
Presiden PAS ziarah pusara Almarhumah Tun Hasmah
October 6, 2026
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menziarahi pusara Almarhumah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Pusara Negara, Taman Selatan, Presint 20, Putrajaya, hari ini.
Kehadiran Tuan Guru yang turut disertai Setiausaha Politik beliau, Mohd Syahir Che Sulaiman di kawasan pusara itu disambut oleh anak Almarhumah, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir.
Menerusi hantaran di laman sosial beliau, Tuan Guru menitipkan doa buat Almarhumah Siti Hasmah.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhumah, mengampuni segala dosanya, menerima segala amal kebajikannya, serta menempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang beriman, beramal soleh dan dikurniakan tempat yang mulia di sisi-Nya,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Tun Dr Siti Hasmah kembali ke rahmatullah pada pagi 28 September lalu di Institut Jantung Negara, pada usia 100 tahun. – HARAKAHDAILY 6/10/2026
Ulasan
Catat Ulasan