PRU13: Pakatan Rakyat lancar manifesto 25 Feb



PETALING JAYA: Pakatan Rakyat akan melancarkan manifestonya pada 25 Februari nanti sempena Konvesyen Pakatan Rakyat ke-4 yang akan diadakan di Pusat Konvesyen Shah Alam.
Manifesto yang dinamakan Manifesto Rakyat yang bertemakan Pakatan Harapan Rakyat, mengandungi empat teras utama iaitu Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat.

Jelas Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, intipati manifesto itu telah mengambil masa selama 18 bulan untuk proses rundingan dan kajian serta telah dibentangkan sebanyak dua kali di peringkat tertinggi Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

"Manifesto ini mengabungkan ke semua dasar yang berlandaskan Dasar Bersama Pakatan Rakyat, Buku Jingga dan program-program khusus yang diumumkan melalui Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 dan juga belanjawan 2013.

"Barisan Nasional (BN) selalu menuduh Pakatan tidak ada dasar yang khusus untuk membawa kebaikkan kepada rakyat dan negara ini, namum apa yang kita putuskan dalam manifesto ini memastikan kepentingan dan kebajikan setiap rakyat dan negara diberi keutamaan," jelas beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR pagi ini. (Gambar atas)

Jelas Rafizi lagi, pelancaran manifesto ini menandakan bermulanya kempen pilihanraya umum ke-13 (PRU13), malah beliau juga turut mengalu-alukan perdebatan, pandangan dan kritikan sihat berhubung cadangan-cadangan yang dikemukakan di dalam manifesto rakyat.

"Pelancaran awal manifesto ini juga membuktikan komitmen Pakatan untuk memastikan kempen kali ini lebih tertumpu kepada persoalan rakyat dan dasar untuk melawan politik perkauman dan fitnah yang dibawa oleh BN.

"Kelewatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat keputusan untuk membubar parlimen telah memberi peluang kepada Pakatan untuk memperjelaskan dengan lebih terperinci apa yang terkandung dalam manifesto tersebut," sambung beliau lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu semakin lama Najib mengambil keputusan untuk membubar parlimen telah memberi peluang kepada rakyat untuk memahami manifesto ini.

Malah menurutnya, manifesto yang telah dipersetujui ini merupakan satu dokumen yang ringkas tetapi padat serta senang difahami oleh setiap lapisan rakyat.

"Kita tidak mengamalkan politik longkang tetapi apa yang kita bawa untuk rakyat adalah satu yang akan meningkatkan martabat rakyat serta keupayaan negara pada masa akan datang," jelas beliau.

Pakatan yang mula bersidang pada bulan September 2011 melibatkan seramai empat belas orang Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat.

Selain Dr Dzulkifly, wakil daripada PAS ialah Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa dan Dr Mohd Hatta Ramli.

Ulasan