Gempa Batu Pahat: Johor tidak boleh terus leka



Gempa Batu Pahat: Johor tidak boleh terus leka

Khidmat Malaysia gesa siap siaga hadapi pelbagai bencana
September 22, 2026

JOHOR BAHRU: Pengerusi Khidmat Malaysia Negeri Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil menggesa kerajaan bersama agensi berkaitan supaya beralih daripada tumpuan banjir kepada kesiapsiagaan menghadapi pelbagai jenis bencana.

Beliau berkata demikian susulan kejadian gempa bumi yang menggegarkan Johor pada petang hari ini, dengan peringatan agar perhatian serius dapat diberikan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) merekodkan gempa bermagnitud 4.4 di perairan Batu Pahat pada jam 4.55 petang, dengan gegaran dirasai di beberapa kawasan.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor itu, gegaran mungkin singkat, namun peringatan yang dibawanya tidak wajar diabaikan.

“Dalam pengurusan bencana, kita tidak seharusnya menunggu bencana berlaku untuk mula bersedia. Johor perlu bersedia. Khidmat Malaysia perlu bersedia. Masyarakat perlu bersedia,” gesa beliau.

Khairul Faizi malah dalam mesyuarat Khidmat Malaysia Negeri Johor terdahulu pernah mengingatkan semua Ahli Lembaga Pengarah mengenai keperluan kesiapsiagaan bencana menyeluruh.

Beliau menegaskan, kesiapsiagaan tidak boleh hanya tertumpu kepada banjir, sebaliknya turut merangkumi kebakaran, bencana alam sekitar dan tanah runtuh.

Menurutnya, persediaan juga perlu meliputi kemalangan besar dan gempa bumi, selaras keperluan Johor bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan bencana.

Khairul Faizi menyatakan, perbincangan mengenai risiko gempa bumi di Johor bukan perkara baharu, kerana isu berkenaan telah diberi perhatian sejak 2023.

Pada 2023, beliau pernah menulis mengenai kebarangkalian gempa bumi di Malaysia, sebelum Khidmat Malaysia mendapatkan pandangan pakar seismologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2024.

Menurutnya, kejadian gempa di Segamat pada 2025 sekali lagi menjadi peringatan, manakala kejadian di kawasan Batu Pahat berlaku berulang kali pada 2026.

“Kita tidak perlu panik, tetapi kita juga tidak boleh leka,” peringat beliau yang juga merupakan Penolong Setiausaha Agung PAS. – HARAKAHDAILY 22/9/2026

Ulasan