Esok Belum Bubar Parlimen?


Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Melihat kepada perkembangan padahari ini, walaupun spekulasi cukup tinggi bahawa esok (22 Februari 2013) akan terbubarlah Parlimen namun ia semakin tidak menampakkan bahawa ia akan berlaku.

Walaupun kibaran bendera UMNo dan BN cukup banyak termasuklah di sekitar Kluang ini dan ada di antara bendera ini telah pun menyembah bumi namun ia belum cukup dapat meyakinkan seorang yang bernama Najib Razak untuk membuat pengumumkan bahawa BN sudah cukup bersedia berhadapan dengan pertembungan di medan perang.

Pernah Najib Razak mengumumkan bahawa beliau tidak sabar untuk membubarkan Parlimen, pernah juga beliau kata sukakan tarikh itu dan ini, pernah juga beliau kata masa pembubaran sudah hampir dan yang terbaru beliau juga kata Parlimen akan dibubarkan apabila beliau dan rakyat sudah bersedia.

Jika ditanya kepada kami, Pakatan Rakyat telah lama bersedia. Mungkinkah apa yang dimaksudkan Najib bahawa mereka yang sebenarnya belum bersedia adalah rakyat yang bernama Najib Razak itu sendiri?

Pelbagai habuan telah diberikan kepada rakyat daripada golongan tua sampailah ke peringkat kanak-kanak, semuanya telah berjaya diberikan habuan. Peneroka Felda telah menerima pelbagai insentif dan hadiah. Nelayan dan petani telah dilayan. Penjawat awam telah menerima imbuhan dan bonus. Apa lagi yang Najib Razak perlu tunggu lagi?.

Tidak percayakah Najib kepada Tranformasi 1Malaysia yang beliau ilhamkan? Mungkinkah Najib takut untuk berdepan dengan kekalahan nanti? Lihatlah Pak Lah, tenang saja mengadap PRU walaupun bermodalkan Islam Hadhari Pak Lah berjaya menarik sokongan rakyat pada tahun 2004.

Saya mendapat maklumat, biasanya sehari sebelum Parlimen dibubarkan para Menteri Besar akan menerima surat untuk mengadap Sultan bagi perkenan untuk membubarkan Parlimen. Sehingga hari dan saat ini, tiada surat yang sampai kepada mereka untuk membuat persediaan tersebut. Tapi, tidak tahulah zaman Transformasi Najib mungkin caranya berbeza.

Apapun, jika esok tidak juga bubar Parlimen maka ia tidaklah melemahkan semangat kami untuk terus berkerja kerana lambat laun Najib Razak terpaksa menerima realiti bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen dan tarikh luput pemerintahan sudah hampir ke penghujungnya.

Semakin lambat Najib untuk membubarkan Parlimen maka semkin kuat hasrat rakyat untuk menolak BN dalam PRU yang akan datang ini. Bersiap-siaplah Najib dan sekutunya untuk meninggalkan Putrajaya.

Wassalam


Ulasan