Kebebasan berkarya bukan lesen hina Rukun Negara




Kebebasan berkarya bukan lesen hina Rukun Negara
September 22, 2026

KUALA LUMPUR: Kebebasan berkarya tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan provokasi atau mempermainkan Rukun Negara tanpa mengambil kira sensitiviti, konteks sejarah dan kesannya terhadap masyarakat.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil menjelaskan, beliau percaya kepada kebebasan berkarya serta ruang luas yang dimiliki seni untuk mengkritik politik, kerajaan, masyarakat, malah kelemahan negara.

Bagaimanapun, ulasnya, kebebasan itu tidak bermaksud setiap bentuk provokasi mesti diterima tanpa sebarang kritikan.

Beliau berkata demikian susulan rakaman sebuah pementasan yang tular di media sosial dan didakwa dipersembahkan pada Short+Sweet Theatre Malaysia Gala Night 2018.

“Apa yang paling mengganggu perhatian saya ialah cara Rukun Negara dijadikan bahan dalam persembahan tersebut.

“Jika benar konteks dan rakaman yang tersebar itu menggambarkan keseluruhan persembahan, saya menganggap pendekatan tersebut keterlaluan serta sangat tidak wajar,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairul Faizi selaku juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor menegaskan, Rukun Negara bukan sekadar lima baris ayat yang perlu dihafal ketika berada di sekolah.

Ujarnya, Rukun Negara lahir daripada pengalaman pahit negara selepas tragedi 13 Mei 1969 sebelum diperkenalkan pada 31 Ogos 1970 sebagai asas membina perpaduan dan kehidupan bersama dalam sebuah negara majmuk.

“Sebab itu apabila Rukun Negara dijadikan bahan sindiran atau penghinaan, persoalannya bukan sekadar soal seni, tetapi persoalan yang lebih besar ialah di manakah sempadan antara kebebasan berkarya dengan tanggungjawab terhadap negara dan masyarakat?” soalnya.

Menurut beliau, rakyat tidak seharusnya menjadi masyarakat yang terlalu rapuh sehingga setiap kritikan dianggap sebagai penghinaan.

Namun, label seperti ‘seni’, ‘satira’ atau ‘kebebasan berekspresi’ juga tidak boleh digunakan sebagai lesen untuk melakukan apa sahaja tanpa mengambil kira sensitiviti, konteks sejarah dan kesannya terhadap masyarakat.

“Jadilah masyarakat Malaysia yang bertamadun. Hentikan kerja yang sia-sia ini. Ini bukan budaya yang kita mahukan untuk Malaysia,” tegasnya.

Terdahulu, tular rakaman klip pementasan teater dimuat naik seorang pengguna Instagram yang didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi raja, Malaysia dan Rukun Negara.

Dalam rakaman berkenaan, beberapa individu membawa pelbagai watak menerusi teater bertajuk ‘This is Malaysia’ dilihat mempersendakan situasi di Malaysia menerusi dialog yang dilontarkan. – HARAKAHDAILY 22/9/2026

Ulasan