Akademi Tahfiz Mandarin: Sejarah terukir

Akademi Tahfiz Mandarin: Sejarah terukir

HARAKAHDAILY | .


KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor telah membuka sebuah maahad tahfiz yang diberi nama Akademi Tahfiz Mandarin, semalam.

Setiausahanya, Ustaz Muhammad Najhan Halim berkata, Akademi Tahfiz Mandarin itu bertempat di lokasi yang sesuai dengan nama diberi iaitu di Pulau Ketam, Klang.

Beliau menyatakan demikian menerusi tulisan dalam laman facebook dewan itu, semalam, sebagaimana di bawah.

Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor melalui NGO rasminya Pertubuhan Pendakwah Selangor pada hari ini telah melakarkan sejarah buat pertama kalinya dan seumpamanya membuka sebuah maahad tahfiz yang diberi nama Akademi Tahfiz Mandarin (ATM).

Akademi Tahfiz Mandarin ini bertempat di lokasi yang sesuai dengan nama diberi iaitu di Pulau Ketam Klang.

Pulau Ketam yang populasinya 99 peratus golongan masyarakat Tionghua adalah lokasi strategik sesuai dengan hasrat Akademi Tahfiz Mandarin ingin melahirkan para huffaz yang berkemampuan berbahasa Mandarin. Antara lain misi Akademi Tahfiz Mandarin iaitu untuk menyediakan keperluan pendakwah dan ulamak yang dapat menembusi kelompongan dan halangan budaya dan bahasa kepada sasaran dakwah masyarakat bukan Islam khasnya kaum Cina di negara ini.

Akademi Tahfiz Mandarin pada hari ini juga menerima pendaftaran seramai 36 orang pelajar berusia 13 tahun untuk jangka masa pengajian hafazan selama 5 tahun di samping subjek lain antaranya Bahasa Mandarin, ilmu Islam, akademik serta kemahiran.

ATM juga turut mendapatkan sokongan masyarakat tempatan sama ada daripada pihak berkuasa seperti Polis Pulau Ketam dan pemimpin setempat. Ketua Balai Polis Pulau Ketam Encik SM Jamal Ibrahim dalam sesi taklimat telah bersyukur dan berterima kasih kepada PPS kerana mengambil inisiatif yang mulia mewujudkan sebuah institusi Islam di Pulau Ketam sebagai satu mercu tanda usaha dakwah yang amat efektif.

Pengarah ATM Ustaz Mohammad Ibrahim @ UMC bagi pihak ATM dan PPS amat terharu dengan sokongan ibu bapa dan pihak masyarakat setempat yang menerima baik usaha ATM serta berharap cita-cita dan misi ATM dapat diterjemahkan dengan jayanya.

ATM memiliki seorang mudir yang berkelayakan dalam bidang hafazan, 2 orang guru hafazan yang hafiz Al-Quran, 2 orang tukang masak sepenuh masa dan seorang pembantu asrama. Semua kakitangan ATM akan ditempatkan sepenuh masa bersama pelajar tahfiz di Pulau Ketam.

ATM mengalu-alukan sumbangan derma, infaq dan wakaf daripada orang ramai bagi tujuan pengurusan, pembangunan dan pembelajaran ATM agar berjalan lancar dan sempurna.

Sumbangan boleh disalurkan ke butiran berikut:
Maybank: 5624 7816 3674
AITM RESOURCES
(Akademi Islam Tahfiz Mandarin dan Pertubuhan Pendakwah Selangor)

Semoga usaha ini diberkati Allah SWT dan diganjari-Nya. -HARAKAHDAILY 8/1/2017

Ulasan