Kenapa kerajaan tidak serius sambut Merdeka?






Kerajaan dilihat tidak serius untuk menyambut sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos yang akan datang.

Selain daripada slogan yang digunakan iaitu 'Janji Ditepati' yang langsung tidak menggambarkan semangat menentang penjajahan dan lebih dilihat sebagai slogan pemerintah menarik sokongan rakyat di dalam PRU ke-13, logo yang dibuat sekadar 'melepaskan batuk di tangga' sahaja.

Lebih memalukan, ia adalah logo yang ditiru daripada pelekat kereta yang telah digunakan semasa sambutan kemerdekaan yang ke-52.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang menarik semula logo yang menjadi bahan jenaka khususnya di dalam alam siber menjelaskan tiada logo rasmi digunakan bagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini, melainkan logo 1Malaysia seperti mana sambutan pada tahun lepas.

Beliau cuba meyakinkan bahawa bahan hiasan (artwork) yang dipaparkan oleh sesetengah pihak setakat ini hanyalah paparan selingan bukan logo rasmi. Sudah tentu kenyataan Rais Yatim ini memalukan banyak pihak termasuklah Datuk Ahmad Maslan yang bersungguh-sungguh mempertahankan logo unik ini.

Begitu juga dengan lagu sambutan kemerdekaan yang langsung tidak membawa aspirasi kemerdekaan. Tiada perkataan 'merdeka' dalam liriknya, tidak roh kemerdekaan dan tiada usaha untukmenyeru rakyat untuk menghayati kemerdekaan.

Ramai yang tertanya-tanya kenapa perkara ini terjadi di saat sambutan ini semakin dekat dan suntuk masanya.  Sebenarnya, selain daripada fokus pemerintah untuk 'berkempen' sempena PRU ke-13 yang akan datang ini diberikan keutamaan daripada maksud asal, pemerintah sendiri sudah tidak percaya bahawa Malaysia pernah dijajah sebelum ini.

Apabila timbul isu Mat Indera pada tahun 2011 yang dikatakan bukan pejuang kemerdekaan maka pelbagai pihak cuba untuk membuktikan bahawa Mat Indera bukan menentang pejajah walaupun yang ditentangnya pada ketika itu adalah British. British dikatakan sebagai penaung, penasihat dan pelbagai lagi gelaran dan yang pentingnya British bukannya penjajah.

Di antara yang kuat mempertahankan British bukan penjajah adalah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang mana Tun menyatakan bahawa hakikatnya Malaysia tidak pernah dijajah oleh British tetapi penasihat mereka telah bertindak seperti seolah-olah pemerintah yang sebenar berbanding Raja-Raja Melayu.

Majlis Professor Negara (MPN) melalui jurucakapnya iaitu Profesor Datuk Dr Zainal Kling Zainal berkata berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu tidak pernah dijajah dan sebaliknya hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.

PAS pernah mendesak UMNO supaya menyatakan pendirian terhadap kenyataan-kenyataan ini namun tiada pemimpin Umno yang berani untuk menyatakan pendirian.

Namun, dengan tindak-tanduk terkini cara sambutan Kemerdekaan ini menunjukkan bahawa kerajaan di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak menerima pandangan bahawa Malaysia tidak pernah dijajah dengan dibuktikan melalui slogan, logo dan lagu rasmi yang bakal kita sama-sama sambut pada 31 Ogos 2012 yang akan datang.

Ternyata, kepentingan politik lebih diutamakan oleh pemerintah daripada kepentingan untuk menyedarkan rakyat tentang erti kemerdekaan yang sebenar.

Pemerintah seperti ini sememangnya perlu dijatuhkan dalam PRU yang akan datang.

Penulis ialah Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Ulasan