Pastikan Al Quran braille terkawal - Sekretariat OKU PAS

Pastikan Al Quran braille terkawal - Sekretariat OKU PAS

Harakahdaily, 18 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempertingkatkan kawalan ke atas penerbitan Al Quran braille untuk orang kurang upaya (OKU) penglihatan di negara ini.

Ini kerana, ia dibimbangi akan disalahgunakan dan menjejaskan kesucian Al-Quran.

Demikian kata Mohammad Faizal Che Yusof (gambar), Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU PAS.

Menurut Faizal, penerbitan AlQuran Braille di Malaysia bukanlah perkara baru. Ia telah berlaku tidak kurang 20 tahun yang lalu.

Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, mereka dapati penerbitan AlQuran Braille seolah-olah telah menjadi lubuk emas buat pihak-pihak tertentu.

Semenjak tahun 2011, telah ditegaskan betapa ada cubaan pelbagai pihak untuk menerbitkan AlQuran Braille dengan cara yang diragui bagi kegunaan OKU penglihatan.

Namun ingatan yang dikeluarkan oleh NGO yang bertanggungjawab langsung tidak diambil perhatian oleh pemerintah yang diterajui oleh Umno, katanya.

Penerbitan AlQuran Braille di Malaysia sehingga kini hanya dibenarkan oleh Kementerian Dalam Negeri kepada sebuah sahaja NGO OKU penglihatan.

"Kami telah difahamkan bahawa beberapa pihak lain telah mula dan sedang menawarkan penerbitan AlQuran Braille tanpa suatu kawalan yang ketat.

"Kami menegaskan bahawa pihak kerajaan adalah bertanggungjawab sepenuhnya memastikan penerbitan AlQuran Braille ini tetap memelihara kesucian dan ketulinan isi Al-Quran sebagaimana mashaf yang biasa.

"Lebih mendukacitakan, kami mendapati penerbitan Alquran Braille oleh pelbagai pihak ini turut ditawarkan ke luar Negara termasuk Palestin dan Ghazza," beritahu Faizal kepada Harakahdaily.

Walhal, kerajaan Arab Saudi telahpun menyedia penerbitan AlQuran Braille yang percuma kepada sesiapa sahaja yang memerlukan terutamanya mereka yang berada di sekitar Asia Barat dan Asia Tengah.

"Kami memberi ingatan, penerbitan AlQuran Braille yang tidak dikawal oleh kerajaan membuka ruang untuk penyalahgunaan berlaku sama ada dari isi kandungan atau peruntukan dana yang banyak yang seharusnya tidak berlaku.

"Justeru, kami menyeru pihak kerajaan termasuklah Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk bertindak lebih Sirius bagi memastikan penerbitan AlQuran Braille di Malaysia tetap terpelihara," katanya.

Ulasan