YAB SANUSI TEGUR PAS JOHOR: SAMBUT TEGURAN UNTUK MARA KEHADAPAN


YAB SANUSI TEGUR PAS JOHOR: SAMBUT TEGURAN UNTUK MARA KEHADAPAN

Dalam ucapan penggulungan semalam, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, telah menegur PAS Johor agar memberikan fokus yang lebih besar kepada kerja-kerja politik, memperbanyakkan keahlian dan menubuhkan cawangan baharu.

Teguran beliau jelas, PAS Johor tidak boleh terlalu selesa dengan kerja-kerja kebajikan semata-mata sehingga mengabaikan kerja asas membina kekuatan politik dan organisasi. PAS adalah parti politik, PAS bukannya NGO.

Mungkin teguran itu terasa perit untuk diterima. Namun, sebagai sebuah jamaah yang sentiasa mahu maju dan memperbaiki kelemahan, kita perlu menerimanya dengan hati yang terbuka. Lebih-lebih lagi apabila teguran tersebut disampaikan secara terbuka di pentas Muktamar. Pastinya ada hikmah dan mesej besar yang perlu kita hayati bersama.

Hakikatnya, pimpinan dan ahli PAS Johor secara keseluruhannya perlu mengakui bahawa kita masih mempunyai banyak ruang untuk diperbaiki, khususnya dari sudut jumlah keahlian dan bilangan cawangan.

Mengakui kelemahan bukan tanda kekalahan. Sebaliknya, itulah langkah pertama untuk melakukan perubahan.

Sebagai pimpinan dan ahli PAS, kita mesti memikul tanggungjawab ini bersama-sama. Kita tidak boleh terus bekerja dengan kadar dan cara yang sama jika mahu mencapai keputusan yang berbeza. Kita mesti bersedia bekerja lebih kuat, lebih tersusun dan berlipat kali ganda daripada apa yang telah kita lakukan sebelum ini.

PAS Johor juga baru sahaja selesai menganjurkan Konvensyen PAS Negeri Johor dan pelbagai resolusi telah dibentangkan. Resolusi tersebut bukan sekadar untuk dibaca, dicatat atau disimpan dalam dokumen. Apa yang lebih penting ialah pelaksanaan dan tindakan.

Sekarang bukan masanya untuk kita bergerak secara perlahan dengan penuh ketenangan. Kita perlu mara kehadapan, bukan sekadar melangkah dengan tenang tetapi bergerak dengan kedar lebih laju, tersusun dan bersungguh-sungguh.

Kempen PAS Pilihanku-JDT yang bermula pada bulan September hingga Disember ini mesti digerakkan secara menyeluruh di setiap peringkat. Semua kawasan, dewan dan cawangan perlu memainkan peranan.

Kita perlu menjadikan kempen ini sebagai medan untuk membuktikan bahawa PAS Johor mampu melakukan lonjakan besar dalam menambah keahlian, memperkukuhkan cawangan dan membina kekuatan politik di seluruh negeri.

Jadikan ayat 41 dari surah At-Taubah sebagai pembakar semangat;

ٱنفِرُوا۟ خِفَافًۭا وَثِقَالًۭا وَجَـٰهِدُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌۭ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksud:

Berangkatlah kamu, sama ada dalam keadaan ringan ataupun berat, dan berjihadlah dengan harta benda dan diri kamu pada jalan Allah. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”

Sebagai akhirnya, teguran telah diberikan. Kini masanya untuk kita menjawab teguran itu bukan dengan kata-kata, tetapi dengan kerja dan hasil.

Mari kita buktikan bahawa PAS Johor mampu bangkit, bergerak dan mara lebih jauh kehadapan.

Ayuh, kita menyahut seruan ini. Bergeraklah, sama ada dalam keadaan ringan atau berat. Tidak lagi menunggu, tetapi segera bangkit dan bekerja untuk memperkukuhkan jamaah.

Khairul Faizi Ahmad Kamil
Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Johor
6 September 2026
www.khairulfaizi.com.my

Ulasan