
Banjir kilat Johor Bahru wajar diberi perhatian serius
October 2, 2026
JOHOR BAHRU: Kejadian banjir kilat di beberapa kawasan Johor Baharu selepas hujan lebat kelmarin wajar diberikan perhatian serius, khususnya dari sudut keupayaan sistem saliran bandar menghadapi hujan berintensiti tinggi.
Pengerusi Khidmat Malaysia Negeri Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, kejadian itu tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai fenomena hujan lebat meskipun negara kini berada dalam Monsun Timur Laut (MTL).
“Sebaliknya, ia perlu dinilai secara menyeluruh kerana risiko banjir bandar terhasil daripada interaksi beberapa faktor, termasuk intensiti hujan.
“(Juga termasuk) keadaan sistem saliran, perubahan guna tanah, pembangunan bandar, keadaan sungai serta faktor pasang surut,” ujar beliau dalam kenyataan.
Air pasang perlu diambil kira kesannya
Khairul Faizi menyatakan, kedudukan Johor Baharu berhampiran pesisir menjadikan faktor air pasang perlu diberikan perhatian dalam pengurusan risiko banjir.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor itu menjelaskan, sistem sungai dan saliran yang berhubung dengan laut turut menyebabkan kesan pasang surut perlu diambil kira.
“Apabila hujan lebat berlaku ketika paras air pasang yang tinggi, keupayaan air daripada sistem saliran untuk dilepaskan ke sungai dan seterusnya ke laut boleh menjadi lebih terhad,” terang beliau.
Keadaan itu, jelas Penolong Setiausaha Agung PAS itu, berpotensi menyebabkan air hujan terkumpul lebih cepat di kawasan rendah serta meningkatkan risiko berlakunya banjir kilat.
Bagaimanapun menurut beliau, Khidmat Malaysia Negeri Johor berpandangan, air pasang tidak wajar terus dianggap punca tunggal banjir kali ini.
Khairul Faizi menegaskan, perkara itu perlu diteliti berdasarkan data hidrologi lengkap bagi memastikan hubungan antara beberapa faktor dapat dikenal pasti.
“Hubungan antara intensiti hujan, paras sungai dan paras pasang surut perlu dianalisis berdasarkan data sebenar pada waktu kejadian,” ulas beliau.
Pembangunan bandar dan kapasiti saliran
Menurut beliau, perkembangan pesat Johor Bahru sebagai bandar metropolitan turut membawa perubahan besar terhadap guna tanah.
Beliau berkata, pertambahan kawasan bangunan, jalan raya, kawasan parkir dan permukaan berturap menyebabkan semakin kurang air hujan dapat diserap oleh tanah.
Sebaliknya, menurut beliau, air hujan mengalir lebih cepat ke dalam sistem longkang, parit dan sungai susulan perubahan permukaan bandar.
“Persoalan yang perlu diberi perhatian ialah sama ada kapasiti sistem saliran sedia ada benar-benar sepadan dengan perkembangan bandar dan perubahan corak hujan semasa,” terang beliau.
Khairul Faizi turut menegaskan, pendekatan pengurusan banjir perlu beralih daripada tindakan reaktif kepada pencegahan serta perancangan jangka panjang.
Beliau menjelaskan, pengurusan banjir tidak boleh hanya tertumpu kepada operasi menyelamat dan bantuan selepas bencana berlaku.
“Operasi menyelamat sememangnya penting, tetapi pendekatan yang lebih baik ialah mengurangkan risiko sebelum banjir berlaku,” ulasnya lagi.
Menurutnya, antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk memastikan aset penyelamatan mencukupi serta mengenal pasti kawasan berisiko secara lebih tersusun.
Pada masa sama, ujarnya, kerjasama antara agensi dan komuniti perlu diperkukuh bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan bencana banjir.
Tambah beliau, sistem saliran dan tebatan banjir juga perlu sentiasa diselenggara serta dinaik taraf mengikut keperluan semasa.
“Kita juga perlu mengambil kira kemungkinan berlakunya fenomena hujan lebat dalam tempoh singkat, air pasang tinggi dan sistem saliran bandar (yang berlaku) secara serentak,” katanya.
Khidmat Malaysia sedia bekerjasama
Khidmat Malaysia Negeri Johor, jelas Khairul Faizi, sentiasa bersedia bekerjasama dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pasukan penyelamat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.
Kerjasama itu jelas beliau bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan serta pengurusan bencana banjir di seluruh negeri, katanya.
“Matlamat kita bukan mencari siapa yang harus dipersalahkan. Matlamat kita ialah memastikan rakyat lebih selamat,” jelasnya.
Khairul Faizi berkongsi, banjir mungkin tidak dapat dielakkan sepenuhnya, namun risiko, kerosakan dan kesannya boleh dikurangkan.
Menurutnya, perkara itu boleh dicapai melalui perancangan, data, penyelenggaraan, teknologi dan kesiapsiagaan yang lebih baik. – HARAKAHDAILY 2/10/2026
Ulasan
Catat Ulasan