TRAGEDI PELAJAR 16 TAHUN DI YONG PENG: KESELAMATAN ANAK-ANAK DI SEKOLAH MESTI MENJADI KEUTAMAAN
1. Saya merakamkan rasa dukacita yang mendalam atas tragedi yang menimpa seorang pelajar berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Johor sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.
2. Takziah saya ucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarham. Kehilangan seorang anak pada usia yang begitu muda merupakan satu ujian yang amat berat dan pastinya meninggalkan kesan yang mendalam kepada keluarga serta seluruh warga sekolah.
3. Dalam masa yang sama, saya menyeru semua pihak supaya memberikan ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan profesional.
4. Kita tidak seharusnya membuat tuduhan, menyebarkan spekulasi atau membuat kesimpulan mengenai motif dan punca kejadian sebelum fakta rasmi diperoleh.
5. Namun, tragedi ini sememangnya menimbulkan beberapa persoalan penting berkaitan aspek keselamatan dan pemantauan pelajar di kawasan sekolah. Ibubapa dan penjaga sudah tentunya menjadi risau dan bimbang tentang keadaan keselamatan anak-anak mereka di sekolah.
6. Sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak kita belajar, membina sahsiah dan mengejar cita-cita. Justeru setiap kejadian yang mengancam keselamatan pelajar, khususnya yang berlaku dalam kawasan sekolah, perlu dilihat secara serius.
7. Lebih penting, kita perlu melihat isu ini dalam konteks yang lebih luas. Sekolah bukan sahaja memerlukan kawalan fizikal tetapi juga sistem yang mampu mengenal pasti lebih awal konflik, buli, ancaman, tekanan dan masalah hubungan dalam kalangan pelajar. Pencegahan mesti berlaku sebelum tragedi, bukan hanya tindakan selepas tragedi berlaku.
8. Saya juga menyeru agar kebajikan dan keadaan emosi para pelajar serta warga sekolah yang terkesan dengan kejadian ini diberikan perhatian sewajarnya. Mereka juga memerlukan ruang untuk mendapatkan sokongan dan pemulihan selepas melalui pengalaman yang amat berat.
9. Dalam kita menuntut jawapan dan keadilan, marilah kita memastikan proses siasatan tidak diganggu oleh spekulasi media sosial. Jangan kerana terlalu cepat mahu mencari jawapan, kita akhirnya menyebarkan maklumat yang tidak benar dan menambah penderitaan kepada keluarga mangsa.
10. Tragedi ini mestilah menjadi peringatan kepada kita semua bahawa keselamatan anak-anak di sekolah bukan perkara sampingan.
11. Kita mahu setiap ibu bapa menghantar anak ke sekolah dengan penuh keyakinan bahawa mereka berada di tempat yang selamat dan kita mahu setiap anak pulang ke rumah setiap hari kepada keluarga mereka.
12. Semoga siasatan dapat dijalankan dengan telus dan menyeluruh serta pihak yang bertanggungjawab mengambil segala langkah yang perlu supaya kejadian seumpama ini tidak berulang.
13. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan memberikan kekuatan serta ketabahan kepada seluruh ahli keluarga dalam menghadapi ujian yang amat berat ini.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
5 Oktober 2026

Ulasan
Catat Ulasan