PEMUDA PAS BERSIAP SEDIA UNTUK HIMPUNAN AMAN DI HADAPAN KEDUTAAN AMERIKA

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
PEMUDA PAS BERSIAP SEDIA UNTUK HIMPUNAN AMAN DI HADAPAN KEDUTAAN AMERIKA
01 Dzu al-Qa'idah 1433 bersamaan 18 September 2012

Dewan Pemuda PAS Malaysia telah membuat persediaan untuk menganjurkan Perhimpunan Aman bagi membantah filem kontroversi 'Innocence of Muslim' di hadapan Kedutaan Amerika pada 21 September 2012 sejurus selepas solat Jumaat.

DPPM telah membuat pengerahan supaya setiap Dewan Pemuda PAS Negeri menghantar sekurang-kurangnya 5 ribu anggota Pemuda PAS dalam himpunan ini.

DPPM juga menggesa agar seluruh ummah Islam di negara ini untuk turut serta dalam himpunan aman ini bagi menyatakan rasa cinta dan sayang kita kepada Nabi Muhamad s.a.w serta menyatakan sikap kita terhadap kebiadapan Sam Becile dan sekutunya yang tidak bertanggung jawab ini.

DPPM telah mengarahkan agar 1000 anggota Jabatan Amal untuk menjalankan tugas sepanjang himpunan ini diadakan nanti.

DPPM akan memaklumkan secara rasmi kepada pihak keselamatan dalam masa yang terdekat bagi memastikan bahawa himpunan ini dapat dilaksanakan dengan aman tanpa diganggu oleh provokasi mana-mana pihak.

DPPM juga menjemput seluruh pemimpin parti politik untuk bersama dalam himpunan ini sebagai satu isyarat bahawa rakyat Malaysia tidak dapat menerima penghinaan terhadap Rasulullah dan tindakan menghina Islam perlu dihentikan segera.

Disediakan oleh ;
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Ulasan