Carl Capp dan Hajah Rosmah Mansor

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Sejak sekian lama saya meneliti dan mengikuti kisah dramatik dan cerekaramatik yang mengaitkan isteri DS Najib yang dinobatkan sebagai Wanita Pertama Malaysia oleh dirinya sendiri. Minat untuk membaca dan meneliti tetapi tidak minat menulis kerana saya rasa banyak lagi perkara yang berfaedah perlu saya catatkan di dalam blog ini daripada saya mencatatkan kisah bersiri Hajah Rosmah dengan kelainannya.

Hajah Rosmah cukup sinonim dengan sikapnya yang gemar membeli belah dengan kadar yang tinggi dan terlampau daripada kemampuannya sendiri. Hajah Rosmah cukup ceria ketika berada diluar negara kerana mungkin inilah peluang keintanan untuk beliau menghabiskan duit yang ditabungkannya sejak dari kecil bagi membeli barangan yang diidamkan.

Kecuali di Mekah, wajah Hajah Rosmah agak kurang ceria jika dibandingkan dengan wajahnya ke destinasi lain termasuklah di Australia baru-baru ini, mungkin disebabkan Hajah Rosmah tak berpeluang untuk mengenakan pakaian yang cantik-cantik dan mahal-mahal dan mungkin juga Hajah Rosmah tak berpeluang untuk membeli barangan yang diinginkan kerana semuanya tiada di sana. Tiada kain selendang yang mahal' hanyalah tudung dan jubah yang tak berkenan dek hati dan iman.

Sebab itu mungkin Hajah Rosmah menanamkan azam dan keinginan untuk membelanjakan duit tabungannya ke destinasi yang menarik dan Australia adalah tempat yang menjadi sasaran sempena programnya di sana. Apabila didedahkan oleh Andrew Hornery tentang Hajah Rosmah berbelanja besar di Australia, Hajah Rosmah terpaksa menafikan berita tersebut dan menyatakan bahawa dia sentiasa menjadi mangsa. Namun, kolumnis Sydney Morning Herald sekali lagi menyatakan bahawa dia menulis dengan mendapat sumber yang dipercayai bahawa sememangnya telah menghabiskan jumlah wang yang banyak ketika berbelanja di satu pusat membeli belah.

Hari ini, Seorang pereka fesyen Carl Capp telah membuat satu pendedahan bahawa sememangnya Hajah Rosmah telah singgah ke butiknya tetapi jumlah sebenar pembelian Hajah Rosmah dan ahli kumpulannya tidak didedahkan. Hajah Rosmah dikatakan telah menempah sebanyak 61 helai sutera dengan kos yang dianggarkan melebihi A$100000.

Hajah Rosmah mungkin akan rasa kecewa dengan pendedahan Carl Capp kerana mendedahkan pembeliannya di Australia ini dan ada kemungkinan tempahan yang dibuatnya itu akan dibatalkan. Hajah Rosmah boleh mendakwa dia telah difitnah oleh penulis Andrew Hornery tetapi bagaimana pula dengan pengakuan yang telah dibuat oleh Carl Capp ini.

Hajah Rosmah mungkin tidak berapa sedar yang beliau adalah isteri Perdana Menteri Malaysia yang tidak dapat dielakkan bahawa tindak-tanduknya memberi kesan kepada suaminya. Hajah Rosmah dilihat lebih kehadapan dalam banyak perkara sehingga ada yang melebelkan Hajah Rosmah adalah 'the real Prime Minister of Malaysia' dengan tindakannya.

Melihat kepada sikap Hajah Rosmah, saya teringat kepada Hajah Dr Siti Hasmah Ali yang pernah berada di kedudukan Hajah Rosmah pada ketika ini, bukannya singkat masanya tetapi selama 23 tahun. Walaupun Dr Mahathir sering dikecam dek sikapnya yang diktator acuan Malaysia tetapi Hajah Siti Hasmah tidak pula menjadi sasaran pengkritik. Hajah Siti Hasmah tetap teguh berada di sisi suaminya sehingga ke hari ini.

Ia sangat jauh berbeza dengan Hajah Rosmah, sangat jauh berbeza. Perkara yang menjadi persoalan umum pada hari ini bukan hanya pada sikap Hajah Rosmah sahaja tetapi daripada mana sumber kewangan beliau selain daripada tabungannya sejak daripada kecil.

Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Taman Sri Kuang
25 Januari 2012

Ulasan

Catat Ulasan