BAHAGIAN KETIGABELAS : PENGURUSAN KRISIS DALAM BERORGANISASI
Assalamu’alaikum
dan salam perjuangan,
Dalam
bahagian yang kelima, saya telah jelaskan berkaitan dengan perbezaan di antara
konflik dan krisis serta kesan positif dan negatif apabila berlaku konflik dan
krisis di dalam organisasi termasuk PAS dengan tajuk Menangani Konflik dan Krisis Dalam Berorganisasi. Ia diterangkan
secara umum dengan beberapa contoh yang mudah seperti konflik di peringkat PAS
cawangan yang berlaku akibat daripada kecenderungan yang berbeza di antara Ahli
Jawatankuasa Kerja PAS cawangan tersebut.
Di
penghujung tulisan tersebut saya telah nyatakan betapa perlunya penggerak
organisasi termasuk penggerak PAS di semua peringkat didedahkan dengan ilmu
Pengurusan Krisis (Crisis Management) iaitu satu kaedah
yang sistematik dan tersusun untuk mengenalpasti dan menangani kejadian
kecemasan yang berlaku atau mungkin akan berlaku dalam sesuatu krisis.
Pengurusan krisis yang cekap dan mantap akan membantu mengurangkan kerosakan
pada imej organisasi dan mampu memulihkan keadaan balik ke asal dalam tempoh
masa yang singkat.
PAS dan Konflik Dalaman Parti
PAS telah melalui tempoh perjuangan yang agak panjang
masanya iaitu telah masuk ke usia 63 tahun sejak ditubuhkan pada tahun 1951.
PAS adalah parti kedua tertua selepas UMNO walaupun UMNO hakikatnya telah
diharamkan pada tahun 1988 akibat pertembungan sesama sendiri. Sejak PAS
ditubuhkan, telah berlaku konflik dan krisis sehingga menyebabkan tertubuhkan
parti politik yang lain seperti HAMIM, BERJASA malah PAS pernah menghadapi krisis
sehingga Naib Presiden istihar keluar daripada PAS dan menyertai UMNO, Naib Presiden
dipecat daripada PAS dan pelbagai lagi episod duka namun PAS tetap kekal
sehingga kini.
Namun pepatah Melayu ada menyebut bahawa Sekali Air
Bah Sekali Pantai Berubah. Itulah
yang mungkin sedang PAS melalui pada ketika ini iaitu konflik dalaman yang
perlu diselesaikan dengan segera. Tidak dapat tidak, konflik yang berpanjangan
akan menimbulkan krisis dan sekiranya ia tidak ditangani dengan segera maka kebimbangannya
akan membawa kepada perpecahan yang merugikan banyak pihak.
Sekiranya berlaku krisis di dalam organisasi, asas
yang perlu dibentuk adalah dengan mewujudkan Pengendalian Komunikasi Krisis iaitu enakmen
kawalan dalam menghadapi keadaan ketidakpastian yang tinggi dalam usaha untuk
memenangi hati khalayak luaran iaitu masyarakat umum. Ia sebagai langkah untuk meredakan
kerunsingan dan kekeliruan masyarakat kepada konflik yang berlaku. Perlu jelas
siapa yang perlu diberikan penerangan, siapa yang dilantik jurucakap rasmi
organisasi, bagaimana peraturan mengendalikan media termasuk media maya dan impak
terhadap kenyataan media yang dibuat. Seterusnya, penilaian terhadap tindakan
yang diambil pada waktu krisis dan selepas waktu krisis perlu dilakukan dengan
sebaik mungkin.
Peranan dalam Pengurusan
Krisis
Kita juga perlu memahami tahap krisis yang berlaku. Menurut tokoh dan
pelopor Pengurusan Krisis, Dr Steven Fink bahawa terhadap empat tahap
berlakunya krisis. Tahap yang pertama adalah tahap amaran, tahap kedua adalah
tahap krisis serta-merta di mana berlakunya sedikit kerosakan. Tahap ketiga
adalah tahap krisis kronik dan tahap keempat adalah tahap pemulihan.
Ketua Penerangan ataupun mereka yang dilantik sebagai Pegawai Perhubungan
Aawm (PRO) berperanan dalam Pengurusan Krisis untuk membentuk mesej yang
difahami, mudah dan tepat. Perlu juga untuk memaklumkan situasi sebenar tentang
krisis dari semasa ke semasa. Walaupun organisasi telah mempunyai penjawat
jawatan rasmi sebagai juru bicara namun adalah wajar untuk melantik juru bicara
yang mempunyai autoriti, kewibawaan dan dipercayai ramai dalam kes tertentu
agar mesej yang ingin disampaikan akan diterima dengan sebaiknya.
Elakkan mereka yang terlibat di dalam kepimpinan organisasi membuat
kenyataan dalam apa jua bentuk yang menjurus kepada isu yang menimbulkan
konflik mengeluarkan kenyataan peribadi. Walaupun ia adalah pandangan individu
namun ia akan di ambil kira sebagai kenyataan daripada wakil organisasi oleh
pihak-pihak yang berkepentingan.
Dalam kecanggihan teknologi penyampaian maklumat yang cukup laju seperti
facebook, WhatsApp dan Twitter yang kadang-kadang lebih laju penyampaian
maklumat daripada media rasmi organisasi maka khabar angin dan maklumat palsu
adalah cukup cepat sampai kepada masyarakat.
Kerana kecanggihan teknologi maklumat masa kini maka kita perlu menyampaikan
maklumat dengan pantas dan tepat lebih-lebih lagi pada waktu yang ditetapkan.
Berita hari ini jangan di bawa ke esok hari kerana sebelum ia dimaklumkan
kepada umum, pelbagai spekulasi, persepsi dan andaian telah disebarkan kepada
umum sehingga konflik akan menjadi parah dan membarahi fikiran masyarakat.
Adalah lebih baik agar sidang media diadakan selepas mesyuarat mengenai
konflik atau krisis tersebut dibincangkan. PRO mestilah bersikap terbuka dengan
pelbagai persoalan yang diajukan oleh wartawan dan memberikan penjelasan dengan
sebaik mungkin untuk mereka melaporkan maklumat terkini dengan tepat dan betul.
Langkah-langkah Menghadapi
Krisis
Apabila sesuatu krisis berlaku di dalam organisasi maka langkah-langkah menghadapi
krisis perlu dilaksanakan. Pertamanya, perlu dapatkan situasi terkawal dengan
mengenalpasti pernyataan masalah dan mengatur strategi komunikasi. Keduanya, mengumpulkan
maklumat sebanyak mungkin bagi memahami masalah yang sebenar dihadapi oleh
organisasi. Ketiganya, membentuk pusat pengurusan krisis sama ada pusat
pengurusan krisis itu dibentuk daripada kalangan mereka yang berada di dalam
kepimpinan organisasi ataupun daripada pihak luar yang dilihat mampu
melaksanakan tugas tersebut. Keempatnya, berkomunikasi dengan cepat, pantas dan
berkesan serta berkomunikasi secara terus dengan massa. Kelimanya, fokus kepada
gerakerja organisasi kerana perhatian yang terlalu dipusatkan kepada menangani
krisis akan menyebabkan organisasi terjejas.
Punca-Punca Kegagalan
Menghadapi Krisis
Terdapat punca sesuatu organisasi gagal mengatasi konflik dan krisis mereka
sehingga berlakunya perpecahan. Di antaranya adalah disebabkan ketua yang
kurang berwibawa menangani krisis yang berlaku. Adalah sangat penting seorang
Ketua atau Pengurus atau Pengerusi atau atas apa jua namanya pun mesti
meletakkan kepentingan menyelesaikan konflik atau krisis sebagai kepentingan
utama. Keduanya, tidak wujudnya kerjasama di antara Ketua dengan
jawatankuasanya. Arahan ketua tidak diendahkan oleh AJK malah AJK bertindak
memboikot, mengkritik dan menolak cadangan ketua. Jika ini terjadi maka konflik
akan berterusan tanpa jalan penyelesaian. Ketiganya, media tidak diuruskan
dengan baik sehingga keperluan media tidak dipenuhi dengan sebaiknya. Kenyataan
media yang terlalu ringkas, terawang-awang, kabur dan tanpa maklumat jelas akan
menyebabkan pelbagai persepsi timbul. Keempatnya, organisasi tidak dibekalkan
dengan ilmu Pengurusan Krisis. Kelimanya, individu dalam organisasi tidak jelas
dengan hala tuju organisasi. Individu yang dimaksudkan di sini termasuklah
kepimpinan dan ahli organisasi tersebut.
Penutup : Pengajaran Daripada
Kisah Titanic
Saya pasti ramai yang mengetahui tentang kisah tenggelamnya kapal Titanic
yang telah tengelam pada 15 April 1912. Masyarakat dunia diberitahu pada masa
itu bahawa Titanic adalah kapal yang gagah dan kukuh namun akhirnya tenggelam
dalam keangkuhannya bersama kapten dan 1,513 penumpang yang malang seperti mana
yang ditayangkan melalui sebuah filem
bertajuk Titanic lakonan Leonardo De
Caprio pada akhir tahun 1997.
Titanic yang kukuh telah tenggelam akibat tiga kesilapan utama iaitu
terlalu percaya kepada kekebalan bahawa ia tidak akan tenggelam dalam apa jua
keadaan. Kapten Ernest Smith sedikit pun tidak bimbang walaupun telah mendapat
laporan bahawa Titanic telah melanggar tepi aisberg yang
tajam sedangkan akibat daripada perlanggaran itu air daripada Lautan Atlantik
mencurah masuk ke dalam kapal melalui rekahan sepanjang 300 kaki di bahagian
plat kapal.
Keduanya, kapten dan anak
buahnya tidak mengambil kira tentang ancaman daripada persekitaran. Titanic
terus bergerak laju dengan kelajuan 22 knots sejam melalui kawasan aisberg
walaupun telah diberi makluman melalui isyarat wayarles. Begitu juga dengan
persiapan bot penyelamat yang hanya mampu menampung seramai 1,250 orang sahaja
sedangkan jumlah penumpang pada masa itu adalah seramai 2,300 orang.
Ketiganya, krew dan anak kapal Titanic tidak membuat
apa-apa tindakan selepas 25 minit berlakunya perlanggaran pada pukul 11.40
malam. Arahan untuk menurunkan bot penyelamat hanya dibuat pada pukul 12.05
malam ketika kapal sudah mula tenggelam.
Faktor terlalu percaya kepada kekebalan, mengambil ringan terhadap ancaman
dan faktor lambat mengambil tindakan perlu dielakkan dalam menangani konflik
dan krisis termasuklah apa yang berlaku di dalam PAS pada ketika ini. Apa jua
konflik dan krisis perlu ditangani dengan segera dan cermat. Isu-isu yang
berlaku tidak sepatutnya dibiarkan berlalu begitu sahaja dan ianya perlu
ditangani dengan kadar sesegera yang mungkin.
Sekian, wassalam.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Penolong Setiausaha Agung PAS
Sektor Pemerkasaan Organisasi.
Ulasan
Catat Ulasan