TEATER BIADAB: SENI BUKAN LESEN UNTUK MENGHINA


TEATER BIADAB: SENI BUKAN LESEN UNTUK MENGHINA

Saya percaya kepada kebebasan berkarya. Saya juga percaya seni mempunyai ruang yang luas untuk mengkritik politik, kerajaan, masyarakat malah kelemahan negara.

Tetapi kebebasan berkarya tidak bermaksud setiap bentuk provokasi mesti diterima tanpa kritikan.

Sedang berlegar dalam medsos ketika ini, rakaman sebuah pementasan yang didakwa dipersembahkan dalam Short+Sweet Theatre Malaysia Gala Night 2018. Apa yang paling mengganggu perhatian saya ialah cara Rukun Negara dijadikan bahan dalam persembahan tersebut.

Jika benar konteks dan rakaman yang tersebar itu menggambarkan keseluruhan persembahan, saya menganggap pendekatan tersebut keterlaluan dan sangat tidak wajar.

Rukun Negara bukan sekadar lima baris ayat untuk dihafal ketika di sekolah.

Ia lahir daripada pengalaman pahit negara selepas tragedi 13 Mei 1969 dan diperkenalkan pada 31 Ogos 1970 sebagai asas untuk membina perpaduan serta kehidupan bersama dalam sebuah negara majmuk.

Sebab itu apabila Rukun Negara dijadikan bahan sindiran atau penghinaan, persoalannya bukan sekadar ini seni atau bukan seni tetapi persoalan yang lebih besar ialah di manakah sempadan antara kebebasan berkarya dengan tanggungjawab terhadap negara dan masyarakat?

Kita tidak seharusnya menjadi masyarakat yang terlalu rapuh sehingga setiap kritikan dianggap penghinaan. Tetapi pada masa yang sama, jangan pula menggunakan label "seni", "satira" atau "kebebasan berekspresi" sebagai lesen untuk melakukan apa sahaja tanpa mengambil kira sensitiviti, konteks sejarah dan kesannya terhadap masyarakat.

Jadilah masyarakat Malaysia yang bertamadun. Hentikan kerja yang sia-sia ini. Ini bukan budaya yang kita mahukan untuk Malaysia.

19 September 2026

Ulasan