Musim Debat Bermula : Ibrahim Ali Berani Dalam Takut

Salam perjuangan,

Debat di antara Dr Chua Soi Lek dan Lim Guan Eng baru-baru ini telah berjaya membuka gelanggang debat terbuka di antara tokoh politik dan masyarakat negara kita.


Datuk Mahfuz Omar mengembalikan nostalgia 12 tahun yang lalu dengan mencabar Datuk Hishamudin untuk berdebat. Saya menghubungi beliau sebentar tadi untuk bertanyakan perkembangan baru sama ada Hisham telah pun memberikan respon terhadap cabaran tersebut. Manalah tahu Hisham akan menghantar wakilnya seperti satu masa dahulu.

Terbaru, tiba-tiba Presiden Perkasa juga mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang untuk berdebat di atas tajuk siapa yang paling rasis, DAP atau Perkasa. Pada umumnya, saya boleh menerima tajuk tersebut kerana Perkasa sentiasa dipalitkan dengan perjuangan yang berlandaskan rasis, ruang yang ada ini dapat memberikan ruang Perkasa untuk membuktikan semua yang dilemparkan itu fitnah belaka.

Cuma yang agak melucukan adalah permintaan Datuk Ibrahim Ali yang mahu debat tersebut diadakan tanpa kehadiran hadirin atau penyokong. Saya tidak pasti apakah muslihat Datuk Ibrahim namun saya merasakan bahawa Datuk Ibrahim tidak mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan suasana tekanan daripada hadirin khususnya yang tidak menyebelahinya.

Saya katakan begitu kerana saya teringat bagaimana Datuk Ibrahim pernah 'naik angin' semasa dalam perbahasan Parlimen apabila beliau diprovok oleh ahli Parlimen yang lain.

Pada pandangan saya, jika debat tersebut diadakan tanpa penyokong maka saya cadangkan Datuk Ibrahim kembali semula ke alam persekolahan kerana di peringkat sekolah kerana debat diperingkat sekolahpun mempunyai penyokong kedua-dua pihak.

Tahniah Datuk Ibrahim Ali kerana mencabar YAB Lim Guan Eng walaupun cabaran tersebut dapat dikategorikan sebagai cabaran BERANI DALAM TAKUT.

Wassalam

Ulasan