Ucaptama Ketua DPPNJ : Melangkah Ke Nusajaya


Para Perwakilan sekelian,

Ucaptema Ketua DPPNJ pada tahun ini memilih tajuk “Melangkah Ke Nusajaya”. Persoalannya, adakah benar kita mahu ke Nusajaya? Benarkah kita mahu menawan Kota Iskandar? Benarkah kita telah cukup bersedia untuk memikul amanah yang terlalu besar bagi memimpin sebuah negeri yang jauh lebih baik daripada apa yang telah dilakukan oleh pemerintah yang ada pada hari ini? Benarkah? Itulah persolan yang perlu kita sama-sama rungkaikan di dalam diri kita sebelum kita melangkah lebih jauh kerana ia adalah merupakan satu amanah yang cukup tinggi untuk kita pikul.

Cita-cita untuk melangkah ke Nusajaya mungkin boleh bertukar kepada angan-angan Mat Jenin jika terlalu banyak di siang hari tanpa usaha dan perancangan serta berharapkan kepada satu keajaiban akan terpancar tanpa usaha yang semaksimanya.


Firman Allah, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan juga janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” (QS Al-Anfal [8]: 27).

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“Tunaikanlah amanah pada orang yang memberikan amanah itu kepadamu, dan jangan kau khianati orang yang pernah mengkhianatimu.” (HR. Al-Imam Ahmad dan Ahlus Sunan)

Kesungguhan PAS dan Pakatan Rakyat untuk menawan negeri Johor bukannya satu ‘cakap kosong’ yang disembangkan di warung kaki lima tetapi ia telah disepakati bersama dalam satu gagasan untuk memastikan PR memerintah negeri Johor dengan slogan “TAWAN” yang telah dirasmikan oleh Presiden PAS pada 29 September 2009 di Parlimen Kluang.


Pakatan Rakyat cuba untuk meluaskan kuasa di seluruh Johor apabila memperkenalkan “Gagasan Pakatan Rakyat” yang bertemakan “Tawan” yang membawa maksud :


T - Telus dan berintegriti dalam mentadbir kerajaan negeri (good governance), membudayakan rakyat dengan elemen tulus dan telus dalam pentadbiran dan perbelanjaan kerajaan, memastikan pemilihan pemimpin yang berakhlak dan beretika, pemantauan dan penilaian keberkesanan pentadbiran dan perbelanjaan kerajaan selain kerajaan yang sentiasa membela rakyat.

A – Adil dalam pemerintahan (justice), pemerintahan yang adil tanpa mengira kaum, agama serta fahaman politik demi kejahteraan rakyat, menjamin keadilan dari perspektif Islam dan forum sejagat.

W - Wibawa dalam kepimpinan (sovereignty), membentuk barisan kepimpinan kerajaan yang berwibawa, melahirkan pemimpin yang berkaliber dan berwawasan serta menjamin kerajaan dan negeri yang berdaulat


A – Amanah dalam system penyampaian (delivery system), penegasan sifat amanah di kalangan pemimpin dan pegawai kerajaan, melaksanakan tugas yang diamanahkan menurut norma-norma yang ditetapkan selain kuasa dan rakyat adalah merupakan amanah yang perlu ditadbir-urus dengan penuh tanggungjawab.


N – Nilai murni (tiada tara, pilihan utama rakyat), Pakatan Rakyat sebagai pilihan utama yang tiada taranya, yang semestinya dipilih oleh rakyat bersandarkan kepada konsep universal atau sejagat yang diterima umum, sesungguhnya Pakatan Rakyat adalah pilihan yang tepat.




Para Perwakilan sekelian,


Secara realitinya, kita berada di Johor yang sudah cukup terkenal sebagai Kubu UMNO terkuat di dunia. UMNO di Johor di lihat sebagai sebuah parti yang tidak mampu digugat oleh mana-mana parti politik kerana UMNO lahir di Johor dan urinya juga di tanam di Johor di satu lokasi yang masih dirahsiakan. UMNO dilihat sebagai parti keramat oleh orang Melayu.

Bagi mereka, tanpa UMNO negara akan mundur, jalanraya akan digulung semula, bangunan mencakar langit akan runtuh meresap ke bumi, tiada bekalan air dan elektrik lagi, sekolah akan ditutup dan tiada lagi bantuan kebajikan kerana semuanya adalah pemberian daripada UMNO.


Di kawasan desa, meninggalkan UMNO diibaratkan seperti meninggalkan komuniti masyarakat. Tidak ada harapan lagi untuk menggunakan balairaya, khemah, peralatan memasak dan seumpamanya kerana mereka dianggap tidak lagi bersama masyarakat. Inilah mentaliti yang telah berjaya ditanamkan di dalam pemikiran masyarakat di kampung.


Berkira-kiranya masyarakat Melayu untuk mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada UMNO diterjemahkan melalui dengan keputusan PRU ke 12 yang mana walaupun BN tidak berjaya memperolehi majoriti dua pertiga Parlimen dalam PRU ke 12 tetapi UMNO masih lagi berjaya mengekalkan sebahagian besar kerusi yang mereka menangi. Di Johor, kita hanya berjaya menawan dua kerusi tradisi UMNO iaitu DUN Maharani dan Dun Sungai Abong tetapi bagaimana dengan kerusi yang majoritinya adalah terdiri daripada pengundi kaum Melayu?

Sebagai contohnya, Dun Penawar di dalam Parlimen Pengerang yang mana pengundinya terdiri daripada 99.19 % pengundi Melayu tetapi PAS hanya mampu untuk memperolehi 10.5 % sahaja undi yang mengakibatkan PAS kehilangan deposit calon. Sebab itu DS Najib Razak berani untuk menyatakan bahawa UMNO masih lagi disayangi oleh orang Melayu. Pemerintah dengan rakusnya menggunakan jentera kerajaan yang kesemuanya difaraidkan secara maksima khususnya ketika tibanya kempen pilihanraya kecil termasuklah di PRK Tenang pada awal tahun ini.

Media massa yang terus dikuasai oleh pemerintah digunakan untuk mendoktrinkan rakyat bahawa kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh UMNO/BN adalah yang terbaik dan tidak ada lagi parti yang mampu untuk menggantikan mereka di Malaysia ini sehingga Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang telah menaikkan kain rentang dengan tajuk “Ini Wilayah Barisan Nasional, Kami Tidak Tidak Perlukan Pembangkang di Pasir Gudang” seperti negeri ini kepunyaan ayah bonda mereka.



Para perwakilan sekelian,

Kerana sayangnya masyarakat Melayu kepada UMNO dan terus memberikan kepercayaan kepada pemimpin UMNO untuk terus berkuasa maka tidak hairanlah pemimpin UMNO dapat bersenang-lenang dengan segala kejahatan dan kekorapan yang mereka lakukan.


Masyarakat Melayu di Johor masih boleh menarik nafas lega walaupun penduduk Kampung Plentong dibelasah dan tangkap kerana mempertahankan rumah mereka, masyarakat Melayu masih lagi boleh bersantai walaupun penduduk Kampung Denai Pinggiran di Kempas terpaksa menangisi perobohan rumah mereka, masyarakat Melayu masih boleh tertawa walaupun peniaga IKS di Air Hitam terpaksa dihalau daripada premis perniagaan mereka.


Sayangnya masyarakat Melayu kepada UMNO juga telah menyebabkan pemimpin UMNO terus mengaut keuntungan daripada pangkat dan darjat mereka. Pemimpin UMNO yang sukar untuk menjauhkan diri daripada rasuah terus menunaikan kepercayaan masyarakat Melayu dengan terus merompak harta rakyat secara terhormat. Saya sebut ‘dengan rasa terhormat’ kerana ia telah disahkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang masih lagi mempertahankan Adun Lenggeng yang telah disabitkan dengan kesalahan menerima rasuah oleh Mahkamah Sesyen Seremban baru-baru ini. Tindakan PM masih mempertahankan Adun yang dibuktikan melakukan rasuah dianggap satu tindakan tidak bermoral daripada pihak Barisan Nasional. Persoalannya, kenapa DS Najib masih mempertahankan Adun Lenggeng? Sebab DS Najib pernah berkata ““You help me, I’ll help You”.


PAS GANTI UMNO


PAS dan Umno merupakan parti yang menjadi persaingan dalam politik Malaysia. Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946, manakala PAS ditubuhkan pada 24 hb Nov 1951. Sasaran kedua-parti ini adalah orang Melayu yang beragama Islam. Masing-masing cuba untuk meraih sokongan. PAS sebagai sebuah parti yang menjadikan Islam sebagai dasar, sedangkan Amno berjuang atas perjuangan bangsa.
Walaupun amalannya lebih kepada kebendaan dan tidak menjadikan Islam sebagai rujukan dalam tindakan. Maka sudah sampai masanya PAS menggantikan Umno, ertinya orang Melayu perlu menyertai PAS sebagai wadah penyelamat di negara ini.

Apa rasional kenapa Umno perlu diganti dengan PAS? Rasionalnya adalah dasar Umno yang pragmatis (ikut suasana) mengikut keperluan dan kepentingan politik, rasionalnya adalah kerana Islam hanya menjadi Kuda tunggangan Umno, rasioanalnya adalah kerana program Islam sebagai alat politik UMNO, rasionalnya adalah kerana UMNO peralatkan Melayu untuk kepentingan peribadi dan rasionalnya adalah kerana UMNO berjaya melahirkan pemimpin yang tidak berakhlak, penuh dengan skandal.

Perkara-perkara ini perlu kita jelaskan kepada masyarakat Melayu kerana saya percaya bahawa dengan gerakerja yang tersusun dan berterusan akan mampu mengubah minda masyarakat Melayu seperti mana yang telah dibuktikan oleh kaum Iban dan Dayak baru-baru ini di dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak. Kata pujangga ‘ keras keras batu dapat dihancurkan oleh titis air yang lembut. Begitu jua sekeras keras hati dapat ditundukkan oleh jirusan kata-kata lembut. Setitik air boleh membelah batu bukan kerana derasnya tetapi dengan seringya ia menitik.

Para muktamirin sekelian,

Hari ini, kita bermuktamar dalam suasana berlaku perubahan secara besar-besaran di peringkat DPP Kawasan. Seramai 18 orang Ketua DPPK yang mewakili hampir 70% adalah merupakan kepimpinan yang baru dilantik bagi menghadapi sesi 2011-2013. Begitu juga, diperingkat DPPNJ juga akan memperlihatkan sekitar 30% kepimpinan pada sesi ini akan bersara meninggalkan medan ini termasuklah saya selaku Ketua Pemuda.

Ini bermakna, bagi merealisasikan langkahan kita ke Nusajaya berjaya maka sejurus selepas selesai kita bermuktamar di sini, satu pasukan yang kukuh, mantap dan aggresif perlu disediakan dengan kadar yang segera dan tersusun.
Barisan kepimpinan pada sesi ini adalah barisan kepimpinan yang bakal berhadapan dengan PRU. Sama ada ia akan berlangsung pada tahun ini ataupun tidak, persiapan kepimpinan pada sesi ini perlu memberikan tumpuan kepada gerakerja pilihanraya. Keperluan menyedia,memperkemas dan memperkukuh jentera pemuda yang berkemahiran untuk menghadapi Pilihanraya Umum perlu diagendakan dengan teliti. Gerakerja memperkemas penyelidikan untuk mengenal pasti keadah sebenar untuk melaksanakan gerak kerja pilihan raya perlu disusun mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh JPNJ.

Seperti mana yang telah dinyatakan di dalam ucaptema yang terdahulu, Pemuda perlu membina asas kekuatan sebenar untuk memastikan bahawa kesinambungan perjuangan ini dapat diteruskan. Saya menggariskan lima Bidang Keutamaan Pemuda (BKP) iaitu Politik, Tarbiyyah, Pilihanraya Pengurusan dan Kewangan yang mesti disusun dan bagi sesi yang akan datang ini setiap BKP akan diketuai oleh Jawatankuasa Harian DPPNJ.


DPPNJ juga perlu mewujudkan halatuju jangka pendek selain daripada pelan tindakan jangka panjang yang akan berakhir pada tahun 2012. DPPNJ perlu memberikan fokus di DUN yang berpotensi, memperkukuh Pemuda PAS Kawasan dan jawatankuasa Pemuda PAS Cawangan, memaksimumkan pengunaan media baru, mendekati anak muda dengan kreatif dan menjana kewangan yang mencukupi. Bagi Dewan Pemuda PAS di peringkat kawasan perlu diadakan Himpunan Petugas Pilihanraya Pemuda Kawasan, kursus Intensif Pakar Pilihanraya Pemuda PAS Johor, gerakan Daftar Pemilih, perperangan Cyber, Aktiviti anak muda, Pemantauan Gerak Kerja Pemuda PAS Kawasan dan Penilaian Gerak Kerja Pemuda PAS Kawasan.

PENUTUP BICARA


Sidang muktamirin sekalian,

Dikesempatan ini, sebagai ucapan terakhir saya selaku Ketua Pemuda, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua Exco DPPNJ kerana telah memberikan kerjasama yang sebaiknya sepanjang saya diamanahkan sebagai Ketua DPPNJ. Sudah tentu, terlalu banyak pengalaman, rintangan, dugaan, cabaran dan pengajaran yang dapat saya serap dalam diri sebagai sumber kekuatan untuk meneruskan perjuangan ini.

Kata pujangga,
Semalam adalah suatu kenangan hari ini adalah suatu kenyataan manakala esok adalah suatu penantian. Kenangan semalam hemdaklah kita simpan buat pedoman di hari depan dan kenyataan hari ini hendaklah kita tempuhi dengan tabah tetapi kita juga harus bersedia untuk menanti hari esok yang merupakan suatu penyeksaan

Pisang emas dibawa belayar,

Masak sebiji di atas peti,

Hutang emas bolehku bayar,

Hutang budi di bawa mati.


Perjuangan suci ranjau berduri,

Hadapi tekanan tidak terperi,

Namun segalanya tiada dipeduli,

Hanya mengharap redha Ilahi.


Permatang rimba bersuluh terang,

Ranting bersilang taut pegaga,
Wahai Pemuda terus berjuang,

Walau dengan darah dan airmata.

Ke Kuala Sedili mencari kerang

Kerang di bawa di dalam perahu

Perit berjuang tiada kepalang,

Demi keredhaan Tuhan yang satu.


Firman Allah :
“Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran." (Al-Kahfi : 13 & 14)

Akhir kata, saya bagi pihak seluruh ahli Dewan Pemuda PAS Negeri Johor sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Datuk Paduka Haji Husam Bin Musa yang sudi merasmikan muktamar kita pada malam ini yang secara kebetulannya adalah merupakan Perasmi ketika tahun pertama saya diamanahkan untuk menjawat jawatan ini, dan terima kasih juga kepada semua tetamu kita yang memberikan komitmen menjayakan majlis ini.
Marilah sama-sama kita memasang tekad dan azam untuk melaksanakan cita-cita untuk melangkah ke Nusajaya bagi meneruskan kelangsungan api jihad yang dibakar oleh Rasulullah SAW.

Berazamlah dengan sepenuh keyakinan untuk kita membina kekuatan sebenar yang mampu membentuk jati diri pemuda Islam yang beriman dengan perancangan yang tersusun rapi.

Semoga Allah SWT berkenan memberikan kekuatan dan kesabaran kepada kita dalam memacu perjuangan ini.


Sekian, wassalam.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Ulasan