Isu 14 Keping kad pengenalan bersama dengan kad berlogo BN Kembali!





Apabila isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing dibangkitkan sejak beberapa bulan yang lalu, ia telah membuka ruang kepada satu isu yang telah semakin disenyapkan iaitu isu yang berkaitan dengan 14 Keping kad pengenalan yang dijumpai bersama dengan kad berlogo BN.

Kebetulan, isu ini telah digegarkan sejurus selepas Muktamar PAS Pusat pada tahun 2009 dengan satu laporan polis telah dibuat pada 8 jun 2009 di balai Polis Skudai Johor Bahru.

Kad-kad pengenalan ini telah dijumpai oleh sdr Zaaba Bin Haji Ibrahim pada 6 Jun 2009 di tempat perlupusan sampah di kawasan pembuangan sampah haram di kawasan Tampoi.

Pada 19 Ogos 2009, satu memorandum telah diserahkan kepada Ketua Polis Negeri Johor melalui Timbalannya untuk mendapatkan maklum balas berkaitan dengan laporan polis yang telah dibuat dan pada 20 Ogos 2009 melalui surat rasmi PDRM, Timbalan Ketua Polis negeri Johor telah menjawab bahawa kes ini telah diserahkan dan disiasat oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pada 17 September 2009, DPPNJ telah menghantar surat kepada Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Johor bagi mendapatkan status siasatan. Namun, JPN telah menjawab surat tersebut pada 29 Oktober 2009 dengan menyatakan bahawa kes ini adalah dibawah tanggungjawab PRDM dengan merujuk kepada laporan polis yang telah dibuat pada 8 Jun 2009.

Disebabkan PDRM dan JPN tidak mahu mengambil tanggungjawab di atas perkara yang serius ini maka DPPNJ telah hadir ke Parlimen Malaysia menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Dalam Negeri di Parlimen pada 17 November 2009 dan ia telah disampaikan kepada YB Salahuddin Ayub sebagai perantara.

Sehingga ke hari ini, ia menampakkan bahawa isu terjumpanya IC ini tidak menarik minat untuk disiasat kerana ia bakal menyebabkan pihak-pihak tertentu akan dipalitkan dengan perkara ini.

Disebabkan perkara ini telah pun dibangkitkan semula di dalam muktamar PAS baru-baru ini maka saya berhasrat untuk membangkitkan isu ini kerana ia sudah tentu ada hubung kaitnya dengan isu pemberian IC kepada warga asing.

Esok pagi saya akan serahkan kepada Timbalan Presiden PAS Yang baru, Tuan Haji Mohamad bin Sabu untuk tindakan yang selanjutnya. Saya juga berharap agar Dewan Pemuda PAS Johor dapat meneruskan kembali isu ini selepas daripada ini.

Terus berjuang!

Ulasan