Lagi bantahan kenaikan tol - Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) - Sinar Online


JOHOR BAHRU - Kerajaan diharapkan dapat membatalkan kenaikan tol di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar, di sini, meskipun pelaksanaan sudah diputuskan bermula hari ini.
Ketua Pembangkang Dewan Negeri Johor, Dr Boo Cheng Hau berkata, kajian terhadap pertindihan konsesi Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dalam pembinaan Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) dan konsesi PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang didakwa mengutip tol di KIK Johor Bahru (bangunan lama) selama ini, juga perlu dilakukan.

Menurutnya, pertindihan ini dipercayai melibatkan konsesi PLUS dan MRCB yang sewajarnya diumumkan kepada pengetahuan umum.

"Konsesi PLUS mengutip tol di KIK Johor Bahru sejak lebih 20 tahun lalu tanpa membina sebarang lebuh raya di antara  KIK berkenaan dan Lebuh Raya Utara Selatan.

“PLUS dijangka mengutip antara RM867 juta hingga RM1.5 bilion selama ini (kutipan tol di KIK Johor Bahru) iaitu lebih daripada kos pembinaan EDL iaitu RM977 juta termasuk pengambilan tanah kira-kira RM250 juta,” katanya pada sidang akhbar, di sini semalam.

Cheng Hau berkata, kajian dan siasatan terhadap kebijaksanaan keputusan kerajaan berhubung konsesi MRCB yang melibatkan pelaburan wang simpanan rakyat menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Haji juga  perlu dilakukan.


“Penyenggaraan dan pembinaan EDL sepatutnya diambil alih oleh PLUS dan bukannya dibayar lagi kos oleh pengguna jalan raya (kutipan tol) kerana PLUS bertanggungjawab membekalkan khidmat lebuh raya dari KIK Bangunan Sultan Iskandar (bangunan baharu) ke Lebuh Raya Utara Selatan.

“Demi mengawal kepentingan wang simpanan rakyat iaitu KWSP dan Tabung Haji, PLUS sebagai syarikat swasta sepatutnya menanggung kos pembinaan EDL sementara perkhidmatan EDL ini boleh digunakan secara percuma pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, kenaikan tol di KIK Bangunan Sultan Iskandar bukan sahaja kurang munasabah kerana pengguna Tambak Johor sudah membayar tol kepada PLUS lebih daripada 20 tahun tanpa dibekalkan lebuh raya di antara KIK Johor Bahru dan Lebuh Raya Utara Selatan.

Katanya, tetapi ia juga akan menunda pembangunan Iskandar Malaysia kerana menyebabkan kehilangan keyakinan pelabur asing.

“Kenaikan tol ini akan diikut oleh Land Transport Authority (Singapura) supaya secocok dengan harga tol di KIK Bangunan Sultan Iskandar. Ini bermakna pemandu kereta akan menanggung tol sebanyak RM33 dua hala di KIK Bangunan Sultan Iskandar dan Woodlands CIQ.

“Saya berharap kenaikan tol ini dikaji semula sehingga satu penyelesaian yang lebih munasabah dicapai oleh kedua-dua kerajaan iaitu Malaysia-Singapura terhadap banyak isu melibatkan pembangunan Iskandar Malaysia selain daripada isu kenaikan kadar baharu tol  di KIK ” katanya.

EDL sepanjang 8.1 kilometer itu dibangunkan oleh MRCB menerusi anak syarikat milik penuhnya, MRCB Lingkaran Selatan Sdn Bhd (MLSSB) dengan kos RM977 juta.

Pembinaan lebuh raya itu memberi kemudahan kepada kira-kira 100,000 rakyat Malaysia dan Singapura yang berulang-alik setiap hari, sekali gus menjimatkan masa dan mengatasi kesesakan lalu lintas terutama di Jalan Tebrau dan Pandan.

Lebuh raya berkenaan menjadi tumpuan umum apabila Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada 26 Julai lalu, mengumumkan kadar baharu tol di Kompleks CIQ.Kadar tol baharu arah masuk Malaysia bagi kenderaan Kelas 1 hingga Kelas 5 masing-masing ialah RM9.70, RM14.70, RM19.70, RM4.80 dan RM7.80 manakala kadar tol arah keluar pula adalah RM6.80; RM10.20, RM13.60, RM3.40 dan RM5.50

Ulasan