DOAKAN SAYA TERUS ISTIQAMAH DALAM PERJUANGAN - PAKCIK SHAABAN




DOAKAN SAYA TERUS ISTIQAMAH DALAM PERJUANGAN - PAKCIK SHAABAN

Petang semalam bersama sahabat PAS kawasan Segamat, kami ke Kampung Paya Lang menziarahi seorang aktivis PAS yang terlantar sakit sejak beberapa tahun yang lalu.

Ini adalah kali kedua saya berpeluang menziarahi beliau yang telahpun berusia 78 tahun dan tidak mampu untuk bergerak melainkan diusung dan diangkat oleh orang lain. Malah beliau telah hilang deria penglihatan dan  pendengarannya juga telah mula lemah.

Beliau adalah Encik Shaaban bin haji Abdul Kadir, merupakan aktivis lama PAS di Segamat. Rumah beliau menjadi 'markaz' PAS di Kampung Paya Lang dan menjadi lokasi pertama ceramah PAS di kampung ini.

Ditemani oleh isteri tersayang yang kian uzur dimamah usia namun terus bersama suami menjaga dan menguruskan kehidupan.

Kawasan rumah pakcik Shaaban termasuk dalam kawasan yang sering ditenggelami banjir. Bayangkan setiap kali air mula masuk ke dalam rumah, pakcik Shaaban terpaksa dipindahkan ke bahagian atas rumah untuk diselamatkan, mujurlah bantuan anak dan jiran yang tinggal berdekatan dengan rumahnya dapat membantu memindahkan pakcik Shaaban.

Namun, apa yang menyentuh hati saya, pakcik Shaaban berpesan supaya kami meneruskan perjuangan dan minta supaya doakan beliau agar terus beristiqamah dalam perjuangan sehingga ke akhir hayatnya.

Semoga Allah merahmati pakcik Shaaban dan memberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
2 Zulkaedah 1438 bersamaan 26 Julai 2017

Ulasan