Utusan Malaysia : Teruskan Usaha Membantu Kemenangan BN

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Isu yang ditimbulkan oleh akhbar pro UMNO telah membuka ruang perbincangan dan tidak kurang juga kecaman secara berterusan kepada Utusan Malaysia (UM). Saya, sebelum ini telah menulis tentang isu yang sama dengan tajuk Utusan Malaysia : Malaysia Negara Kristian? sebagai tindakan awal untuk membawa pembaca betapa terdesaknya UMNO menggunakan media usang ini untuk meyakinkan rakyat Malaysia khususnya masyarakat Melayu/Islam bahawa sekiranya Pakatan Rakyat memerintah Malaysia maka bersedialah untuk melihat nasib Agama Islam dan Bangsa Melayu dikuburkan di Malaysia.

Saya tertarik dengan beberapa pandangan yang dipetik daripada beberapa laman maya yang menyiarkan kenyataan pemimpin politik dan NGO yang mengulas isu ini mengikut perspektif masing-masing.

Kita lihat saja bagaiaman Perdana Menteri, DS Najib Razak menggesa semua pihak supaya bertenang dan tidak mengeksploitasi isu agama berkaitan kononnya pihak Kristian berkonspirasi mahu menjadikan ia agama rasmi negara. Najib minta agar semua pihak bertenang sehingga pihak kerajaan mencari fakta sebenar. Najib memberikan penegasan bahawa sesiapa saja sama ada pembangkang atau prokerajaan tidak boleh dan tidak sepatutnya mengeksploitasi isu ini.

Nampaknya, Najib telah tersilap langkah di sini kerana menegur semua pihak supaya 'tidak boleh dan tidak patut' mengekspoitasi isu ini. Mungkin Najib Razak yang sedang sibuk dengan Sidang Kemuncak Asean ke-18 di Jakarta tidak menyedari bahawa apa yang sedang berlaku ialah pengekspoitasian telah berlaku akibat daripada kelemahan UM mengambil sumber isu daripada blog-blog pro UMNO yang sudah sememangnya secara konsisiten menyebarkan maklumat yang dilihat dapat memberikan kelebihan kepada pemerintah.

Ataupun mungkin, Najib Razak sengaja buat-buat tidak tahu agar isu yang dilontarkan ini bukannya datang daripada idea yang dicetuskan oleh APCO yang selesa dengan bayaran RM 77juta setahun. Ataupun, mungkin Najib tidak menyangka bahawa isu ini yang sepatutnya memberikan lonjakan sokongan daripada orang Melayu kepada UMNO tetapi secara tidak sedar ia telah menyebabkan penganut agama Kristian pula menempelak pendedahan palsu daripada UM.

Buktinya, Bishop Antony Selvanayagam mendakwa Utusan Malaysia berbohong kononnya Gereja Katolik Pulau Pinang berperanan dalam konspirasi ini dan beliau akan berunding dengan peguamnya mengenai bakal tindakan perundangan ke atas akhbar tersebut.

Mungkin dengan sebab terdapatnya kesan negatif daripada laporan berita UM ini maka Najib mahu semua pihak bertenang. Namun ia tidak semudah itu, wahai DS Najib. Perkasa yang menjadi NGO Melayu pro UMNO telah membuat kenyataan dengan memberi tempoh dua minggu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyiasat kesahihan laporan Utusan Malaysia ini.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata,

“Kita memandang serius perkara ini sebab ia berkaitan dengan agama dan ada kaitan dengan elemen provokasi . . . malah ia juga ada kaitan dengan soal keselamatan negara. “Kalau benar laporan itu, kita mahu pihak yang terlibat diambil tindakan, mencegah lebih baik daripada mengubati. Kalau benar pihak keselamatan jangan tunggu lama, ia mungkin akan ambil masa untuk siasat perkara ini."

Berita ini, dilaporkan juga telah disiarkan oleh blog-blog yang pro kepada UMNO yang menjaja kepada pembaca bahawa perkara ini seperti sudah terbukti benar dan ia ditanamkan ke dalam minda pembaca agar menolak DAP dan PR.

Melihat kepada perkembangan ini, saya percaya isu ini adalah satu di antara isu-isu yang telah dirancang dengan teliti di atas nasihat APCO dan yang sewaktu dengannya yang mahu mewujudkan satu senario ketakutan dan kebimbangan di kalangan rakyat agar jangan mendekati dan menyokong perjuangan PAS, DAP dan PKR kerana nasib Agama Islam dan Melayu akan hancur.

Pemimpin UMNO rasuah tidak apa, pemimpin UMNO tidak menjalankan amanah pun tidak apa, pemimpin UMNO menyeleweng pun tidak apa kerana apa yang penting adalah survival politik UMNO dalam pemerintahan negara. Pemimpin UMNO sanggup melakukan apa sahaja agar mereka kekal dalam pemerintahan Malaysia.

MCA hina Islam pun tidak apa, MCA mahu saman kerajaan Kelantan kerana mengharamkan judi pun tidak apa, pemimpin MCA hina calon PAS di Tenang kerana tidak mahu bersalam pun tidak apa asalkan UMNO/BN akan terus memerintah.

UMNO sanggup membuat apa sahaja agar terus memerintah. Bukan saya yang kata tetapi ia telah dilafazkan oleh Presiden UMNO di dalam Persidangan Agong UMNO pada tahun 2010 dan disaksikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Apa yang DS Najib kata?


Maka, kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan. Berpasaklah kepada parti UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!

Demi Islam, Demi Melayu dan Demi Malaysia.
Bersamalah Mendaya Bangsa, Meneraju Kemakmuran.

Maka, kita perlu bersedia dengan kadar yang berlipat kali ganda kerana selepas daripada ini cabaran-cabaran yang mendatang akan lebih luar daripada kebiasaan.

Kepada akhbar Utusan Malaysia, teruskan usaha untuk membantu BN mencapai kemenangan yang diharapkan tetapi dalam masa masa yang sama jangan terlupa bahawa Allah juga menilai apa yang anda lakukan dan ia sudah tentu akan menjadi bekalan di akhirat kelak.

Apa yang pasti, rakyat semakin menolak UMNO. Bersama kita bergerak untuk menawan PUTRAJAYA!

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
www.khairulfaizi.com

Ulasan