Jakim bantah Lamb of God, konsert lain bagaimana?


Harakahdaily, 02 Sep 2013

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang membantah kehadiran kumpulan heavy metal ‘Lamb Of God’ yang dijadualkan membuat persembahan di Kuala Lumpur pada 28 September ini.

DPPM menganggap bantahan Jakim selari dengan keresahan umat Islam terhadap penganjuran kumpulan artis tersebut.

“Umum mengetahui bahawa kumpulan terseb
ut menimbulkan kontroversi kerana imej dan penampilan mereka yang menghina Islam.

“Dikhuatiri persembahan kumpulan tersebut akan menimbulkan krisis akidah, permasalahan moral serta keruntuhan akhlak di kalangan anak-anak muda yang lebih parah,” ujar Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Namun demikian, katanya DPPM merasa musykil kerana Jakim jarang bersuara menyatakan bantahan sama seperti yang dibuat terhadap Kumpulan Lamb Of God.

Sebelum ini, kata beliau banyak pihak telah membantah penganjuran kosert heavy metal Metallica, kumpulan rock Linkin’ Park dan lain-lain lagi.

Malah, ujarnya DPPM serta NGO-NGO juga pernah membantah persembahan artis kontroversi dan berimej seksi seperti Beyonce Knowles, Avril Lavigne, Adam Lambert, Inul Daratista, Rihanna, Erykah Badu dan lain-lain.

“DPPM berpandangan Jakim seharusnya bersifat tegas dengan membantah mana-mana persembahan yang tidak sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia serta boleh merosakkan akidah umat Islam,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, sebagai organisasi kerajaan yang menjaga urusan umat Islam, Jakim menjadi panduan dan rujukan umat Islam serta menjadi benteng mempertahankan akidah dan syakhsiyah umat Islam.

Tegasnya, perbuatan amar ma’aruf nahi mungkar (mengajak kepada yang makruf dan mencegah dari perbuatan mungkar) perlu dimulakan oleh kerajaan dan Jakim menjadi tunjangnya sebelum diikuti oleh NGO dan parti-parti politik.

Oleh itu, kata beliau DPPM mengharapkan agar JAKIM konsisten serta aktif dalam memastikan apa juga aktiviti yang dianjurkan mengikut syariat Islam termasuk penganjuran konsert.

“Jakim menjadi contoh teladan kepada umat Islam agar bangkit memperta
hankan agamanya daripada dirosakkan oleh aktiviti mungkar yang berleluasa di negara ini,” katanya.

Ulasan