7 Mac 2013
SULTAN Johor Sultan Ibrahim hari ini menasihatkan penyokong bola sepak
negeri ini supaya menjaga tatatertib dan tidak melakukan perkara yang
melanggar undang-undang ketika menyaksikan perlawanan Liga Super dan
Liga Perdana.
Baginda bertitah semua penyokong perlu sentiasa mengingati keselamatan
semua pihak ketika berada di stadium supaya tidak mencemarkan nama
negeri ini.
"Jangan buat perkara yang mencemarkan nama negeri Johor seperti
melempar barang-barang, asap dan mercun, sebaliknya tunjukkan kepada
penyokong negeri lain bahawa kita berdisiplin," titah baginda kepada
pemberita di Istana Pasir Pelangi, di sini.
Baginda turut memuji inisiatif yang dilakukan Tunku Mahkota Johor Tunku
Ismail, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ),
bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri ini.
"Sekarang saya tengok stadium penuh malah saya difahamkan tiket sudah
habis seawal pukul 10 pagi dan penyokong hadir ke stadium seawal pukul 6
petang.
"Cara Tunku Mahkota memimpin PBNJ dalam masa terdekat sudah nampak
hasilnya tetapi peminat jangan berharap pasukan terus menjadi juara,
sebaliknya memberi tempoh masa untuk pasukan," titah baginda.
Mengulas mengenai tindakan yang bakal dikenakan Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) ke atas Tunku Mahkota Johor kerana mengkritik mutu
pengadilan, Sultan Ibrahim bertitah bahawa baginda akan akur dengan
keputusan FAM.
Malah saya sendiri tidak pilih mana-mana pihak sama ada Tunku Mahkota
Johor atau FAM kerana saya neutral dalam hal ini, titahnya.
"Tunku Mahkota Johor sendiri ada menghadap sembah kepada saya
memberitahu mengenai perkara ini. Saya terima dengan hati terbuka malah
tidak mahu berlaku 'double standard' walaupun dia anakanda saya," titah
baginda.
Selepas mengharungi sembilan perlawanan, pasukan Johor Darul Takzim
kini menungguli carta Liga Super dengan 16 mata manakala Johor FA
menghuni tangga ketiga dalam Liga Perdana dengan jumlah pungutan mata
yang sama. - Bernama
Ulasan
Catat Ulasan