UMNO DAN KAPITALISME


Pembuka Bicara

Apabila disebut tentang kapitalisme, ia akan menggambarkan bagaimana terdapat individu, sekumpulan atau kelompok masyarakat yang mengambil kesempatan daripada keadaan untuk mengumpul kekayaan dan mempunyai matlamat untuk meraih keuntungan. Istilah ini telah mula diperkenalkan oleh Karl Marx pada abad ke 19. Kapitalisme adalah merupakan satu sistem ekonomi yang digerakkan oleh kuasa pasaran bagi menentukan pengeluaran kos, menetapkan harga barang dan perkhidmatan, pelaburan dan juga pendapatan. Kapitalisme sebenarnya telah lama wujud dalam sistem ekonomi dunia walaupun istilahnya hanya diperkenalkan oleh Karl Marx. Kapitalisme adalah konsep ekonomi yang telah berjaya mengukuhkan ekonomi England pada kurun ke 16 sehingga kurun ke 19.

Kapitalisme mengambil ruang dengan melabur ke dalam industri dan menggunakan tenaga pekerja untuk menjalankan aktiviti perindustrian. Golongan pekerja dilihat oleh Karl Marx sebagai golongan yang tertindas kerana terpaksa menggunakan tenaga mereka tetapi hanya diberikan pulangan yang tidak setimpal sedangkan golongan kapitalis meraih keuntungan yang besar. Bagi Karl Marx, ia adalah merupakan satu pengeksploitasian terhadap golongan pekerja dan ia perlu dihentikan kerana golongan yang kaya akan bertambah kaya dan golongan miskin akan terus dengan kemiskinannya. Karx Marx percaya bahawa hanya melalui revolusi golongan pekerja dapat menyingkirkan kapitalisme daripada sesebuah pemerintahan.


Pengaruh Kapitalisme terus bergerak ke seluruh dunia dengan menggunakan alasan pembangunan untuk melabur di dalam industri di sesebuah negara dan Malaysia tidak terkecuali mendapat perhatian daripada kumpulan kapitalis. Tugasan ini akan membincangkan bagaimana pengaruh elit kapitalis di dalam mencorakkan transformasi politik dalaman dan luaran yang melibatkan dua buah parti politik yang sedang memerintahkan Malaysia pada ketika ini.


Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)


UMNO adalah merupakan sebuah parti yang menunjangi Barisan Nasional (BN) ataupun dahulunya dikenali sebagai Parti Perikatan sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Sebagai sebuah parti yang didukung oleh kaum Melayu di Malaysia, UMNO dilihat sebagai parti yang sewajarnya mengambil tindakan untuk membela kaum Melayu sama ada dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan kemasyarakatan. Kebergantungan kaum Melayu kepada UMNO terus diperkukuhkan dengan strategi UMNO sebagai parti memerintah dengan mewujudkan beberapa dasar yang mempunyai hasrat untuk meningkatkan ekonomi kaum Melayu.

Kedudukan UMNO di dalam pemerintahan Malaysia sebagai parti yang dominan telah memberikan keuntungan kepada golongan kapitalis melalui program ekonomi di dalam kerajaan sama ada ia diperoleh secara langsung atau tidak langsung. Melalui Dasar Penswastaan, berlakunya peningkatan secara besar-besaran pembiayaan modal daripada pihak swasta ke dalam projek-projek mega. Ini secara tidak langsung mewujudkan golongan korporat Melayu dan kelas korporat Melayu yang dapat dikategorikan sebagai satu bentuk kelas borjuis Melayu yang mempunyai hubungan yang rapat dengan pemerintah. Ketika era pemerintahan Tunku Abdul Rahman, UMNO tidak mempunyai penglibatan di dalam perniagaan kerana beranggapan bahawa tidak wajar sebuah parti yang memerintah menggunakan kuasanya untuk mengumpul kekayaan. Ketika ini, sumber kewangan UMNO adalah melalui sumbangan ahli dan masyarakat yang bersimpati dan sumbangan daripada ahli perniagaan daripada kaum Cina. Koperasi Usaha Bersatu Berhad (KUB) telah ditubuhkan ketika pemerintahan Tun Hussien dengan harapan KUB dapat menambah kewangan dan kepentingan UMNO. KUB telah dilancarkan sendiri oleh Tun Hussien pada 11 Mei 1977 di Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai bukti bahawa projek yang dipunyai oleh UMNO namun penglibatan UMNO tidaklah aktif dengan campur tangan politik. Mahathir dilihat sebagai ‘bapa kapitalisme’ dalam merencana dan membina kumpulan elit kapitalis melalui penswastaan badan kerajaan yang telah bermula pada tahun 1983 dan ia adalah merupakan perancangan pengindustrian kapitalis besar-besaran yang pintar dan cekal. Bermula dengan penswastaan inilah maka elit kapitalis dilahirkan untuk menguasai syarikat yang ditubuhkan oleh pemerintah iaitu UMNO bagi kepentingan ekonomi mereka.

Dasar rent-seeking dan patronage telah dikupas dengan panjang lebar oleh Barry Wain dalam bukunya yang diharamkan penjualannya di Malaysia iaitu “Malaysia Maverick Mahathir Mohamed in turbulent times” (Barry Wain, 2009). Buku yang telah diterbitkan pada akhir tahun lalu telah mendedahkan bagaimana Dr. Mahathir telah memberikan kontrak projek empangan Bakun di Sarawak bernilai RM 15 bilion kepada Ting Pek Khing yang mempunyai hubungan rapat dengan Mahathir selaku Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Dr Maznah Mohamad juga telah membuat ulasan berkaitan dengan buku yang ditulis oleh Barry Wain ini dengan mengambil skop penglibatan UMNO dengan dunia perniagaan dan secara tidak langsung ia membuktikan bagaimana peranan yang telah dimainkan oleh Dr. Mahathir untuk mewujudkan golongan elit kapitalis di dalam UMNO dan kerajaan.
Fasa ‘campur tangan negara’ daripada tahun 1970 sehinggalah ke tahun 1985 yang melihatkan bagaimana rancangan Malaysia ke kedua sehingga ke empat dilaksanakan serta pengenalan kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971 (Ahmad Fauzi Abdul Hamid : 2010).

DEB diwujudkan dengan hasrat untuk membasmi kemiskinan dengan cara meningkatkan pendapatan serta menambah peluang pekerjaan untuk rakyat tanpa mengira kaum. Keduanya, ia diharapkan dapat mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk mengatur semua kedudukan ekonomi supaya seimbang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum yang selama ini dikenali mengikut fungsi ekonomi. Bermula Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia, satu dasar baru iaitu Dasar Pandang ke Timur telah dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan Jepun bagi membangunkan industri di Malaysia.
Kemunculan elit kapitalis di dalam UMNO bermula apabila UMNO mengorak langkah untuk melibatkan diri dengan perniagaan.

UMNO telah berjaya melahirkan tokoh korporat yang muncul hasil daripada kejayaan menggunakan DEB sebagai pemudah cara. Penubuhan Fleet Holding Sendirian Berhad adalah merupakan langkah awal UMNO untuk terlibat di dalam dunia perniagaan. Ia adalah arahan Tun Razak kepada Bendahari UMNO ketika itu, Tengku Razaleigh Hamzah untuk mengetuai syarikat tersebut tetapi ia masih bergerak atas dasar pelaburan syarikat dan penerimaan dividen sahaja.


Ada juga pandangan yang menyebut bahawa UMNO mula terlibat dengan dunia perniagaan apabila Halim Saat telah memulakan penglibatan UMNO di dalam perniagaan apabila kerajaan yang mempunyai kepentingan secara terus sebagai pemegang saham dalam syarikat Renong yang mana Renong adalah merupakan syarikat pelaburan UMNO (Nor Azizah Zainal Abidin dan Halimah @ Nasibah Ahmad : 2007). Renong telah mendapat banyak projek kurnia daripada kerajaan tanpa melalui tender sebagai contohnya penglibatan Renong dalam saham di dalam Syarikat Perwaja Stell.

Kesan daripada penglibatan elit kapitalis ini telah menyebabkan UMNO berhadapan dengan beberapa masalah yang mendatangkan kesan kepada keruntuhan UMNO. Penglibatan elit kapitalis di dalam UMNO telah merubah UMNO daripada sebuah parti yang sebelum ini dipimpin oleh golongan pejuang bangsa kepada golongan korporat yang mempunyai latar belakang ekonomi yang jitu.
Dengan penubuhan pelbagai syarikat Faber Group Bhd, KUB Malaysia Bhd, Malaysian Resources Corp. Bhd, Media Prima Bhd, New Straits Times Press (M) Bhd , UEM Builders Bhd dan UEM World Bhd yang mana UMNO mempunyai kepentingan di dalamnya, UMNO berupaya menjana pendapatan kewangan untuk membiayai segala bentuk program dan projek parti khususnya bagi menghadapi pilihan raya yang diadakan.

Melalui penswastaan ini, maka lahirlah tokoh elit kapitalis daripada hubungan baik dengan pemimpin kerajaan seperti Halim Saad, Tajudin Ramli, Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Allahyarham Yahaya Ahmad. Begitu juga, lahirnya tokoh korporat seperti Samsuddin Abu Hassan yang telah berkhidmat di bawah pentadbiran Nelson Mandela di Afrika Selatan setelah diperkenalkan oleh Dr Mahathir. Namun, elit kapitalis ini telah melarikan diri dari Afrika Selatan kerana telah dituduh menggelapkan berjuta-juta ringgit dan turut saman meninggalkan hutang yang berjumlah sekitar US$7.2 juta.


Golongan-golongan elit kapitalis ini menjadikan UMNO sebagai ‘kuda tunggangan’ untuk mendapatkan habuan dan kekayaan melalui projek mega kerajaan yang tidak perlu untuk diperoleh daripada tender terbuka, elit kapitalis ini menggunakan kuota Bumiputera dan DEB sebagai ruang untuk memperoleh projek dengan mudah.


Kesan Pengaruh Elit Kapitalis dalam UMNO.

Apabila wujudkan elit kapitalis di dalam UMNO maka ia telah menjadi di antara penyebab UMNO menghadapi pelbagai masalah yang menyebabkan UMNO semakin hilang sokongan khususnya daripada kaum Melayu.


i. Perpecahan dalam parti

UMNO telah mula mengalami keretakan apabila berlakunya pertembungan di antara Presiden UMNO ketika itu iaitu Dr Mahathir dengan Tengku Razaleigh Hamzah bagi merebut jawatan Presiden. Pertandingan ini menyebabkan Tengku Razaleigh telah ditewaskan dengan jumlah undi yang kecil. Namun, kekalahan Tengku Razaleigh telah membawa kepada perpecahan UMNO yang dahsyat. Pertembungan ini juga sedikit sebanyak telah membawa kepada pengharaman UMNO pada tahun 1988.

Seterusnya, ia telah menyebabkan Dr Mahathir telah mendaftarkan UMNO (Baru) bagi menggantikan UMNO yang diharamkan manakala Tengku Razaleigh telah menubuhkan Parti Semangat 46.
UMNO juga berhadapan dengan pepecahan parti yang dahsyat apabila Dr Mahathir telah memecat Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan diikuti dengan jawatan Timbalan Presiden UMNO berserta dengan keahlian UMNO. Punca kepada pepecahan ini adalah disebabkan pengaruh elit kapitalis yang mempunyai kepentingan di dalam UMNO yang pastinya mahukan kepentingan mereka dipelihara.

ii. Politik Wang Di Dalam Pemilihan Parti


Politik wang adalah satu gejala yang berpunca daripada penglibatan elit kapitalis di dalam UMNO. Gomez menyatakan bahawa peningkatan politik wang disebabkan peningkatan pemusatan kuasa di peringkat pusat di bawah kuasa Presiden UMNO. Dr Novandri menyatakan bahawa politik wang sebenarnya bukanlah satu perkara yang baru tetapi ia adalah gejala yang telah lama dikesan di dalam parti berpandukan kepada ucapan Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO yang ke 35.

Dr. Mahathir telah menyatakan di dalam ucapannya betapa UMNO telah masuk ke satu era baru di mana kepentingan diri lebih diutamakan daripada kepentingan parti dengan penggunaan wang bagi merebut jawatan.
Mahathir secara konsistennya terus bercakap tentang masalah yang sedang dilalui oleh UMNO apabila beliau telah menyatakan bahawa rakyat menolak UMNO kerana mereka telah jelek dan muak dengan amalan korupsi di dalam UMNO (Mahathir, 2009). Mahathir juga telah mencatatkan satu kolum di dalam blognya yang mana bekas pimpinan kanan UMNO telah menyatakan kepada beliau bahawa “UMNO telah busuk sehingga ke ususnya bagi menggambarkan betapa kroniknya UMNO pada ketika ini (Mahathir, 2009).

UMNO telah berusaha untuk menghapuskan amalan rasuah di dalam parti dengan menubuhkan Lembaga Disiplin UMNO. UMNO dilihat semakin serius untuk menghapuskan amalan rasuah di dalam parti apabila Lembaga Disiplin UMNO dengan berani telah membuat keputusan bahawa calon Naib Presiden, Datuk Mohd Ali bin Rustam tidak dibenarkan bertanding kerana terlibat di dalam amalan politik wang walaupun ketika itu beliau mendapat pencalonan kedua tertinggi. Namun, keputusan tersebut telah dipertikai oleh seluruh UMNO Bahagian di negeri Melaka dan keputusan itu telah dianggap berat sebelah kerana calon Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin juga dituduh di bawah Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO tetapi hanya diberikan amaran sahaja dan dibenarkan untuk bertanding.


iii. UMNO dipimpin oleh golongan Kapitalis Melayu/ golongan berkedudukan.

Jika diperhatikan latar belakang kepimpinan UMNO pada hari ini, kita akan dapat melihat dengan jelas trend pemilihan kepimpinan UMNO khususnya di peringkat cawangan dan bahagian. Satu ketika dahulu, UMNO dipimpin oleh mereka daripada kelas bawahan yang berlatarbelakangkan pendidikan tahap sederhana dan berlatarbelakangkan profesion guru dan pegawai kerajaan Melayu. Golongan ini dilihat sebagai golongan yang mempunyai semangat juang yang menekankan tentang keperluan untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air..
Tetapi trend ini telah berubah apabila UMNO mula dikuasai oleh golongan kelas menengah dan kapitalis Melayu yang terdiri daripada golongan korporat yang dilihat berkemampuan untuk memimpin kerana mempunyai sumber kewangan yang besar. Lebih-lebih lagi, menjadi Ketua Cawangan UMNO dan Ketua Bahagian UMNO menjanjikan pulangan yang besar seperti projek dan kebendaan (Mahathir : 2009). Melihat kepada perkembangan ini, kita dapat melihat bagaimana penglibatan golongan elit yang begitu besar ketika di dalam zaman pemerintahan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia dan sebagai Presiden UMNO.

Apa yang menariknya, Dr Mahathir secara konsisten menyatakan kepada umum bahawa UMNO telah diserang dengan politik wang dan sehingga ke hari ini. Dr. Mahathir telah menyatakan di dalam ucapan dasarnya di dalam Perhimpunan Agung UMNO yang ke 35 bahawa unsur politik wang telah meresapi UMNO dalam menentukan pucuk pimpinan parti. Tetapi dalam masa yang sama, Dr Mahathir jugalah yang telah melipatkan gandakan jumlah golongan kapitalis yang berkepentingan ini sehingga mewujudkan masalah dalaman yang cukup ketara kerana golongan kapitalis ini menggunakan wang dan kekayaan untuk menentukan pemimpin yang mampu mengekalkan penglibatan mereka di dalam dunia korporat pada hari ini. Kewujudan kumpulan elit kapitalis ini secara tidak langsung sebenarnya membawa kepada gejala politik wang yang semakin parah dan kini menjadi racun yang semakin melemahkan UMNO.


Penutup

Melihat kepada perkembangan kedudukan parti politik UMNO di Malaysia, pengaruh elit kapitalis sangat jelas dapat dilihat khususnya pada masa ini. Tidak dinafikan bahawa dasar yang diwujudkan oleh kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pandangan ke Timur, Dasar Penswastaan dan dasar-dasar pembangunan yang lain telah berjaya membuka satu lebaran baru kepada dunia ekonomi negara dan mampu membuka ruang peningkatan kepada pelaburan dan pekerjaan tetapi ia sebenarnya telah menyebabkan dasar ekonomi Malaysia akan dikuasai oleh golongan kapitalis dan golongan korporat.
Merekalah yang akan menentukan agar kehendak mereka diterima dan dilaksanakan bukannya kehendak kerajaan mahupun rakyat. Apabila golongan elit kapitalis ini mengusai ekonomi maka secara tidak langsung ia menekan golongan rakyat biasa yang terus memerah keringat untuk menambahkan kekayaan golongan pelabur ini.

Sebab itu, parti politik mesti mengelakkan diri daripada terlibat dan terpedaya dengan golongan kapitalis ini kerana apabila golongan kapitalis sudah mengusai kepimpinan parti politik maka agenda perjuangan yang menjadi dasar parti akan terhakis sedikit demi sedikit.

Sebab itu juga, pada hari ini UMNO, MIC dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain sudah mula dilihat tidak relevan lagi dalam persada politik negara disebabkan parti ini dilihat sudah tidak lagi memberikan keutamaan kepada membela nasib rakyat tetapi lebih mengambil kira keperluan yang dipinta oleh golongan kapitalis yang menguasai syarikat-syarikat besar yang pada hari ini menjadi pelabur kepada perkembangan ekonomi negara.


Rujukan


Gomez, Edmund Terence.(1993) Corporate involvement of political parties in Malaysia muka surat 155 – 162 Ahmad Fauzi Abdul Hamid. (2010). JKP 418/4 Ekonomi Politik Malaysia, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia. Wain, Barry (2009).

Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times, Palgrave Macmillan
Maznah Mohamad, (2010). Mahathir : Maverick, Machiavellian or merely mainstream?, Aliran Monthly, vol.30 (2) ms 5 dan 6. Mahathir Mohamad. (November 30, 2010).

Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO, dapat diakses secara online daripada http://chedet.co.cc/chedetblog/2009/03/pemilihan-majlis-tertinggi-umn.html

Mahathir Mohamad (October 24, 2008). Politik wang dalam UMNO, diakses secara online daripada http://chedet.co.cc/chedetblog/2008/10/politik-wang-dalam-umno.html

Mahathir Mohamad, (November 2009). UMNO, diakses secara online daripada http://chedet.co.cc/chedetblog/2009/11/umno.html

Novandri Hasan Basri (October 05, 2009). Politik Wang adalah rasuah yang nyata, diakses secara online daripada http://www.pemudaumno.org.my/modules.php?name=News&file=article&sid=3390

Wikipedia. (Disember 12, 2010). Capitalism, dapat diakses secara online daripada http://en.wikipedia.org/wiki/Capitalism


Wikipedia. (Disember 12, 2010). United Malays National Organisation, dapat diakses secara online daripada http://en.wikipedia.org/wiki/UMNO


Utusan Malaysia Online (Mac 18, 2009). Lembaga Disiplin bebas, dapat diakses secara online daripada http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm


Utusan Malaysia Online (Mac 18, 2009). Ali Rustam Dilarang Bertanding, diakses secara online daripada http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0318&
pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_04.htm


Asia Sentinel ( 13 October 2010). UMNO's Corporate Cornucopia, diakses secara online daripada http://www.asiasentinel.com/index.php?option=com_content&task=view&id=2754&
Itemid=178

Ulasan