Kisah Liow Dengan Nombor Plat Kereta

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Saya mengikuti dengan penuh minat kisah Menteri Kesihatan, YB Datuk Liow Tong Lai yang dikaitkan dengan plat sensasi WWW1 kerana setiap kali berita ditulis mengenainya, sudah pasti ada catatan yang bercanggah dengan berita yang sebelumnya.

Walaupun isu plat kereta ini tidaklah seserius dengan isu pecah amanah, rasuah dan penyelewengan kuasa tapi apa yang pasti isu ini sememangnya menjerat Menteri Kesihatan ini kerana ia terpaksa memberikan penjelasan yang berpusing-pusing dan berputar-putar bagi meyakin rakyat bahawa nombor plat berkenaan adalah milik kementeriannya dan bukan miliknya. Malah, Datuk Liow terpaksa mengelak daripada bertemu dengan golongan wartawan yang terus mengharapkan ketelusan maklumat berkaitan dengan isu tersebut.

Namun, jalan akhir yang dicapai oleh beliau adalah melepaskan nombor plat tersebut kepada pembida tertinggi selepas bidaannya walaupun beliau kata tidak pernah membida nombor tersebut.

Siapalah agaknya yang sebenarnya membida nombor tersebut masih belum kita tahu kerana mungkin nombor tersebut dibida oleh 'kumpulan halimunan' di pejabat Liow. Jika Liow mahu bersungguh membersihkan namanya, Liow patut berusaha dengan bersungguh-sunguh sepenuh jiwa untuk membuktikan kepada massa bahawa sememangnya dia tidak membuat bidaan dan tidak tahu langsung siapa yang melakukannya. Jika tidak, maka semua penafiannya hanya untuk menutup pekung di dada sahaja.

Wasalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
12 Jun 2012, 2.29 pagi
********************************

Liow Tolak 'WWW 15' - mStar Online

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Isnin mengumumkan beliau menolak tawaran nombor pendaftaran 'WWW 15' yang diberikan kepadanya secara percuma oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurutnya, beliau tidak sepatutnya menggunakan kelayakan sebagai menteri bagi mendapatkan nombor berkenaan apabila mengetaui wujudnya pembida lain bagi nombor yang sama

"Sekali lagi saya ingin menekankan bahawa saya tidak pernah membida untuk nombor pendaftaran WWW 15.

"Setelah mendapat maklumat bahawa nombor pendaftaran tersebut telah dibuka untuk bidaan, saya wajar melakukan yang terbaik dengan tidak menggunakan kelayakan saya."Sewajarnya nombor tersebut diberikan kepada pembida tertinggi," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini, Isnin.

Bagaimanapun Liow yang juga Timbalan Presiden MCA menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan beliau menggunakan alasan kelayakan istimewa sebagai menteri kabinet kerana enggan membuat pembayaran bagi bidaan nombor berkenaan yang bernilai RM24,200.

"Bukan saya bida dan kemudiannya saya tidak mahu bayar pada harga bidaan tersebut."Kalau saya buat bidaan, sudah pasti saya tahu harganya. Saya memang tidak membida nombor itu...saya tidak isi borang dan saya tidak letakkan harga bidaan saya," katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui mengetahui serta memilih sendiri nombor 'WWW 15' ketika kakitangan kementeriannya membuat permohonan kepada JPJ.

"Dengan melalui prosedur rasmi, pejabat saya telah memohon nombor pendaftaran tersebut untuk kegunaan kenderaan rasmi menteri."Pejabat saya telah menerima surat rasmi daripada JPJ pada 6 Jun 2012 mengesahkan kelayakan pemberian nombor pendaftaran percuma tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Liow berkata, beliau kecewa dengan kontroversi berkenaan kerana baginya soal pemilikan nombor pendaftaran kenderaan rasminya tidak seharusnya dijadikan isu.

"Saya kecewa...sangat kecewa. Ia tak sepatutnya berlaku. Bagi saya nombor ini tak penting. Saya boleh guna apa-apa sahaja nombor bagi kereta rasmi saya," katanya.

Ulasan