Rafidah Ismail : Pengorbanan Seorang Ibu


Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Tiba di pejabat Pemuda PAS tadi, saya membaca muka hadapan Berita Harian yang memaparkan kisah seorang ibu yang berkorban nyawa untuk menyelamatkan tiga orang anaknya yang terperangkap di dalam kebakaran di dalam rumah mereka di Kuala Krai, Kelantan.

Kebetulannya, peristiwa ini berlaku dalam ruang masa untuk kita meraikan hari ibu. Kematian Rafidah Ismail sudah tentu cukup-cukup dirasai oleh ketiga anak-anaknya yang masih lagi dalam usia kanak-kanak yang masih mengharapkan agar kasih sayang dicurahkan kepada mereka ini.

Namun, itu adalah takdir Ilahi yang telah menentukan segala-galanya.

Bila berbicara tentang kisah ibu, saya teringat kepada kisah seorang anak yang telah menumbuk ibu kandungnya sendiri sehingga koma selepas berlakunya pertengkaran di rumah mereka di Kampung Mak Chili Paya, Kemaman.

Ibu kandungnya ditumbuk sehingga tulang di bahagian kening kiri ibu malang itu patah. Lebih malang, ibu tersebut telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), Hospital Kemaman kerana koma akibat perbuatan anaknya itu.

Sebab apa itu kandungnya ditumbuk sebegitu rupa? Hanya kerana si anak berusia 25 tahun yang tidak berpuas hati apabila melihat persiapan perkahwinannya yang bakal berlangsung agak perlahan.

Pasti, sahabat-sahabat yang menyayangi ibu masing-masing akan berfikir betapa derhakanya anak yang tidak bertamadun ini sanggup melakukan kezaliman terhadap ibu kandungnya sendiri.

Jangan lupa, Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Empat (macam manusia) tidak Allah s.w.t. masukkan mereka ke syurga dan tidak akan merasai kenikmatannya, peminum arak, pemakan riba, menzalimi (memakan) harta anak-anak yatim dengan tiada hak dan derhaka pada ibu bapanya” (Riwayat Al-Hakim)

Al-Fatihah buat Allahyarham Rafidah Ismail...

------------------------------------------------------------

Korban ibu
Oleh Norliza Wasilan
norlizawasilan@bharian.com.my
2011/05/07

Wanita rentung selepas selamatkan tiga anak

KUALA KRAI: Sehari menjelang sambutan Hari Ibu, seorang ibu berkorban nyawa bagi menyelamatkan tiga anaknya daripada api yang marak membakar rumah mereka di Taman Sri Guchil, Kuala Krai, tengah hari semalam.

Sebelum ditemui rentung, Rafidah Ismail, 36, terpaksa membengkokkan besi tingkap rumah untuk mengeluarkan anakanaknya bagi disambut jiran.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, tiga anaknya, Rashidah Iliana Zamri, 7; Zaim Shahrul, 6; dan Zaim Iqbal, 2, selamat, bagaimanapun Rafidah terperangkap di dalam rumah dipercayai gagal membuka jeriji pintu.

Mayat mangsa yang berkhidmat sebagai jururawat di Hospital Kuala Krai ditemui dekat pintu utama rumah berkenaan.

Namun bagi bapa mangsa, Ismail Husin, 63, yang masih terkejut dengan kejadian itu, jeritan meminta tolong anak sulungnya akan menghantuinya sepanjang hayat.

“Masih terngiang-ngiang suaranya meminta tolong ketika api marak tapi saya tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya sebak.

Suami mangsa, Zamri Hamat, 38, tentera di Kem Sri Banding Grik, Perak, berkata beliau menerima panggilan telefon daripada bapa mentuanya, kira-kira jam 2 petang selepas solat Jumaat.

“Bapa mentua minta saya bertenang ketika memberitahu rumah saya terbakar dan isteri terperangkap di dalam rumah,” katanya yang tiba di Kuala Krai jam 5.45 petang.

Katanya, kejadian itu memberi tamparan hebat baginya sekeluarga terutama anak sulung mereka Rashidah Ilyana yang masih terkejut dengan peristiwa yang menimpa ibunya.

“Anak sulung saya hanya mendiamkan diri bila ditanya kerana benar-benar terkejut dengan kejadian yang menimpa ibunya,” katanya.

Ulasan