BAB 6 : JENIS MESYUARAT DAN CARA MENGENDALIKANNYA



JENIS MESYUARAT DAN CARA MENGENDALIKANNYA

Terdapat beberapa jenis mesyuarat yang dilaksanakan di kebanyakkan organisasi khususnya yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.


MESYUARAT JAWATANKUASA KERJA

Sesebuah persatuan atau organisasi dikendalikan oleh satu jawatankuasa yang dilantik menerusi mesyuarat agung.

Jawatankuasa ini dipanggil jawatankuasa kerja atau jawatankuasa induk. Jawatankuasa ini boleh mewujudkan jawatankuasa kecil untuk menjalankan tugas-tugas khas.

Setiap mesyuarat jawatankuasa perlu dikendalikan mengikut tatacara yang ditetapkan dan sebarang perubahan yang mungkin berlaku adalah bergantung pada budi bicara pengerusi yang mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Surat pemberitahuan memanggil mesyuarat perlulah dikirimkan kepada ahli yang terlibat, dalam tempoh masa yang ditetapkan. Ada organisasi yang menetapkan selewat-lewatnya dua minggu atau seminggu sebelum tarikh mesyuarat berkenaan.

Satu salinan agenda hendaklah dikirimkan kepada semua ahli sebelum mesyuarat diadakan. Kebiasaannya, ia dimasukkan ke dalam surat/notis pemberitahuan mesyuarat.

Sesuatu usul rasmi jawatankuasa kecil perlu diluluskan dalam mesyuarat berkenaan. Tujuan usul dikemukakan adalah untuk menjelaskannya dalam satu ayat yang padat dan mudah supaya tidak timbul salah faham kemudiannya.

Tatacara untuk mesyuarat jawatankuasa, antaranya:

a. Mesyuarat perlu mematuhi perkara-perkara yang tercatat dalam agenda.

b. Mesyuarat tidak boleh dijalankan selagi korum iaitu bilangan minimum ahli-ahli yang seharusnya menghadiri mesyuarat tidak mencukupi. Korum mesyuarat bergantung kepada peraturan atau peraturan organisasi, biasanya tidak kurang daripada satu pertiga daripada jumlah ahli jawatankuasa. Hal ini dapat mengelakkan ketidakcukupan ahli dan daripada membuat keputusan yang boleh menimbulkan persoalan kelak.

c. Menepati waktu digalakkan. Jika korum tidak mencukupi, pengerusi perlu menunggu 5 atau 10 minit lagi, kemudian jika korum masih tidak mencukupi, beliau harus membatalkan mesyuarat tersebut.

Pengerusi tidak perlu berdiri dalam mesyuarat jawatankuasa. Begitulah juga dengan ahli-ahli tidak perlu berdiri ketika berucap kepada pengerusi kecuali dalam mesyuarat yang besar seperti mesyuarat agung.

Pengerusi memulakan mesyuarat dengan mengucapkan kata aluan kepada semua ahli mesyuarat. Adalah digalakkan mesyuarat dimulakan dengan membaca surah Al-Fatihah bagi yang beragama Islam.

Pengerusi membacakan nama ahli-ahli yang tidak hadir atau meminta setiausaha membacakannya. Ahli mesyuarat yang hadir perlu tahu sebab-sebab ketidakhadiran ahli mesyuarat yang keuzuran.

Kemudian pengerusi meminta setiausaha membentangkan minit yang berkaitan dengan suara yang jelas dan sempurna. Adalah disarankan agar minit diserahkan kepada ahli mesyuarat sebelum mesyuarat diadakan supaya setiap ahli mesyuarat dapat menelitinya lebih awal.

Sekiranya ada pembetulan maka ia perlu dibetulkan oleh ahli mesyuarat. Jika tiada apa-apa pembetulan dan semuanya telah berpuas hati tentang kesahihan minit berkenaan, mereka akan mengangkat tangan untuk mencadangkan agar minit itu disahkan dan disokong. Selepas itu, barulah pengerusi akan menandatangani minit tersebut dan mencatatkan tarikh pada minit berkenaan.

Jika minit tersebut bertulis tangan, hanya muka surat akhir ditandatangani. Jika minit itu ditaip, maka setiap halaman perlu ditandatangani.

Agenda yang berikutnya ialah mengemukakan perkara yang berbangkit. Melalui hasil laporan maklumbalas daripada setiap pihak yang telah menghantar laporan kepada sekretariat, pihak yang perlu bertindak berdasarkan ketetapan mesyuarat yang lepas perlu membuat pelaporan. Ia juga boleh dibentangkan keseluruhan perkara berbangkit oleh Setiausaha dan pihak yang terbabit akan menambahkan apa-apa yang tertinggal. Tujuannya adalah untuk memberitahu ahli mesyuarat tentang segala perkembangan mutakhir tentang sesuatu perkara.

Setelah itu, barulah agenda utama mesyuarat dibincangkan. Jika organisasi itu mempunyai jawatankuasa-jawatankuasa yang tetap, laporan daripada setiap jawatankuasa perlu dibentangkan oleh pengerusi kecilnya atau wakil yang dilantik.

Semua cadangan yang hendak dikemukakan hendaklah jelas dan tepat. Kemudian cadangan dibincangkan sama ada diterima atau tidak. Perkara-perkara baru juga boleh diketengahkan dan dibincangkan.

Hal-hal lain merupakan agenda terakhir dalam mesyuarat jawatankuasa. Tujuannya adalah untuk memberikan peluang kepada ahli-ahli untuk mengemukakan hal-hal yang tidak begitu penting atau hal-hal penting yang tidak dimasukkan ke dalam agenda. Walau bagaimanapun, perkara-perkara penting tidak akan diputuskan di bawah agenda hal-hal lain ini tetapi boleh dibincangkan secara sepintas lalu. Pengerusi boleh memutuskan agar hal ini dibicarakan dalam mesyuarat yang akan datang.

Setelah semua agenda yang ditetapkan telah selesai makan  pengerusi perlu menangguhkan mesyuarat secara rasmi dan setiausaha boleh berhenti mencatat minit. Disarankan agar mesyuarat ditutup dengan membaca tasbih kafarah dan surah Al-Ashr. Perbincangan selepas mesyuarat ditangguhkan tidak perlu dicatat.

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN

Mesyuarat agung lazimnya diadakan sekali setahun. Tujuannya adalah untuk membentangkan aktiviti sepanjang tahun yang terdahulu, meluluskan penyata kira-kira, merancang kegiatan tahun hadapan, memilih ahli-ahli jawatankuasa kerja yang baharu, membahas usul-usul dan meluluskan cadangan-cadangan yang dikemukakan.

Semua notis mesyuarat agung hendaklah dihantar kepada semua ahli, iaitu 14 hari sebelum mesyuarat diadakan.

Agenda mesyuarat agung tahunan juga dikirimkan bersama-sama surat pemberitahuan/jemputan untuk menghadiri mesyuarat tersebut.

Sebarang usul jika ada perlu dihantar kepada setiausaha 7 hari atau tempoh yang ditetapkan oleh jawatankuasa usul sebelum mesyuarat diadakan.

Setiausaha dan penolong setiausaha bertanggungjawab menyediakan laporan minit mesyuarat agung dan semua laporan aktiviti persatuan atau organisasi sepanjang tahun.

Bendahari dikehendaki menyediakan laporan kewangan untuk dibentangkan dalam mesyuarat agung kelak. Tempoh kewangan biasanya berakhir pada 31 Disember tahun yang terdahulu tetapi ia juga bergantung kepada ketetapan di dalam perlembagaan.

Perbezaan di antara Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja ;

a. Mesyuarat Agung Tahunan dipengerusikan oleh Pengerusi Tetap dan dibantu oleh Timbalan Pengerusi Tetap.

b. Pengumuman ketidakhadiran dilakukan dengan membaca nama-nama Jawatankuasa yang tidak dapat hadir diikuti dengan menyatakan bilangan ahli perwakilan yang tidak dapat hadir bagi menentukan Mesyuarat Agung diadakan setelah korum mencukupi.

Perbincangan tentang minit mesyuarat agung yang lalu dibuat secara ringkas. Ada juga persatuan/organisasi yang mengedarkan salinan minit bersama-sama laporan tahunan selepas mesyuarat tersebut. Pengerusi akan meminta izin daripada mesyuarat supaya menerima minit berkenaan sebagai sudah pun dibaca.

Minit ini perlu diluluskan oleh mesyuarat secara rasmi, kemudian pengerusi menandatanganinya dan dicatatkan tarikhnya.

Setiausaha akan membacakan laporan tahunan aktiviti persatuan manakala Bendahari akan membentangkan laporan kewangan selepas selesai laporan tahunan dibentangkan.

Sebaik sahaja kesemua laporan selesai dibentangkan, Pengerusi  Tetap akan meminta seorang ahli mengusul dan seorang lagi menyokong penerimaan setiap laporan itu. Jika ada antara ahli yang ingin memberikan ucapan pendek tentang laporan berkenaan, beliau bebas berbuat demikian asalkan ringkas dan ada kaitannya. Selepas itu, pengerusi akan mengemukakan pertanyaan jika ada sesiapa antara ahli yang mahu membuat sebarang ulasan tentang laporan-laporan berkenaan. Kemudian barulah dibuat pengundian terhadap usul penerimaan laporan-laporan tersebut.

Presiden/Yang Di Pertua/Pengerusi Persatuan/Organisasi akan menyampaikan ucapan dasar atau ucaptema bagi menyampaikan idea dan halatuju organisasi.

Usul yang telah diterima oleh jawatankuasa usul akan dibentangkan oleh pembentang yang ditetapkan dan perbahasan mengenai usul tersebut akan berlangsung bagi menentukan perwakilan bersetuju untuk menerima atau menolak usul tersebut.

Bagi Usul yang diterima tanpa bahas, ianya tidak perlu dibahaskan dan akan dicatitikan di dalam buku usul manakala usul yang ditolak tidak akan dibahaskan juga namun akan dimasukkan di dalam buku usul untuk pengetahuan semua.

MESYUARAT AGUNG LUAR BIASA

Mesyuarat ini diadakan kerana keperluan yang mendesak daripada ahli-ahli yang mahukan pertukaran jawatan semua ahli jawatankuasa induk, perubahan perlembagaan persatuan secara mendadak, penyelesaian masalah kewangan yang mendesak atau hilang kepercayaan seluruh ahli jawatankuasa yang lama. Ia diperuntukan di dalam perlembagaan persatuan/pertubuhan yang perlu dirujuk terlebih dahulu sama ada permintaan perkara yang ingin di bawa untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa bersesuaian dengan peruntukan perlembagaan.

Atur cara bagi mesyuarat ini adalah seperti yang berikut:
i. Setiausaha perlu menyediakan notis pemberitahuan 14 hari sebelum mesyuarat.

ii. Minit mesyuarat agung yang lepas tidak perlu dibincangkan lagi.
Kehadiran ahli dalam mesyuarat ini perlulah 2/3 daripada jumlah keseluruhan anggota.

iii. Mesyuarat hendaklah melantik salah seorang daripada ahli jawatankuasa untuk menjadi pencatat minit mesyuarat.

iv. Pembubaran ahli jawatankuasa lama boleh dilakukan jika mesyuarat agung luar biasa ini mahukan pemilihan ahli-ahli jawatankuasa yang baru.

v. Mesyuarat Agung ini mestilah hanya membincangkan mengenai tujuan sebenar ianya diadakan. Contohnya, sekiranya Mesyuarat Agung Khas ini adalah untuk membincangkan tentang membentuk jawatankuasa yang baharu maka ia tidak boleh membincang perkara yang lain selain daripada perkara yang ditetapkan tadi.

MESYUARAT KHAS

Mesyuarat ini diadakan untuk membincangkan sesuatu isu penting yang dibangkitkan semasa mesyuarat jawatankuasa diadakan.

Contohnya, mesyuarat jawatankuasa kerja telah menetapkan agar persatuan perlu mengadakan perbincangan mengenai pembelian sebuah van bagi kegunaan persatuan dengan segera. Setiausaha diarahkan untuk mengadakan satu mesyuarat khas untuk membincangkan perkara ini.

Antara tatacara untuk mengadakan mesyuarat ini ialah:

a. Mesyuarat diadakan pada tarikh dan masa yang amat diperlukan.
b. Mesyuarat dipengerusikan oleh Presiden/Yang Di Pertua/Pengerusi persatuan atau mana-mana ahli jawatankuasa lain sekiranya Presiden/Yang Di Pertua/Pengerusi tiada serta memberikan kuasa untuk mempengerusikan mesyuarat.
c. Setiausaha mencatat minit mesyuarat yang dijalankan.
d. Semua ahli jawatankuasa diperlukan mengambil bahagian dalam perbincangan.
e. Setiausaha kemudian menyediakan minit mesyuarat dan mengedarkannya kepada semua ahli jawatankuasa.
f. Ahli jawatankuasa yang ditetapkan perlu bertindak segera mengemukakan minit mesyuarat kepada pihak yang berkenaan dengan tujuan menyegerakan pelaksanaan sesuatu projek.

MESYUARAT TERGEMPAR

Mesyuarat ini diadakan untuk membincangkan sesuatu isu dan memerlukan kata putus segera daripada ahli-ahli jawatankuasa. Misalnya, melucutkan keahlian anggota yang melanggar disiplin atau mencemarkan nama baik persatuan atau organisasi.

Atur cara mesyuarat ini adalah seperti yang berikut:

a. Mesyuarat diadakan pada tarikh dan masa yang amat diperlukan.
b. Mesyuarat dipengerusikan oleh Presiden/Yang Di Pertua/Pengerusi persatuan atau mana-mana ahli jawatankuasa lain sekiranya Presiden/Yang Di Pertua/Pengerusi tiada serta memberikan kuasa untuk mempengerusikan mesyuarat.
c. Setiausaha mencatatkan minit mesyuarat yang dijalankan.
d. Semua ahli jawatankuasa perlu mengambil bahagian dalam perbincangan.
e. Setiausaha akan menyediakan minit mesyuarat dan mengedarkannya kepada semua ahli jawatankuasa.
f. Ahli jawatankuasa perlu mengambil tindakan segera tentang isu yang diputuskan dalam mesyuarat tersebut.

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL

Ulasan