Berita : Hakim kesal banyak kes dadah libatkan Melayu

Hakim kesal banyak kes dadah libatkan Melayu
Mei 18, 11 3:21pm

Seorang hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini melahirkan kekesalannya apabila melihat banyak kes dadah di negara ini melibatkan orang muda berketurunan Melayu dan beragama Islam.

Hakim Datuk Abd Rahim Uda berkata orang Melayu telah dididik sejak kecil bahawa dadah itu adalah haram kerana ia seperti perbuatan membunuh diri yang sememangnya tidak dibenarkan dalam agama Islam.

"Masalahnya kita orang Islam tetapi tidak menghayati apa erti Islam sebenarnya. Islam menekankan bahawa yang utama ialah ilmu dan apabila ilmu tiada kita main-mainkan hukum agama.

"Doa kami agar awak ambil (hukuman) ini sebagai lembaran baru dan jalani kehidupan kamu mengikut undang-undang Allah dan bukan mengikut nafsu. Apa pun hukum dunia kita kena jalankan juga dan harap awak benar-benar insaf serta bertaubat nasuha," katanya.

Abd Rahim berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan ke atas tukang kebun Fazizol Mohd Razali, 25, selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan memiliki ganja seberat 216 gram di tempat letak kenderaan, Flat Seri Sementa, Kapar, Klang dekat sini, kira-kira 10.45 malam pada 21 Februari 2009.

Fazizol didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan.

Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan asal mengedar mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Fazizol bagaimanapun menukar pengakuannya selepas pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan.

Dalam prosiding yang sama, Abd Rahim melepaskan tanpa membebaskan rakan tertuduh, Mohd Zuhaili Husen, 30, daripada tuduhan yang sama.

Sejurus mahkamah membuat keputusan itu, Mohd Zuhaili yang berdiri di kandang tertuduh terus menangis dan memeluk Fazizol.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khairul Fikrie Ahmad Zubaidi sementara Fazizol diwakili peguam Azizzul Shariman Mat Yusof dan Mohd Zuhaili diwakili peguam Suzanawati Ismail.

- Bernama

Ulasan