PAMERAN 75 TAHUN PAS CAPAI MATLAMAT!
Bersempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72, PAS Pusat telah membuat satu keputusan yang cukup mencabar apabila Sambutan Jubli Intan 75 Tahun PAS turut dilaksanakan serentak dengan Muktamar pada tahun ini.
Keputusan tersebut bermakna, dalam tempoh persiapan yang kurang daripada sebulan, dua agenda besar perlu dijayakan secara serentak — Muktamar Tahunan PAS Ke-72 dan Sambutan Jubli Intan 75 Tahun PAS.
Antara perkara yang paling membimbangkan saya ialah apabila urusan pengurusan pameran diamanahkan kepada Jabatan Arkib PAS (JAP) yang saya pengerusikan.
Jika sebelum ini JAP lebih memberikan tumpuan kepada pameran bahan-bahan arkib dan sejarah PAS, kali ini tanggungjawabnya menjadi lebih besar apabila perlu menyusun dan menyelaras keseluruhan Pameran Jubli Intan 75 Tahun PAS.
Antara tindakan awal yang perlu dilakukan ialah menentukan pempamer yang bersedia dan bersesuaian untuk mengisi ruang pameran, mengenal pasti lokasi yang sesuai, menyusun bahan-bahan yang hendak dipamerkan serta melaksanakan pelbagai persiapan asas dalam tempoh yang cukup terhad.
Namun, cabaran masa bukan alasan untuk menyerah kalah.
Alhamdulillah, hasil kerjasama dan komitmen semua pihak, Pameran 75 Tahun PAS berjaya direalisasikan dan dilaksanakan dengan jayanya.
Lebih menggembirakan, sambutan daripada para pengunjung secara umumnya sangat positif. Walaupun kawasan pameran sentiasa padat dengan kehadiran para perwakilan dan pengunjung, mereka tetap meluangkan masa untuk singgah, melihat dan meneliti bahan-bahan yang dipamerkan di setiap khemah.
Pameran ini bukan sekadar memaparkan sejarah perjalanan PAS selama 75 tahun tetapi turut menjadi ruang untuk masyarakat melihat sendiri perjuangan, pengorbanan, perkembangan dan sumbangan PAS dalam pelbagai bidang sepanjang perjalanan perjuangannya.
Majlis perasmian Pameran Jubli Intan 75 Tahun PAS telah disempurnakan oleh Datuk Seri Haji Takiyuddin Hassan, Pengerusi Panitia Muktamar merangkap Setiausaha Agung PAS, pada 4 September 2026.
Pempamer yang terlibat adalah seperti berikut;
Arkib PAS Pusat,
Yayasan Pustaka Ummah - Arkib TGHH
Arkib PAS negeri Kelantan
Arkib PAS negeri Terengganu
Arkib PAS negeri Kedah
Arkib PAS negeri Perak
Dewan Ulamak PAS
Arkib Dewan Pemuda PAS
Arkib Dewan Muslimat PAS
Dewan Himpunan Pendukung PAS
Khidmat Malaysia
PAS Relief
Lajnah Kebajikan
Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI)
HARAKAH
Bagi saya dan seluruh pasukan yang terlibat, kejayaan menjayakan pameran ini dalam tempoh persiapan yang begitu singkat merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna.
Cabaran memang besar, masa memang singkat, tetapi apabila bekerja sebagai satu pasukan dengan kesungguhan dan komitmen, insya-Allah matlamat dapat dicapai.
Timbalan Pengerusi Sambutan 75 Tahun PAS

Ulasan
Catat Ulasan