Kerajaan Umno hina Agong bila tolak IPCMC

Abdul Aziz Mustafa, 05 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan Umnolah yang pertama sepatutnya didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong kerana keengganannya melaksanakan Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis (IPCMC) bukannya individu yang membuat melalui facebook pribadi mereka, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Jangan hanya sibuk menghentam dan mendakwa pengguna Facebook sahaja sedangkan yang lebih terang-terangan menghina Agong dan mesti didakwa sebelum yang lain ialah kerajaan Umno yang menolak cadangan Suruhanjaya Diraja Untuk Mempertingkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia supaya ditubuhkan IPCMC.

"Itu suruhanjaya diraja di bawah Agong tetapi kerajaan Umno menghina suruhanjaya itu dan melayan mereka seperti kumpulan tepi longkang apabila membakulsampahkan begitu sahaja cadangan suruhanjaya itu.

"Menghina suruhanjaya diraja di bawah Agong sama seperti menghina Agong," kata beliau sambil membangkitkan cadangan suruhanjaya itu bukan sahaja ditolak malah kerajaan membiarkan sahaja mereka dikecam dengan begitu terbuka oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Akibat penghinaan kerajaan Umno terhadap suruhanjaya diraja itu, kata Mahfuz (gambar kanan), kesannya kini ditanggung oleh rakyat dan mereka merasa semakin dianiayai.

"Tidak putus-putus kita dilaporkan dengan kematian demi kematian ketika dalam lokap polis.

"Belum sempat mahkamah jatuhkan hukuman, sudah mati dengan cara yang begitu dipertikaikan dalam lokap polis," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz sependapat dengan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Abdul Samad yang berkata, sepatutnya balai polis adalah tempat paling selamat.

"Sepatutnya balai polis jadi tempat yang paling selamat bagi mana-mana orang kerana ia tempat yang dijaga mengikut undang-undang," kata Khalid.

Bila berlaku kematian orang yang ditangkap di dalam lokap polis dan Menteri Dalam Negeri tidak mengambil tindakan tegas, perkara itu menjatuhkan imej dan reputasi polis serta menghilangkan kepercayaan rakyat pada polis, kata Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Bagi Mahfuz, apa yang berlaku itu kian membuktikan dengan jelas perlunya IPCMC.

"Lebih baik tubuh segera IPCMC sebelum rakyat menuduh balai polis sebagai pusat penyembelihan mereka yang ditangkap.

"Kita sama sekali tidak mahu perkara itu berlaku. Walaupun kita menentang tindakan memperalatkan polis untuk kepentingan Umno, tetapi kita amat menghormati peranan polis membanteras jenayah," katanya lagi.

IPCMC salah satu daripada 125 cadangan pembaikan pasukan polis yang dikemukakan Suruhanjaya Diraja Untuk Mempertingkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada tahun 2005.

Suruhanjaya yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaidin Abduullah itu mencadangkan IPCMC ditubuhkan sebelum 31 Mei 2007.

Sehingga kini, IPCMC masih belum terlaksana dan penangguhannya terus didesak oleh rakyat setiap kali terdapat berita tentang salah laku atau keganasan polis terhadap orang awam.

Ulasan