Empangan Semberong : Tarikh Siap Empangan Kahang Masih Samar-Samar?


Empangan Semberong : Tarikh Siap Empangan Kahang Masih Samar-Samar?

Pada 27 Jun 2011, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Industri, Tenaga, Air, Komunikasi dan Alam Sekitar negeri, Tan Kok Hong memberitahu DUN bahawa pembinaan Empangan Kahang di Kluang yang menelan kos RM105 juta dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2015. Soalan ini telah ditanya oleh Adun Mengkibol, YB Ng Lam Hua (mendiang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar.

Ahli Parlimen Kluang juga pernah membangkitkan perkara yang sama di Parlimen. Sdr Liew Chin Tong telah diberitahu bahawa projek itu dijadual siap pada November 2016. Terma rujukan Penilaian Impak Alam Sekitar dibentangkan kepada Jabatan Alam Sekitar pada 27 Mac 2013.

Terbaru pada 26 Oktober yang lalu, MB Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengumumkan bahawa satu projek pembinaan Empangan Kahang berjumlah RM105 juta akan bermula pada November ini.

MB Johor memberitahu bahawa tujuan pembinaan empangan ini ialah untuk mengatasi MASALAH BANJIR DI KLUANG serta untuk menjamin pembekalan air di daerah tersebut sehingga tahun 2035 bagi memenuhi kegunaan penduduk yang bakal mencecah 400,000 orang menjelang tahun 2030.

ADUN Mengkibol yang baru, sdr Tan Hong Pin telah memberi respon dengan satu kenyataan media yang merangkumi 3 persoalan seperti berikut ;

1. Bagaimanakah projek pembinaan dapat bermula sebelum laporan DEIA diluluskan?

2. Adakah benar tiada sebarang tanah yang akan diambil untuk kegunaan pembinaan Empangan Kahang?

3. Bagaimanakah pembinaan Empangan Kahang menyelesaikan masalah banjir di Bandar Kluang?

Justeru, saya harapkan agar sidang DUN Johor yang sedang berlangsung akan membantu semua pihak untuk mendapat maklumat yang sebenar tentang kedudukan Empangan Kahang yang telah dijadikan modal ketika kempen Pilihan Raya BN dalam PRU ke 13 yang lalu.

Penting untuk rakyat mengetahui tarikh sebenar jangkaan empangan akan disiapkan dan tujuan sebenar empangan ini dibuat iaitu untuk menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan Kluang kerana agak pelik empangan ini dapat membantu menyelesaikan masalah banjir di Kluang.

Sekian

Khairul Faizi Ahmad Kamil
Yang Di Pertua PAS kawasan Kluang

Ulasan