Siasat menyeluruh cubaan bunuh Sanjeevan

Siasat menyeluruh cubaan bunuh Sanjeevan - Harakahdaily

Harakahdaily, 30 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak siasatan menyeluruh dibuat mengenai satu percubaan bunuh pengerusi NGO anti jenayah MyWatch, R Sri Sanjeevan.

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, ini berikutan dakwaan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa percubaan bunuh terhadap R Sri Sanjeevan mungkin ada kaitan dengan pendedahannya baru-baru ini mengenai dakwaan penglibatan anggota polis dalam sindiket jenayah.

“DPPM menganggap kenyataan Tan Sri Musa Hassan itu sebagai sesuatu yang serius,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, jika benar dakwaan tersebut, ia bermakna ada beberapa pihak yang ‘merasa panas’ dengan pendedahan R Sri Sanjeevan sehingga tergamak mengambil pembunuh upahan menembak beliau.

“Soalnya, siapakah yang berusaha membunuh beliau dan sipakah pula dalang yang mengarahkan beliau dibunuh?” soal beliau.

Katanya, pendedahan Sanjeevan dan jenayah yang berlaku ke atasnya pastinya menggemparkan negara.

“Cubaan bunuh ke atas beliau menunjukkan bahawa ada beberapa kes besar yang boleh memeranjatkan melibatkan individu atau pihak tertentu cuba untuk dilenyapkan.

“Mungkin beliau memiliki rahsia besar yang perlu disingkapkan bagi pengetahuan umum,” katanya lagi.

Beliau menambah, individu berprofil tinggi seperti R Sri Sanjeevan sepatutnya dilindungi daripada sebarang cubaan jenayah terhadapnya.

Katanya, Sanjeevan menghadapi risiko dibunuh ekoran keberaniannya mendedahkan bahawa pegawai polis sendiri terlibat dengan jenayah.

“Keberanian beliau wajar dicontohi dan seharusnya banyak pihak lain sanggup ke tengah dalam menegakkan kebenaran tanpa mempedulikan risiko yang bakal diambil,” ujarnya.

Akhirnya, ujar beliau DPPM mengharapkan penjenayah terbabit segera ditangkap untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

Katanya, kejadian ke atas R Sri Sanjeevan menunjukkan jenayah membunuh menggunakan senjata api adalah sesuatu yang serius dan Malaysia sudah tidak boleh dianggap selamat bagi warganya.

Ulasan