarik industri, teknologi, kewangan, logistik dan perkhidmatan bernilai tinggi ke Johor, Forest City perlu menjadi salah satu ruang yang menerima limpahan ekonomi tersebut.

Jangan ulang kesilapan yang sama

Pada pandangan saya, kesilapan paling besar ialah menganggap bahawa masalah Forest City boleh diselesaikan dengan satu lagi projek mega. Forest City sudah mempunyai bangunan, sudahpun mempunyai jalan, mempunyai infrastruktur dan sudah mempunyai kediaman. Apa yang lebih diperlukan sekarang ialah pengisian. Bandar tidak hidup kerana bangunannya.

Bandar hidup kerana manusianya. Sebuah apartmen yang cantik tetapi kosong tetap kosong. Sebuah pusat membeli-belah yang besar tetapi kurang pelanggan tetap sunyi. Sebuah pejabat yang moden tetapi tidak mempunyai pekerja tetap tidak akan menghasilkan ekosistem ekonomi. Sebaliknya, sebuah kawasan yang sederhana tetapi mempunyai manusia, pekerjaan, perniagaan dan komuniti yang aktif boleh berkembang menjadi sebuah bandar yang hidup.

Forest City masih mempunyai peluang

Walaupun terdapat banyak cabaran, saya tidak melihat perkembangan ini sebagai alasan untuk mengatakan bahawa Forest City sudah tidak mempunyai masa depan. Sebaliknya, kedudukannya berhampiran Singapura, kewujudan SFZ, hubungan dengan JS-SEZ dan potensi sektor kewangan serta digital masih memberikan asas untuk pemulihan.

Malah, laporan CNA sendiri menyebut terdapat pelabur dan pemilik hartanah yang masih melihat peluang dalam Forest City, khususnya apabila harga hartanahnya relatif lebih rendah berbanding Singapura dan peluang ekonomi baharu mula dibangunkan tetapi optimisme perlu disertai realisme.

Harapan sahaja tidak mencukupi

Sesebuah pembangunan tidak boleh dinilai berdasarkan visi, perancangan atau pengumuman pelaburan semata-mata. Sebaliknya, kejayaannya perlu dibuktikan melalui pencapaian yang boleh diukur dan dirasai oleh masyarakat.

Berapa banyak pelaburan yang benar-benar telah direalisasikan? Berapa banyak peluang pekerjaan baharu telah diwujudkan? Berapa ramai penduduk yang kini menetap di Forest City? Berapa banyak premis perniagaan yang benar-benar beroperasi? Bagaimanakah kadar penghunian berubah dan sejauh manakah perkembangan nilai serta jumlah transaksi hartanahnya?

Namun, persoalan yang paling penting ialah adakah masyarakat benar-benar berminat untuk tinggal, bekerja dan membina kehidupan di Forest City?

Bagi Johor, isu Forest City sebenarnya jauh lebih besar daripada nasib sebuah projek hartanah mega. Ia merupakan sebahagian daripada usaha negeri ini untuk memanfaatkan kedudukan strategiknya sebagai jiran terdekat Singapura dan pintu masuk kepada ekonomi serantau. Kejayaan atau kegagalan Forest City akan memberikan pengajaran penting tentang hubungan antara pembangunan fizikal, perancangan ekonomi, tadbir urus dan keperluan sebenar masyarakat.

Jika berjaya, Forest City berpotensi menjadi salah satu komponen penting dalam ekosistem ekonomi baharu Johor. Namun, jika segala potensi tersebut gagal diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi dan kehidupan masyarakat yang nyata, Forest City akan terus menjadi peringatan bahawa pembangunan fizikal yang megah, tanpa pengisian ekonomi dan sosial yang kukuh, tidak semestinya mampu melahirkan sebuah bandar yang berjaya.

Justeru harapan untuk melihat Forest City bangkit masih ada. Namun, harapan itu perlu disertai tindakan yang berkesan, dasar yang realistik, tadbir urus yang telus serta komitmen berterusan daripada semua pihak yang terlibat.

Akhirnya, ukuran sebenar kejayaan Forest City bukanlah pada ketinggian bangunannya, keluasan kawasannya atau hebatnya pengumuman pelaburan, tetapi pada sejauh mana pembangunan itu mampu memberikan kehidupan, pekerjaan dan kesejahteraan kepada masyarakat.

Forest City tidak lagi memerlukan sekadar naratif baharu. Forest City memerlukan realiti baharu yang dapat dibuktikan melalui pencapaian sebenar.

Ulasan