Syria : Pemberontak isytihar perang

Pemberontak isytihar perang

2012/07/18
Pertempuran sengit meletus dengan tentera kerajaan di Syria

Damsyik: Ibu negara Syria semakin bergegar dengan konflik selepas pemberontak mengumumkan akan melancarkan serangan besar-besaran terhadap tentera kerajaan.

Serang pemberontak

Askar prokerajaan pula menggunakan helikopter penyerang menyerang pemberontak di kawasan tertentu di Damsyik dan pertempuran dilaporkan sengit.

Tentera Syria Merdeka (FSA) berkata, operasi itu digelar ‘gunung berapi Damsyik dan gempa bumi Syria’.

Saksi melaporkan tembakan mesingan di Medan Sabaa Bahrat, terletak di tengah Damsyik.

“Tembakan mesingan kedengaran di Medan Sabaa Bahrat. Anggota keselamatan bersenjata Kalashnikov dilihat di kawasan yang juga lokasi Bank Pusat,” kata mereka.

Kejadian tembak menembak juga dilaporkan meletus di Baghdad Street, jalan raya utama dekat medan berkenaan.

Sekat laluan

FSA juga cuba menyekat laluan keluar masuk dari Aleppo di utara, ke Daraa di selatan dan dari Deir Ezzor di timur ke Latakia di persisiran pantai.

Beberapa jam selepas pengumuman berkenaan, aktivis dan pemerhati melaporkan, helikopter tentera membedil daerah Qaboon di Damsyik.

Pemberontak serta tentera turut bertempur di kawasan penempatan Al-Midan dan Al-Hajar al-Aswad.

“Tentera kerajaan menggunakan helikopter dilengkapi mesingan untuk menyerang Qaboon,” kata Pemantau bagi Hak Asasi Syria beribu pejabat di Britain,
Aktivis di Damsyik memberitahu, serangan helikopter dilancarkan selepas FSA di Qaboon menangkis cubaan tentera menawan semula kawasan itu.

Tentera turut menyerang kawasan kejiranan dengan mortar dan melepaskan tembakan ke semua arah di daerah itu daripada helikopter yang terbang rendah, kata aktivis yang memperkenalkan dirinya sebagai Omar.

Di Manila, laporan menyatakan, pekerja Filipina yang cuba lari dari medan konflik didenda AS$10,000 (RM35,0000) oleh majikan mereka sebelum dibenarkan meninggalkan negara itu.

Perkara terbabit didedahkan Kementerian Luar Filipina, semalam.

Majikan Syria menuntut pekerja itu memulangkan wang untuk membawa mereka bekerja di sana, kata jurucakap Kementerian Luar, Raul Hernandez. - AFP

Ulasan