Pemuda PAS lawat penempatan sementara Lahad Datu

Pemuda PAS lawat penempatan sementara Lahad Datu

Harakahdaily, 27 Mac 2013
LAHAD DATU: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) semalam membuat kunjungan ke kem penempatan sementara penduduk Lahad Datu yang berdepan pencerobohan pengganas di kawasan mereka sejak sebulan lalu.

Kunjungan tersebut diketuai ketuanya Nasrudin Hassan bersama Setiausaha Khairul Faizi Ahmad Kamil dan turut disertai Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah yang diketuai Lahirul Latigu.

Rombongan tiba di penempatan sementara di Felda Sahabat petang semalam dan meluangkan masa dengan penduduk dan anggota keselamatan sehingga lewat malam.

Dianggarkan lebih 1450 penduduk masih lagi menetap di empat kem penempatan sementara menunggu suasana kembali pulih seperti sedia kala.

Dalam kunjungan itu, mereka turut menyampaikan bantuan hasil sumbangan orang ramai berupa makanan, makanan basah, keperluan belajar kepada anak-anak dan peti sejuk beku untuk tujuan penyimpanan barang basah.

"Antara keperluan anggota petugas JPA yang mencecah 200 orang satu masa ialah sleeping bag, khemah tidur kapasiti dua orang dan untuk kem penempatan pula ialah bahan makanan basah seperti ikan dan daging.

"Semalam kita dah belikan peti sejuk beku untuk dihantar ke sana sebab ia adalah keperluan mendesak untuk simpan bahan basah," kata Nasrudin.

Rombongan mereka juga turut diberikan taklimat gerakan oleh Kol Abdul Wahab Rahim.

Selesai menyantuni penduduk dan menyampaikan bantuan, rombongan DPPM juga turut meninjau kawasan termasuk pertemu dengan anggota keselamatan yang berkawal di sekitar Lahad Datu.

Selain mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini keadaan di sana, mereka juga turut menyampaikan sumbangan berupa air minuman kepada anggota yang bertugas.

Ulasan